Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Teliti Amalan Baik Pembangunan Singapura
Terengganu Teliti Amalan Baik Pembangunan Singapura
Khairul Faez Rosdi
5 jam yang lepas
168

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober 2026 - Kerajaan Negeri meneroka pendekatan serta amalan baik Singapura sebagai rujukan bagi menambah baik perancangan pembangunan negeri serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, lawatan kerja itu memberi pendedahan mengenai pembangunan perumahan bersepadu, pengurusan sisa pepejal, perancangan bandar jangka panjang dan pembangunan ekosistem digital.

Menurut beliau, lawatan berkenaan memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh pembangunan negeri, khususnya berkaitan perancangan bandar, pengurusan persekitaran dan pembangunan digital.

“Kerajaan Negeri Terengganu melihat perkembangan seperti ini dari sudut yang positif sebagai sumber rujukan untuk meneroka idea dan pendekatan baharu.

"Bagaimanapun, setiap pendekatan perlu dinilai berdasarkan kesesuaian, kemampuan dan keperluan tempatan," katanya.

Tambahnya, pembangunan digital juga perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selain menyokong pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Pembangunan digital bukan sekadar tentang teknologi canggih atau bangunan moden, tetapi bagaimana kemajuan itu dapat membuka peluang ekonomi, menarik pelaburan, memperkukuh kemahiran anak muda dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar serta identiti negeri,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, katanya, lawatan kerja rasmi selama dua hari itu melibatkan beberapa lokasi termasuk MyNiceHome Gallery, Singapore City Gallery dan Punggol Digital District selain mengadakan sesi perkongsian dan lawatan teknikal bersama Housing & Development Board (HDB), National Environment Agency (NEA), Urban Redevelopment Authority (URA) dan JTC Corporation.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Ir. Saiful Azmi Suhaili, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu, TPr. Dr. Abu Bakar Mat.

Dato' Wan Sukairi berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk menambah baik perancangan perumahan mampu milik, meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal serta meneroka penggunaan teknologi pintar dalam pembangunan bandar di Terengganu.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri akan terus komited terhadap pembangunan perbandaran yang terancang, bersepadu dan mampan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kesejahteraan rakyat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan