lightning-solid
Berita :
Terengganu Mahu Manfaat ECRL Untuk Sektor Agromakanan
Terengganu Mahu Manfaat ECRL Untuk Sektor Agromakanan
Noraini Jusoh
39 minit yang lepas
47

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Kerajaan Terengganu mencadangkan supaya kemudahan pengendalian kargo ringan diperluaskan ke beberapa stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menyokong penghantaran hasil agromakanan khususnya dari kawasan Setiu dan Besut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu penting bagi memastikan hasil pertanian daripada projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA) dapat dihantar ke pasaran dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

Menurut beliau, BSA mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan agromakanan strategik negeri selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan.

“Projek ini tentunya mengambil sedikit masa untuk direalisasikan dan beroperasi sepenuhnya. Pada peringkat ini kita boleh merancang pelbagai perkara termasuk memastikan aspek logistik dan pengangkutan diberi perhatian dari awal.

“Saya minta UPEN berbincang kembali dengan pihak ECRL supaya pengeluaran bahan-bahan hasil daripada agro ini dapat memanfaatkan penggunaan ECRL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), TW Agro Dinamilk Sdn Bhd dan Nanyan Holding Sdn Bhd bagi pembangunan Hub Bersepadu Agromakanan dan Penternakan di Kompleks Agro Nanyan, Besut Setiu Agropolitan (BSA), Daerah Setiu di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Nanyan Holding Sdn Bhd, Abdullah Amirurrasyid Abdullah.

Ahmad Samsuri berkata, Terengganu mempunyai enam stesen ECRL iaitu Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Cukai.

Bagaimanapun, katanya, hanya stesen Dungun dan Cukai dirancang untuk mengendalikan penumpang serta kargo, manakala empat lagi stesen adalah untuk pengendalian penumpang.

“Empat lagi stesen adalah untuk pengendalian penumpang. Saya mencadangkan supaya stesen-stesen ini boleh diubah suai bagi mengendalikan kargo ringan dan bukan kargo berat.

“Ini penting khususnya bagi Setiu dan Besut yang memerlukan lonjakan dari segi logistik dan pengangkutan untuk merancakkan pembangunan ekonomi kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan ECRL bagi mengangkut hasil agro juga dapat mempercepatkan penghantaran buah-buahan dan sayur-sayuran ke Kuala Lumpur serta seterusnya ke pasaran eksport termasuk Singapura.

Katanya, tempoh penghantaran amat penting dalam sektor pertanian kerana kelewatan walaupun sehari boleh menjejaskan kualiti serta harga hasil pertanian.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan meneroka kaedah pengendalian kargo ringan di stesen penumpang tanpa memerlukan perubahan besar terhadap struktur laluan ECRL yang boleh melibatkan kos tinggi.

“Saya minta UPEN dan EXCO menggunakan ruang perbincangan dengan pihak ECRL untuk melihat kemungkinan menyediakan kawasan pemunggahan di stesen penumpang, supaya satu atau dua trek yang ada boleh digunakan bagi tujuan tersebut.

“Kalau ini dapat dibuat, saya percaya pengendalian hasil dari Setiu dan Besut nanti akan lebih pantas,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama berkenaan dapat diperluaskan ke kawasan lain di Terengganu sekiranya pelaksanaan pengangkutan kargo ringan melalui ECRL itu berjaya.

Tambahnya, pendekatan berkenaan juga berpotensi memberi manfaat kepada negeri-negeri lain di sepanjang jajaran ECRL.



Tag :

Artikel Berkaitan