lightning-solid
Berita :
Terengganu Urus Konflik Gajah Ikut Kaedah Fiqh
Terengganu Urus Konflik Gajah Ikut Kaedah Fiqh
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
42

TERENGGANU, 27 Ogos - Tindakan menguruskan isu konflik gajah liar di Terengganu sentiasa dilaksanakan mengikut kaedah fiqh yang mengutamakan keselamatan dan kebajikan rakyat, tanpa membelakangkan pemuliharaan alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, isu penangkapan Gajah Sulong yang tular baru-baru ini perlu dinilai dari sudut tanggungjawab pemerintah yang berdepan realiti jerit perih kehidupan para petani.

Menurut beliau, gangguan haiwan liar bukan lagi isu kecil, sebaliknya menjejaskan pendapatan sektor pertanian dan menggugat keupayaan jaminan bekalan makanan negeri.

"Bila berlaku konflik antara haiwan dan manusia, maslahat mana perlu diutamakan? Tentunya keutamaan pemerintah ialah rakyat yang bernama manusia.

"Kita faham fitrah haiwan mencari makanan, tapi adakah kita perlu biarkan sahaja sehingga tanaman musnah? Sebab itu ilmu tasawuf perlu seiring dengan ilmu fiqh dalam kita melaksanakan tanggungjawab," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.

Dr. Azman yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Tabung Amanah Gajah Liar Negeri Terengganu menjelaskan bahawa ikhtiar penyelesaian meliputi pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), lampu LED, tembak halau, tangkap pindah, sehinggalah tindakan terakhir iaitu tembak bunuh sekiranya keadaan mendesak.

Mengulas mengenai pelepasan gajah ke habitat semula jadi berbanding Pusat Santuari Gajah, beliau menjelaskan langkah itu lebih mampan selain mengambil kira kos penjagaan di santuari yang memakan perbelanjaan amat besar.

Menjawab isu kemusnahan habitat, beliau menegaskan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Terengganu masih kekal pada paras 42 peratus mengikut sasaran kebangsaan. Keluasan itu memadai untuk habitat kira-kira 200 ekor gajah seperti mana data Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Namun, kewujudan kebun dan ladang di pinggir hutan menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian gajah keluar untuk mendapatkan sumber makanan mudah.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu atas kesungguhan dan komitmen berterusan dalam menangani aduan rakyat serta menjaga ketenteraman kawasan luar bandar.


Tag :

Artikel Berkaitan