Berita :
Pertumbuhan Ekonomi 5.4 Peratus Belum Cukup Jika Rakyat Masih Terhimpit Kos Hidup, Kata TSIS
Pertumbuhan Ekonomi 5.4 Peratus Belum Cukup Jika Rakyat Masih Terhimpit Kos Hidup, Kata TSIS
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 tidak wajar dilihat secara terpisah daripada realiti kehidupan rakyat, khususnya tekanan kos sara hidup, baki pendapatan isi rumah dan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah.

Pegawai Eksekutif Strategi Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Eikhwan Ali berkata, meskipun angka pertumbuhan itu melepasi sasaran awal 5.3 peratus, ia masih lebih rendah berbanding pertumbuhan 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan ekonomi negara masih memerlukan asas yang lebih kukuh supaya manfaat pertumbuhan tidak hanya kelihatan pada angka makro, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat.

“Isu kos sara hidup masih belum reda walaupun data menunjukkan pendapatan purata meningkat. Hakikatnya, sebahagian besar pendapatan boleh guna rakyat masih dibelanjakan untuk keperluan asas seperti makanan, utiliti dan pengangkutan.

“Keadaan ini menyebabkan ruang simpanan semakin mengecil, terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eikhwan berkata, kerajaan juga perlu menilai semula pendekatan dasar ekonomi yang bersifat umum kerana cabaran yang dihadapi rakyat berbeza mengikut negeri, sektor dan tahap pembangunan setempat.

Menurutnya, ketidakseimbangan ekonomi antara wilayah masih ketara apabila negeri yang menjadi pusat industri dan pelaburan terus berkembang lebih pantas, manakala negeri yang bergantung kepada sektor tradisional berdepan cabaran lebih besar untuk mengejar kadar pertumbuhan sama.

“Pendekatan ‘one-size-fits-all’ dalam merangka bantuan atau dasar ekonomi sudah tidak lagi relevan. Dasar ekonomi perlu lebih bersasar dan disesuaikan dengan keperluan setempat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan demografi negara ke arah masyarakat menua akan memberi tekanan tambahan terhadap sistem kesihatan, kewangan kerajaan dan pasaran tenaga kerja.

Dalam masa sama, katanya, keterjaminan makanan perlu diberi perhatian serius memandangkan kebergantungan tinggi terhadap import mendedahkan negara kepada risiko global seperti konflik geopolitik, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga.

Eikhwan berkata, pertumbuhan ekonomi hanya akan memberi makna sekiranya ia diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih stabil, peluang pekerjaan lebih berkualiti dan daya tahan isi rumah yang lebih kukuh.

Justeru, beliau berkata, penstrukturan semula kerangka ekonomi negara perlu diberi keutamaan melalui pendekatan yang lebih praktikal, berasaskan keperluan sebenar rakyat serta disokong oleh tiga faktor utama ekonomi, iaitu modal kewangan, pembangunan tenaga manusia dan penggunaan teknologi.

“Ekonomi tidak boleh hanya diukur pada kadar pertumbuhan semata-mata. Yang lebih penting ialah sejauh mana pertumbuhan itu mampu mengurangkan tekanan hidup rakyat, merapatkan jurang wilayah dan membina daya tahan negara untuk jangka panjang,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan