Berita :
UPDI, Manis FM Perkukuh Kerjasama Sampaikan Maklumat Tepat Kepada Rakyat
UPDI, Manis FM Perkukuh Kerjasama Sampaikan Maklumat Tepat Kepada Rakyat
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
41

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Manis FM terus memperkukuhkan kerjasama strategik dalam usaha memperkasa penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan bermanfaat kepada rakyat Terengganu.

Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Harun Esa berkata, perbincangan diadakan bersama wakil Manis FM bertujuan menyusun gerak kerja penerangan yang lebih berkesan serta memperluaskan penyampaian maklumat berkaitan dasar dan program kerajaan negeri.

Menurutnya, kerjasama erat antara agensi penerangan dan media amat penting bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih serta mampu membina kefahaman masyarakat terhadap pelbagai isu semasa.

“Alhamdulillah, hari ini berkesempatan mengadakan perbincangan bersama Ozarizan Mohd Nor dan En Zaid Talib di Manis FM bagi memperkukuhkan kerjasama dan menyusun gerak kerja penerangan yang lebih berkesan demi menyampaikan maklumat tepat, pantas serta bermanfaat kepada rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, hari ini.

Dalam pada itu, Harun menegaskan bahawa pelbagai cabaran yang dihadapi tidak akan melemahkan semangat kerajaan negeri untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, walaupun terdapat kekangan dan tekanan termasuk berkaitan sumber kewangan, usaha pembangunan serta kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan.

"Apa jua tekanan yang dihadapi, insya-Allah tidak pernah mematahkan semangat kita sebagai anak-anak Terengganu. Sekalipun ada pihak yang menyekat atau menghadkan sumber kewangan negeri, kita akan terus berikhtiar, mencari pelbagai jalan dan penyelesaian agar setiap keperluan rakyat dapat dipenuhi sebaiknya,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa gerak kerja kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa, dengan pelaksanaan pembangunan dan agenda kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

"Insya-Allah, kami akan terus menyampaikan penerangan yang berfakta, membina kefahaman masyarakat serta menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat demi kemajuan Negeri Terengganu," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan