Berita :
Serang Warga Asing : "Jika Ada Salah Lapor Polis, Jangan Serang Melulu" - Keluarga
Serang Warga Asing : "Jika Ada Salah Lapor Polis, Jangan Serang Melulu" - Keluarga
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
86

MARANG, 10 Jun - Keluarga mangsa serangan di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Bukit Payung, meminta orang ramai tidak membuat tuduhan melulu berhubung kejadian yang tular sejak semalam.

Ainul Rahmah, yang mendakwa kedai berkenaan milik adiknya berkata, mereka sekeluarga hanya mahu keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang, bukannya melalui andaian atau tindakan sendiri.

Menurutnya menerusi hantaran di Facebooknya, mangsa yang menjaga premis tersebut merupakan adik iparnya, seorang warga Bangladesh yang sudah menetap di Malaysia selama 12 tahun.

Katanya, mangsa memasuki negara ini menggunakan permit sah, mempunyai pasport, lesen memandu serta bekerja di premis yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah undang-undang. Saya minta orang ramai jangan buat andaian atau tuduhan tanpa usul periksa.

“Negara kita ada undang-undang. Jangan buat kerja pihak berkuasa,” katanya.

Ainul mendakwa kejadian berlaku pada waktu Maghrib apabila tiga lelaki tempatan datang ke premis berkenaan sebelum bertindak menyerang mangsa.

Katanya, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat selain didakwa mengugut untuk membunuh mangsa.

“Saya sempat membuat laporan polis sebelum tiba di tempat kejadian dan berlaku pertengkaran mulut dengan suspek.

“Dalam kejadian itu juga, barang-barang di dalam kedai mengalami kerosakan dan adik saya yang baru lapan hari berpantang kini berada dalam keadaan trauma,” katanya.

Menurut Ainul, keluarganya mengalami kerugian besar akibat kerosakan barangan di dalam premis tersebut.

Beliau berkata, tindakan menyerang seseorang tanpa siasatan adalah tidak wajar kerana sebarang keraguan mengenai status warga asing sepatutnya disalurkan kepada pihak berkuasa.

“Kalau ada isu, laporkan kepada polis atau Jabatan Imigresen. Bukan datang menyerang dan bertindak seolah-olah mempunyai kuasa sendiri.

“Jika benar ada kesalahan, biarlah pihak berkuasa yang ambil tindakan,” katanya.

Dalam masa sama, Ainul berkata, keluarganya tidak mahu kejadian itu dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian terhadap mana-mana pihak.

Katanya, apa yang berlaku bukan soal mempertahankan warga asing secara membuta tuli, sebaliknya soal keadilan, keselamatan dan penghormatan terhadap undang-undang.

Difahamkan, dua suspek berjaya ditahan orang awam di lokasi kejadian dan kini sedang direman selama tujuh hari, manakala seorang lagi dipercayai melarikan diri.

Kes berkenaan kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak sahih serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan