lightning-solid
Berita :
Tasik Kenyir Dipilih Lokasi Penggambaran ‘Extracted’, Serlah Potensi Destinasi Ekopelancongan Bertaraf Antarabangsa
Tasik Kenyir Dipilih Lokasi Penggambaran ‘Extracted’, Serlah Potensi Destinasi Ekopelancongan Bertaraf Antarabangsa
Wan Mohammad Omar Ajmain
2 jam yang lepas
126

HULU TERENGGANU, 27 Ogos – Tasik Kenyir terus mencuri perhatian di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai lokasi penggambaran rancangan realiti survival dari Amerika Syarikat, Extracted, sekali gus membuka peluang besar untuk memperkenalkan keunikan khazanah alam Terengganu kepada penonton global.

Perkara itu dizahirkan menerusi Lawatan Rasmi ke Tapak Studio Rancangan TV Extracted di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Revolution Production, Zainir Aminullah.

Turut hadir, wakil Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong, Mohd Safari Abu, Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, Fadli Ngah serta Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan serta persiapan lokasi penggambaran selain melihat sendiri potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi penggambaran produksi antarabangsa.

Extracted kali ini merupakan siri pertandingan realiti survival Amerika Syarikat yang menampilkan 12 peserta biasa tanpa pengalaman hidup di hutan untuk berdepan cabaran hidup dalam persekitaran liar di kawasan Tasik Kenyir.

Peserta bergantung kepada keputusan keluarga sama ada menghantar bekalan atau menekan butang ‘Extract’ untuk menamatkan penyertaan mereka, dengan hadiah utama sebanyak AS$250,000.

Pemilihan Tasik Kenyir sebagai lokasi penggambaran dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap keistimewaan alam semula jadi kawasan berkenaan yang kaya dengan biodiversiti, hutan hujan tropika, kepelbagaian flora dan fauna serta bentuk muka bumi yang mencabar.

Keadaan iklim serta persekitaran hutan hujan tropika Tasik Kenyir yang unik memberikan latar semula jadi yang sesuai dengan konsep survival Extracted, selain menawarkan pengalaman yang berbeza kepada peserta dan penonton rancangan berkenaan.

Lebih penting, peluang dan kepercayaan diberikan kepada Tasik Kenyir untuk menjadi lokasi penggambaran produksi antarabangsa seumpama ini mampu memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, ekonomi setempat serta industri kreatif di Terengganu.

Pemilihan Pulau Poh dan kawasan sekitar Tasik Kenyir turut membuktikan bahawa khazanah alam Hulu Terengganu mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diketengahkan kepada dunia, khususnya dalam industri penerbitan kandungan dan produksi televisyen antarabangsa.

Tasik Kenyir bukan sekadar khazanah alam negeri Terengganu, malah berpotensi menjadi pentas dunia yang memperkenalkan keindahan, biodiversiti dan keunikan hutan hujan tropika Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.


Tag :

Artikel Berkaitan