BESUT, 28 Oktober — Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, mengambil langkah proaktif dalam menghadapi musim tengkujuh yang semakin menghampiri, dengan menganjurkan Program Taklimat & Simulasi Banjir DUN Jerteh 2025 pada Ahad lalu
Program kesiapsiagaan tersebut telah diadakan di kawasan sekitar Sungai Besut, bawah Jambatan Jerteh.
Ia menghimpunkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi tujuan pendedahan awal dan latihan praktikal berhadapan dengan bencana banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor menyatakan kesediaan penuh Pusat Khidmat Masyarakat dalam menghadapi segala kemungkinan bencana yang kerap melanda kawasan tersebut saban tahun.
Program simulasi ini turut menyaksikan kerjasama padu agensi-agensi utama pengurusan bencana di daerah Besut, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, Mustafa Ismail berkata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, program taklimat dan simulasi seperti ini adalah amat kritikal.
"Ia sangat penting kerana melibatkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan NGO di daerah Besut dalam latihan kesiapsiagaan bencana.
" Latihan ini membantu kami menyelaraskan tindakan dan mempercepat gerak kerja semasa banjir benar-benar berlaku, sekali gus memastikan operasi menyelamat dan bantuan berjalan lancar," jelas beliau.
Katanya, Jerteh memang dikenali sebagai kawasan yang kerap dilanda banjir setiap tahun.
Walaupun tahap banjir berbeza-beza, daerah ini tetap dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan memerlukan kesiapsiagaan yang sentiasa dipertingkatkan.
Pihak Bomba Jerteh mengesahkan bahawa mereka sentiasa bersiap siaga, dan inisiatif serta kesediaan penuh sentiasa dipertingkatkan setiap kali musim tengkujuh tiba.
Program simulasi ini diharapkan dapat memberikan ilmu dan kemahiran yang berguna kepada semua pihak yang terlibat, khususnya kepada pemimpin JPKK yang merupakan barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat dan bantuan kepada penduduk kampung. Pihak DUN Jerteh mendoakan agar musim hujan kali ini berlalu dengan selamat dan kawasan Jerteh dijauhkan daripada sebarang bencana banjir besar.