Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Tidak Benarkan Orang Ramai Makan Minum Di Restoran Dan Gerai Makanan
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Kerajaan Terengganu tidak membenarkan orang ramai makan dan minum di premis restoran atau kedai makan berkuatkuasa serta merta sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, premis makanan dan minuman hanya dibenarkan menjual secara bungkus, penghantaran dan pandu lalu.
Katanya, premis bukan Islam hanya dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam, manakala peniaga Islam beroperasi pukul 3 petang hingga 10 malam dan makanan restoran makanan segera 12 tengah hari hingga 10 malam.
"Walaupun kerajaan pusat membenarkan makan dalam restoran, tapi memandangkan suasana beberapa hari yang kita perhatikan ini, agak sukar untuk orang kita mengikuti sop ini, maka kita tidak benarkan makan di kedai.
"No dine in (tidak boleh makan dalam premis) cuma take-away(bawa pulang) sahaja.
"Itu satu kelainan sikit yang telah kita setuju oleh majlis pusat kerajaan negeri kerana menimbangkan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas mengadakan lawatan ke premis jualan di Pasar Payang, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed.
Tambah Alias, keputusan dibuat selepas mesyuarat bersama JKNT yang memohon kerajaan negeri mempertimbangkan supaya tidak membenarkan makan di restoran atau di premis-premis kedai makanan buat masa ini
"Tunggulah sampai 12 Mei, mungkin ada perubahan-perubahan yang baharu.
"Kita nak pastikan dengan bersungguh-sungguh supaya rakyat Terengganu selamat, tidak ada kluster baharu atau jangkitan baharu COVID-19 ini," katanya.
06 May 20
636
Polis Perketat Pemantauan Di Kawasan Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan seperti jarakan sosial diamalkan sepenuhnya.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, perkara itu dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam yang menyaksikan sekatan jalan raya di negeri itu dikurangan kepada 20 berbanding 49 sebelum ini.
“Kita berikan tumpuan kita kepada perkara lain pula selepas sekatan jalan raya dikurangkan dalam PKPB ini, tumpuan ini bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi orang ramai,” katanya kepada media.
Menurut beliau, pihaknya juga akan terus memperketat kawalan di setiap pintu sempadan negeri termasuk ‘lorong-lorong tikus’ dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dari luar Terengganu.
“Saya telah arahkan petugas untuk membuat pemeriksaan yang cukup ketat dan rapi.
“Sekiranya tidak mempunyai sebarang surat atau tujuan yang kukuh, orang dari luar tidak boleh masuk ke Terengganu supaya tidak ada kluster import baharu,” tambah beliau.
06 May 20
250
Awas, Jika Tidak Patuh PKPB!
KUALA TERENGGANU, 4 Mei- Kerajaan Terengganu mengingatkan rakyat negeri itu supaya mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu dengan sebaik mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menyatakan, keputusan kerajaan negeri menerima pakai PKPB tertakluk kepada perkembangan semasa dan boleh ditarik balik sekiranya didapati tahap pematuhan kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) rendah.
"Walaupun PKPB ini dilaksanakan, hakikatnya kita masih berada dalam PKP Fasa keempat dan kehidupan seharian kita tetap akan berlangsung dalam suasana norma baharu.
"Kami berharap, kesedaran serta kawalan kendiri setiap individu dapat dioptimumkan dan perkara-perkara berkaitan amalan penjarakan social (social distancing), keluar rumah hanya bila perlu, kerap membasuh tangan dengan sabun atau ‘sanitizer’ dan memakai ‘facemask’ hendaklah terus diamalkan," tulisnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui laman Facebooknya, semalam.
Jelasnya, tempoh PKPB bermula semalam menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan berbanding berbanding PKP Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3.
"Antara kelonggaran itu termasuklah kebenaran beroperasi untuk premis-premis tertentu sebagaimana yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertujuan merancakkan semula sektor ekonomi sekaligus membantu rakyat keseluruhannya yang terjejas akibat larangan yang dikenakan sebelum ini.
Pekerja pasaraya melakukan pemeriksaan suhu ke atas pelanggan yang datang.
"Selain itu, kelonggaran dari segi waktu operasi juga diberikan kepada premis perniagaan untuk beroperasi sehingga selewat-lewatnya jam 10.00 malam berbanding sebelum ini yang terhad sehingga jam 8.00 malam sahaja," katanya.
Stesen Minyak yang beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 malam sebelum ini turut dibenarkan memanjangkan tempoh operasi tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
06 May 20
335
Hanafiah Santuni 318 Anak Yatim
KEMAMAN, 4 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menyantuni seramai 318 orang anak yatim di sekitar kawasan Chukai dalam beberapa pertemuan yang telah dijalankan secara ringkas dan berperingkat.
Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pihak Cakna Anak Yatim Kemaman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh DUN Cukai yang telah terbabit secara langsung atau tidak dalam menjayakan program pada kali ini.
"Menyantuni anak yatim sememangnya menjadi program tahunan buat kami di sini setiap kali tibanya bulan Ramadan.
"Alhamdulillah, tahun ini kita berjaya juga menyantuni anak-anak yatim di sini walaupun dalam majlis yang begitu ringkas tidak seperti tahun-tahun lepas.
"Kebiasaannya kita turut mengadakan majlis berbuka puasa dan sebagainya," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis yang berlangsung di Dewan Balairaya Taman Fikri 2, baru-baru ini.
Ianya selaras dengan situasi negara yang kini yang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Mohd Nur Syamil, 17, mengucapkan terima kasih kepada Hanafiah yang telah memberikan sumbangan kepadanya.
"Insya-Allah, kami akan menggunakan duit sumbangan yang diberikan ini sebaik yang mungkin dalam menghadapi Ramadan pada tahun ini," ujarnya.
06 May 20
110
Kawal Kendiri, Elak Timbul Kes Positif Baharu - Exco
KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Seluruh rakyat Terengganu diingatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan membuat kawalan kendiri bagi mengelakkan timbul kes positif baharu di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini bukan bermaksud masyarakat bebas bergerak dan boleh melakukan segala aktiviti seperti biasa.
“Kita masih berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, cuma dilonggarkan beberapa sektor terutamanya membabitkan ekonomi, itu pun secara bersyarat.
“Dalam erti kata lain, aspek kesihatan untuk membasmi wabak COVID-19 masih perlu kita utamakan, terus amalkan langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Kita tidak mahu negeri kita mempunyai kes baharu atau peningkatan pesakit secara mendadak sebagaimana yang berlaku di Selangor kelmarin,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nor menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang ingkar SOP termasuk menarik balik PKPB sebagaimana pengumuman Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Saya menyeru supaya setiap rakyat menjaga disiplin, kawalan kendiri itu lebih penting daripada undang-undang.
“Contohnya jika tiada undang-undang yang menyekat untuk membawa anak keluar rumah, maka kita perlu bertanya dengan diri sendiri apakah perlu membawa anak pergi ke tempat ramai atau sebaliknya.
“Tidak semua perkara mesti ada undang-undang kerana kawalan kendiri itu lebih penting sebenarnya,” katanya.
06 May 20
50
Lagu TMBS 03 Mac 2020
Lagu TMBS 03 Mac 2020
05 May 20
86
Jangan Bawa Anak Semasa Beli Barang Keperluan – Polis
KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak ketika keluar untuk membeli barang keperluan harian termasuk juadah berbuka puasa.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, hasil tinjauan di beberapa lokasi secara rawak, pihaknya berjaya mengesan sebahagian penjaga yang mengambil sikap sambil lewa dalam hal itu semasa bulan Ramadan ini.
Tegasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dipandang mudah dan masih berjalan walaupun dilonggarkan bersyarat.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati mereka yang membawa dua atau tiga anak menaiki motosikal untuk tidak melakukan sedemikian.
“Kita masih dalam PKP, jadi kena patuh dengan peraturan-peraturan serta SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita.
Tambah beliau lagi, setakat ini pihaknya masih melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri walaupun jumlah anggota telah dikurangkan semasa operasi itu.
Jelasnya, pihaknya turut melakukan rondaan dan pemantauan di lorong-lorong tikus bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutus rantaian COVID-19.
04 May 20
185
Majikan, Pekerja Perlu Patuhi SOP
KUALA TERENGGANU, 4 Mei- Semua majikan dan pekerja perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ketika beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dapat dilakukan dengan sebaiknya.
"Kepada yang terpaksa bekerja contohnya pekerja pembersihan, kita nasihatkan kepada majikan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Majikan perlu memastikan pekerja dalam keadaan sihat, mengekalkan amalan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, amalan sanitasi yang betul, mensanitasi peralatan yang digunakan untuk kerja pembersihan dan lain-lain yang perlu, " ujarnya ketika bersiaran dalam Wawancara Khas COVID-19: APM Dan Komitmen Barisan Hadapan di TV Darul Iman, semalam.
Semeentara itu, beliau yang juga merangkap Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, rakyat Terengganu khususnya perlu meningkatkan kawalan kendiri dalam usaha mencegah penularan COVID-19 terutamanya dalam tempoh PKPB ini.
Katanya, setiap individu seharusnya memainkan peranan dalam mendisiplinkan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.
"Tanggungjawab menjaga diri dan keluarga adalah daripada disiplin kita dan kita mesti melakukan kawalan kendiri demi keselamatan bersama," ujarnya.
04 May 20
227
Lagu TMBS 6 Februari 2020
Lagu TMBS 6 Februari 2020
03 May 20
215
Terengganu Sedia Laksana PKPB
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan negeri bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana saranan kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia amat bertepatan dengan hasrat pihaknya untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang agak lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tiga fasa sebelum ini.
“Keputusan ini dibuat selepas melihat kebajikan rakyat dan perkembangan terkini kes COVID-19 di Terengganu yang bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Tegas Ahmad Samsuri, semua pihak perlu mematuhi setiap syarat yang ditetapkan dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika peraturan tersebut dilanggar.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat.
“Kerajaan negeri tetap memandang serius akan pelaksanaannya dan terus komited dengan apa sahaja langkah pencegahan, terutama pematuhan yang ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Pada 1 Mei yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pelaksanaan PKPB bermula esok bagi mengerakkan kembali ekonomi negara selepas rugi RM2.4 bilion sehari.
Untuk rekod, kelonggaran pergerakan yang diberikan di Malaysia adalah berbeza dengan negara lain.
Perbezaan ketara adalah pembukaan sempadan apabila melonggarkan sekatan, sebaliknya kawalan sempadan Malaysia tetap diperketatkan selain terus memantau wabak dalam masyarakat setiap hari dengan melihat lokaliti dan kumpulan sasar.
03 May 20
143