Berita :
Tebatan Banjir Menjadi Antara Isu Berulang Dibangkitkan ADUN
Tebatan Banjir Menjadi Antara Isu Berulang Dibangkitkan ADUN
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
77

KUALA TERENGGANU, 22 April - Isu pelaksanaan projek tebatan banjir yang didakwa masih tidak menyeluruh dan tidak selari antara kawasan menjadi antara perkara utama dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, namun kesannya masih belum cukup untuk mengurangkan impak banjir secara berkesan.

"Punca utama yang sering dibangkitkan ialah kerja-kerja tebatan banjir yang masih belum sempurna dan tidak menyeluruh.

"Walaupun terdapat usaha yang telah dilaksanakan, namun kesannya masih belum cukup untuk mengurangkan impak banjir secara berkesan," katanya merujuk kepada bencana bermusim itu.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan penduduk terus berdepan situasi sama setiap kali musim tengkujuh.

"Akibatnya, setiap kali musim tengkujuh, rakyat terpaksa berdepan dengan situasi yang sama, rumah mereka dinaiki air, harta benda rosak dan kehidupan harian terganggu," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerja-kerja tebatan banjir dipercepatkan serta dilaksanakan secara menyeluruh bagi menangani punca utama masalah berkenaan.

Sementara itu, ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid membangkitkan kebimbangan terhadap ketidakselarasan pelaksanaan projek yang boleh menimbulkan risiko limpahan air.

Menurutnya, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih yang bermula pada 1 April 2024 dijangka siap pada 31 Januari 2029, dengan kemajuan kerja di tapak kini mencecah 44.8 peratus.

"Cumanya kita perlu mendapatkan kepastian bilakah kerja-kerja pembinaan longkang di Kampung Pengkalan Arang yang telah siap pengambilan balik tanah ini akan dapat disiapkan sepenuhnya," katanya.

Beliau turut mempersoalkan status proses pengambilan balik tanah yang kini berada di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah serta bilakah pembinaan bagi jajaran terlibat dapat dimulakan.

Jelasnya, kelewatan atau ketidakselarasan pelaksanaan boleh menimbulkan masalah baharu, khususnya ketika musim monsun.

"Kalau dia melibatkan monsun, dia akan menyebabkan satu masalah lain yang akan timbul lagi," katanya.

Lebih membimbangkan, ulasnya lagi, adalah perbezaan kapasiti antara projek tebatan sedia ada dengan projek yang belum dilaksanakan di Sungai Buaya.

"Air daripada 40 kaki masuk kepada 10 kaki, dia akan menyebabkan terjadi limpahan," katanya, merujuk kepada perbezaan lebar saliran antara projek di Banggol Air Lilih dan Sungai Buaya.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dapat diselaraskan mengikut tempoh dan keperluan sebenar bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.


Ketupat

Artikel Berkaitan