KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuka tawaran sebutharga bagi pengurusan dua bazar Ramadan dan satu karnival jualan Ramadan di tiga lokasi sekitar bandar raya ini bagi tahun 2027 bersamaan 1448 Hijrah.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Haji Lizan Che Mat berkata, tawaran berkenaan melibatkan pengurusan bazar Ramadan di tempat letak kereta Shahbandar, masing-masing di hadapan skrin besar dan hadapan Restoran Perahu/MARA, serta karnival jualan Ramadan di Stesen Teksi Tanjung.
Menurut kenyataan tawaran MBKT, penyertaan dibuka kepada syarikat atau penyebut harga Bumiputera yang berdaftar dengan Negeri Terengganu dan Kementerian Kewangan Malaysia di bawah kod bidang 221506 bagi penyewaan dan pengurusan ruang niaga.
“Sesi taklimat wajib bagi ketiga-tiga tawaran ditetapkan pada 19 Oktober 2026, jam 10 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Cempaka, Tingkat 6, Menara MBKT.
“Hanya wakil yang namanya tercatat pada Sijil Pendaftaran Kementerian Kewangan Malaysia dibenarkan menghadiri taklimat berkenaan. Syarikat yang tidak menghadirinya tidak layak mendapatkan atau membeli dokumen sebutharga,” jelasnya dalam kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya, dokumen sebutharga dijual pada harga RM20 senaskhah di Kaunter Setempat, Tingkat Bawah, Menara MBKT, mulai 21 hingga 28 Oktober ini pada waktu pejabat.
"Semua tawaran hendaklah dikemukakan sebelum jam 12 tengah hari, 29 Oktober 2026, dengan melengkapkan dokumen yang ditetapkan, termasuk Sijil Pematuhan Cukai (TCC), Borang Pengisytiharan Pemunya Benefisial (BO) dan Surat Akuan Syarikat Dalam Menangani Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa (SA).
‘MBKT turut menetapkan bahawa pihaknya tidak terikat untuk menerima tawaran tertinggi atau mana-mana tawaran yang dikemukakan,” tambah beliau.