SETIU, 22 Jun– Jeti Nelayan Kampung Beris Tok Ku di sini kini siap sepenuhnya dan telah mula digunakan secara rasmi oleh komuniti nelayan setempat bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
Meskipun tiada majlis perasmian besar-besaran dirancang, satu majlis kesyukuran secara santai dijangka bakal diadakan atas permintaan dalam kalangan komuniti nelayan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, beliau pada awalnya tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang majlis rasmi bagi pembukaan jeti berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menyantuni kehendak dan keterujaan para nelayan tempatan yang mahu menzahirkan rasa syukur atas penyiapan infrastruktur penting tersebut.
"Kami sebenarnya tidak berhajat nak buat majlis rasmi jeti, tapi kawan-kawan nelayan minta juga nak buat majlis makan-makan tanda kesyukuran, kalau pun bukan majlis rasmi jeti.
"Saya okay sahaja sebab arwah Tok Chik ada pesan, rezeki jangan tolak," katanya di sini, hari ini.
Kemudahan jeti baharu ini dijangka memberikan keselesaan kepada nelayan Kampung Beris Tok Ku, terutamanya dalam melancarkan proses pendaratan ikan serta pengurusan bot-bot kecil dengan lebih selamat.
Sebelum ini, ketiadaan infrastruktur pendaratan yang mampan sering kali menjadi cabaran utama kepada komuniti pesisir pantai di kawasan Setiu untuk mengoptimumkan hasil pendapatan mereka.
Majlis kesyukuran yang bakal diadakan secara gotong-royong itu nanti bukan sahaja menjadi simbolik penghargaan kepada kerajaan negeri, malah mengukuhkan lagi hubungan silaturahim sesama nelayan tradisional di perkampungan berkenaan.
Tag :