Jalur Gemilang
Berita :
Tutup Premis Waktu Solat Jumaat, Hak Bukan Islam Tetap Terpelihara – ADUN Lantikan Bidas DAP
Tutup Premis Waktu Solat Jumaat, Hak Bukan Islam Tetap Terpelihara – ADUN Lantikan Bidas DAP
Husaif Mamat
6 jam yang lepas
646

KUALA TERENGGANU, 20 November – Arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika waktu solat Jumaat di Terengganu tidak mengabaikan hak masyarakat bukan Islam, sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak menerusi beberapa pengecualian yang diberikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Terengganu (Wakil Masyarakat Bukan Islam), Chan Chee How berkata, perkara tersebut telah dijelaskan secara terperinci oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 10 Januari 2024.

Menurutnya, premis perniagaan milik bukan Islam diberikan pengecualian dan dibenarkan beroperasi seperti biasa, manakala premis makanan milik bukan Islam yang mempunyai pekerja beragama Islam tertakluk kepada peraturan berkenaan bagi membolehkan pekerja menunaikan solat Jumaat.

Selain itu katanya, MBKT menjelaskan kedai makan yang diuruskan pekerja wanita boleh memohon kelulusan khas untuk meneruskan operasi, manakala premis hotel turut diberikan pengecualian bagi memenuhi keperluan musafir dan pengunjung dari luar Terengganu.

“Penjelasan tersebut menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar berkenaan mengambil kira tuntutan agama umat Islam, kepentingan masyarakat bukan Islam serta keperluan sektor perniagaan dan pelancongan.

“Oleh itu, dakwaan bahawa semua premis perniagaan termasuk milik bukan Islam diwajibkan tutup tanpa pengecualian tidak selaras dengan penjelasan yang telah diberikan oleh MBKT pada tahun 2024,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, Khoo Poay Tiong yang mempertikaikan arahan penutupan premis perniagaan ketika waktu solat Jumaat di Terengganu.

Chee How yang mewakili masyarakat bukan Islam di DUN Terengganu berkata, sekiranya terdapat arahan baharu yang didakwa bercanggah dengan penjelasan tersebut, perkara itu sewajarnya dirujuk kepada MBKT bagi mendapatkan pengesahan.

Dalam pada itu, beliau menggesa pemimpin DAP supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak membangkitkan polemik yang berpotensi menggugat ketenteraman awam serta hubungan antara kaum dan agama.

“Pendekatan politik DAP yang mempertentangkan masyarakat atas perbezaan agama dan kaum tidak seharusnya dibawa masuk ke Terengganu, malah tidak wajar mendapat tempat di Malaysia.

“Masyarakat Islam dan bukan Islam di Terengganu telah sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya bersedia mendengar, berbincang dan membawa sebarang permasalahan yang dihadapi masyarakat bukan Islam kepada kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk diselesaikan.

“Keharmonian, ketenteraman dan kebahagiaan yang dinikmati rakyat Terengganu hari ini merupakan aset yang amat berharga. Jangan sesekali mengusiknya demi kepentingan politik,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan