Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Belanja Hampir Setengah Juta  Urus Tiga Pusat Pendidikan OKU
Terengganu Belanja Hampir Setengah Juta Urus Tiga Pusat Pendidikan OKU
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
309

KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan Negeri  membelanjakan RM448,000 bagi mengurus dan menyelia tiga pusat pendidikan khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan pendengaran di negeri ini sehingga September 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pusat pendidikan berkenaan diwujudkan menerusi kerjasama kerajaan negeri dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, tiga pusat tersebut merangkumi pusat pendidikan Braille di Besut dan Paka serta pusat pendidikan OKU pendengaran di Kuala Terengganu.

"Setakat ini, pusat pendidikan Braille di Besut menempatkan 20 pelajar, manakala Paka seramai 19 orang.

"Bagi pendidikan OKU pendengaran pula, seramai 17 pelajar mengikuti kelas di Kuala Terengganu, 13 orang di Paka dan 20 orang di Besut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini semalam. 

Dalam pada itu, Satiful merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) atas sumbangan elaun bulanan sebanyak RM50 kepada pelajar Braille dan RM40 kepada pelajar OKU pendengaran.

Katanya, kerajaan negeri turut menerima permintaan daripada pelajar Braille untuk membuka lebih banyak kelas berikutan kapasiti sedia ada yang semakin terhad.

"Semua kelas yang disediakan kini sudah penuh, malah terdapat pelajar lain yang masih berminat untuk mengikuti pembelajaran tetapi terpaksa menunggu kerana kuota ditetapkan hanya 20 orang bagi setiap pengambilan.

"Insya-Allah, kita berharap MAIDAM dapat mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi membolehkan lebih ramai pelajar OKU mendapat peluang pendidikan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan golongan OKU tidak tercicir daripada arus pendidikan, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengembangkan potensi diri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan