Jalur Gemilang
Berita :
Perkukuh Budaya Ilmu Di Batu Rakit Jadi Keutamaan
Perkukuh Budaya Ilmu Di Batu Rakit Jadi Keutamaan
Izzat Al-qushairi
11 jam yang lepas
87

KUALA NERUS, 17 Oktober – Usaha memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan masyarakat terus menjadi keutamaan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerusi jalinan kerjasama dengan pondok dan pusat pengajian agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, perkara itu dizahirkan menerusi siri jaulah ke pondok dan pusat pengajian dalam DUN berkenaan, termasuk kunjungan ke Pusat Pengajian Irsyadul Jawiyyin, Maras, baru-baru ini.

Menurutnya, kunjungan itu bukan sekadar untuk mengeratkan silaturahim, malah membuka ruang meneroka peluang kerjasama antara pusat pengajian dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit dalam memperluas usaha penyebaran ilmu kepada masyarakat.

“Saya cukup gembira melihat perubahan suasana ilmu yang semakin ketara di DUN Batu Rakit hari ini. Antara yang menyumbang kepada perkembangan ini ialah usaha gigih Al-Fadhil Ustaz Ruhaizam yang istiqamah menyampaikan kuliah di pelbagai masjid dan surau.

“Inilah suasana yang kita impikan apabila masjid dan surau bukan sekadar menjadi tempat ibadah, tetapi turut berperanan sebagai medan menimba ilmu, membina kefahaman agama dan mendidik masyarakat agar lebih dekat dengan Allah SWT,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Beliau turut berharap kerjasama erat antara para ulama, pondok pengajian, masjid, surau dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit dapat terus diperkasakan bagi menyuburkan budaya ilmu.

“Insya-Allah, mudah-mudahan Batu Rakit terus subur dengan ilmu, dihiasi majlis-majlis pengajian serta melahirkan masyarakat yang berilmu, beramal dan bertakwa kepada Allah SWT,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan