Jalur Gemilang
Berita :
SAR Mangsa Hilang di Perairan Kuala Dungun Ditamatkan
SAR Mangsa Hilang di Perairan Kuala Dungun Ditamatkan
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
1 hari yang lepas
646

DUNGUN, 2 September– Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang mangsa yang dipercayai hilang selepas sebuah bot fiber terbalik di perairan Muara Kuala Dungun hingga Pulau Tenggol, Terengganu, ditamatkan pada 31 Ogos 2026.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden (Supt.) Nik Ab Halim Nik Mat, operasi yang bermula pada 27 Ogos, jam 6.30 petang itu diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selaku SAR Coordinator.

Operasi selama lima hari tersebut melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat dengan pencarian dilakukan secara menyeluruh merangkumi sektor laut, udara serta pencarian di dalam air.

Antara aset dan pasukan yang terlibat ialah APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan penyelam PDRM, pasukan penyelam awam serta bot awam. Pencarian di dalam air turut dibantu menggunakan Remotely Operated Vehicle (ROV) milik APMM.

Secara keseluruhannya, kawasan pencarian yang telah diliputi membabitkan kira-kira 801.22 batu nautika persegi, merangkumi sektor laut dan udara.

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian operasi serta hasil pencarian yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan, operasi SAR telah ditamatkan pada 31 Ogos, jam 6.00 petang.

Pihak berkuasa bagaimanapun akan meneruskan pemantauan melalui operasi rutin di kawasan berkenaan. Sekiranya terdapat perkembangan, penemuan atau petunjuk baharu, tindakan lanjut termasuk pengaktifan semula operasi SAR akan dipertimbangkan.

Dalam pada itu, PDRM dan MRSC Kuantan merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta komuniti maritim yang terlibat atas kerjasama, komitmen dan bantuan sepanjang operasi pencarian dijalankan.

Penghargaan turut diberikan kepada APMM, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan penyelam awam serta komuniti maritim.

PDRM turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan kepada keluarga mangsa serta berharap mereka terus tabah menghadapi situasi tersebut.

Pihak PDRM juga akan terus mengambil tindakan susulan dan menjalankan siasatan berkaitan kejadian mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan