Jalur Gemilang
Berita :
Bukan Sekadar Tangkis Serangan, Silat Didik Budi Dan Santun Anak Bangsa – Razali
Bukan Sekadar Tangkis Serangan, Silat Didik Budi Dan Santun Anak Bangsa – Razali
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
13 jam yang lepas
225

KEMAMAN, 20 November – Seni persilatan Melayu bukan sekadar warisan seni bela diri, malah berperanan membentuk adab, disiplin dan jati diri generasi muda yang perlu dipelihara agar tidak ditelan zaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, usaha pertubuhan persilatan yang terus mengajar dan menghidupkan seni warisan itu dalam masyarakat wajar dihargai.

Menurutnya, nama Hikayat Santun Beradat membawa pesanan yang dekat dengan jiwa persilatan Melayu, dengan hikayat melambangkan kisah untuk diwariskan, santun mencerminkan budi untuk diteladani, manakala adat menjadi tertib dalam hubungan sesama manusia.

“Pada hikayat, ada kisah untuk diwariskan. Pada santun, ada budi untuk diteladani. Pada adat, ada tertib yang membimbing hubungan sesama manusia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hikayat Santun Beradat di Gelanggang Silat Petala Bumi 7 Terengganu, Kerteh, semalam.

Tambahnya, nilai tersebut diterjemahkan melalui amalan di gelanggang apabila murid menghormati guru, rakan seperguruan saling membantu dan ilmu dipelajari dengan penuh kesabaran.

“Bunga silat memperlihatkan keindahan gerak, adab pesilat memperlihatkan keindahan peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Seni Silat Petala Bumi 7 Terengganu (PSSPB7T) yang diasaskan oleh Hairil Azhar Razali pada 1 November 2015 merupakan antara usaha memelihara khazanah serta warisan seni bela diri Melayu.

Pertubuhan itu pada awalnya memulakan operasi di sebuah rumah sebelum berkembang sehingga memiliki gelanggang silat sendiri bagi meneruskan aktiviti latihan dan pembelajaran seni persilatan.

Usaha berterusan seperti itu penting bagi memastikan seni silat terus dikenali dan diwarisi generasi muda, selain berpotensi diperkenalkan kepada pengunjung sebagai sebahagian daripada kekayaan budaya Terengganu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan