KUALA TERENGGANU, 8 September – Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, YB Ustaz Ridzuan Hashim, ketika menziarahi keluarga terlibat di Taman Perumahan Teluk Pasu, petang tadi.
Kebakaran yang berlaku sekitar 7.10 petang semalam itu melibatkan empat buah rumah, dengan sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala tiga lagi mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita tidak mampu membayangkan perasaan mereka apabila melihat segala yang dimiliki hilang dan rosak dalam sekelip mata.
“Namun, kita yakin setiap ujian yang diturunkan Allah SWT pasti mempunyai hikmah dan menjadi ruang untuk kita saling membantu serta menguatkan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan awal kepada keluarga mangsa sebagai tanda keprihatinan dan usaha membantu meringankan beban yang ditanggung susulan kejadian berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama membantu sedaya yang termampu dan memastikan keluarga yang terlibat tidak berasa keseorangan dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan kepada semua mangsa, menggantikan setiap kehilangan dengan sesuatu yang lebih baik serta mempermudahkan segala urusan mereka,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar mangsa diberi kekuatan untuk membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah tersebut.