Artikel "Utama" Terkini
Ramadan On Wheels Serikan Petang Puasa
KUALA TERENGGANU, 28 April- Jabatan Penerangan (Japen)Negeri Terengganu menggunakan pendekatan baharu secara kreatif dan inovasif melalui program ‘Ramadan On Wheels’ (ROW) bagi menyampaikan tazkirah Ramadan bermula fasa keempat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
ROW adalah sambungan daripada program `Info On Wheels’ (IOW) iaitu hebahan melalui pembesar suara menggunakan kenderaan jabatan atau unit bergerak dengan menjelajah ke seluruh kawasan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu semasa dan terkini tentang pematuhan PKP.
Pengarah Japen Negeri Terengganu, Azahar Ismail berkata, khusus untuk bulan puasa kali ini, pihaknya turut menyediakan audio tazkirah Ramadan selain masih mengekalkan hebahan agar orang ramai sentiasa mematuhi PKP.
Azahar Ismail
Katanya, audio tazkirah itu disediakan oleh Ibu Pejabat Japen Malaysia, Putra Jaya dan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu berkisar kepada kelebihan bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan.
`Unit bergerak ini akan berada di kawasan penempatan seperti taman perumahan, rumah pangsa dan kampung bermula jam 5 petang setiap hari sehingga PKP fasa empat tamat kecuali hari cuti.
"Kita ambil kesempatan tersebut apabila sambutan pada kali ini amat berbeza berikutan negara dilanda pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta tidak lagi dibenarkan menganjurkan majlis iftar dan berterawih secara berjemaah," ujarnya.
Sempena program itu, Japen Negeri Terengganu turut menyediakan bungkusan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk kampung terutama mereka yang terkesan dengan arahan PKP.
Azahar menambah, jabatannya telah melaksanakan sebanyak 5318 hebahan di seluruh negeri membabitkan 2005 kawasan bermula fasa pertama PKP hingga ke fasa ketiga.
Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad menyampaikan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk, Hanafiah Ismail.
Katanya, pada ketiga-tiga fasa itu, pihaknya meminta orang ramai agar mematuhi PKP selain sentiasa berhati hati dengan berita palsu yang tular dalam media sosial.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad berkata, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu memulakan program ROW fasa keempat di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu semalam.
Katanya, unit bergerak membuat hebahan agar orang ramai mematuhi arahan PKP dengan mengelilingi kampung dan berhenti di hadapan pasar mini bagi memperdengarkan tazkirah Ramadan.
Beliau berkata, secara tidak langsung, program ROW dapat menghidupkan suasana Ramadan selain menyebarkan maklumat mengenai pematuhan PKP.
Wakil penduduk Kampung Gong Baru, Hanafiah Ismail pula berkata, tindakan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu dengan menggunakan unit bergerak untuk menyampaikan tazikrah amat dialu-alukan kerana pihak masjid tidak dibenarkan mengadakan akitiviti sepanjang perintah PKP ini.
`Dengan adanya tazkirah yang didengarkan oleh Pejabat Penerangan, sekurang-kurang orang ramai dapat merasai suasana Ramadan walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19," katanya.
28 Apr 20
152
COVID 19 : Rakyat Terengganu Dinasihatkan Berjaga-jaga, Ikut Langkah Pencegahan
Oleh: Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Rakyat Terengganu dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dengan penularan wabak coronavirus (Covid-19) yang kini berada di peringkat kedua.
Setelah wabak ini diisytiharkan sebagai 'pandemik' oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan negeri telah mengeluarkan satu pekeliling untuk menangguhkan sebarang program yang melibatkan orang ramai.
Arahan ini juga adalah tertakluk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu ekoran daripada penularan wabak yang semakin meningkat di Malaysia.
Kerajaan negeri telah menggesa semua program-program yang melibatkan perhimpunan melebihi 100 orang peserta hendaklah ditangguhkan buat sementara waktu.
Berdasarkan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga jam empat petang semalam seramai 158 orang telah dilaporkan positif COVID-19.
Walaubagaimanapun, Terengganu masih lagi terkawal dan tiada kes disahkan positif dilaporkan setakat ini.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak COVID-19 dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan daripada laman sesawang KKM, http://www.moh.gov.my @ https://www.infosihat.gov.my
13 Mar 20
848
Coronavirus : Terengganu, Jabatan Kesihatan Pantau Tapak ECRL Dan Pelabuhan
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kerajaan Terengganu dan Jabatan Kesihatan terus memantau beberapa kawasan terutamanya tempat penginapan pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pelabuhan bagi membendung penularan wabak coronavirus (2019-nCoV) di negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, meskipun tiada kes melibatkan virus itu di Terengganu, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil bagi menghilangkan kebimbangan rakyat.
“Semua kawasan akan dipantau, termasuklah kemasukan kapal-kapal dari pelabuhan Kerteh dan Kemaman, alhamdulillah setakat ini pemeriksaan mendapati tiada apa-apa yang berlaku.
“Dalam tempoh ini ada sekitar 1,400 orang dari negara luar termasuk yang bekerja telah masuk melalui pelabuhan berkenaan, dan apabila dijalankan imbasan, mereka ini tidak dijangkiti virus,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan, kehadiran pelancong dari negara China telah dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui beberapa pintu masuk utama.
“Pelancong-pelancong yang datang ke Terengganu melalui lapangan-lapangan terbang antarabangsa sama ada di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang akan diperiksa oleh KKM.
“Sebelum masuk ke Terengganu, mereka diperiksa di sana dahulu, ada pun yang masuk melalui sempadan negara, contohnya Thailand-Kelantan, kerajaan turut menjalankan pemeriksaan.
“Buat masa ini, di pihak kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan, kita sentiasa lakukan pantauan, langkah waspada kita tingkatkan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berautoriti sebelum membuat apa-apa tindakan.
Untuk rekod, jumlah kematian akibat virus meningkat 26 hingga132 orang di China, manakala jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 5,974 kes.
Jumlah kes di China kini melebihi 5,327 kes Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh kira-kira 800 orang di seluruh dunia pada 2002-2003.
28 Jan 20
135
Jangan Panik, Tiada Jangkitan Coronavirus Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak panik dan mempercayai sebarang berita palsu berkaitan jangkitan Novel Coronavirus di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menegaskan perkara itu selepas tersebar berita seorang kanak-kanak yang disyaki dijangkiti Coronavirus dilarikan dari Hospital Kemaman.
Sebaliknya apa yang berlaku katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak faham dengan apa yang dimaklumkan oleh doktor kerana masalah komunikasi bahasa lalu membawa pulang semula anaknya ke tapak ECRL dan bukannya melarikan diri.
"Tambahan pula kanak-kanak berkenaan cuma mengalami simpton Coronavirus dan masih belum disahkan positif penyakit itu sebagaimana tular di laman sosial.
"Sebarang maklumat selanjutnya akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Hospital Terengganu dalam masa terdekat, warga Kemaman khususnya jangan panik dan mempercayai khabar angin," tegasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kanak-kanak tersebut bagaimanapun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dikuarantin.
"Pihak Hospital meminta bantuan Polis untuk mengesan kanak-kanak ini. Polis serta-merta mengambil tindakan bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak ini di ECRL.
"Kemudiannya membawa kanak-kanak ini menaiki ambulans dan terus dibawa ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia lima tahun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bagaimanapun pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki Patient Under Investigation (PUI) atau pesakit Coronavirus.
Pihak hospital memberi rawatan biasa kepada kanak-kanak itu.
Kanak-kanak itu dimasukkan ke wad di hopsital berkenaan jam 6.15 petang tadi,
Terdahulu dilaporkan, kanak-kanak itu bersama ibu bapanya ke Hospital Kemaman jam 13.34 tengah hari tadi untuk mendapatkan rawatan.
27 Jan 20
94
Kesedaran Derma Organ Di Terengganu Masih Rendah
Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Kesedaran menderma organ secara sukarela di negeri Terengganu masih belum berada pada tahap membanggakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ia berikutan hanya 1.8 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan rakyat Terengganu yang telah berikrar menderma organ selepas kematian.
Jelasnya, sehingga kini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hanya merekodkan sekitar 22,540 pengikrar berbanding lebih 1.2 juta penduduk negeri itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 10 orang penderma sahaja telah berjaya mendermakan orang mereka kepada golongan yang memerlukan. Ia melibatkan perndermaan buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan organ-organ lain.
“Apa yang menjadi halangan adalah faktor budaya dan agama yang menganggap bahawa pendermaan organ dan tisu menyalahi hukum sedangkan bagi orang Islam terdapat fatwa yang jelas bahawa perkara itu dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 2020 di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini hari ini.
Walau bagaimapun katanya, beliau yakin kesedaran itu akan meningkat dari semasa ke semasa berikutan sudah ramai yang mula menyedari akan kepentingan pendermaan organ.
“Semoga orang ramai akan terus meningkatkan kesedaran mereka dan mendaftar sebagai penderma organ.
“Kita boleh mendaftar apabila kita meneliti segala aspek dan ilmu pengetahuan serta menolak persepsi negatif yang mengatakan bahawa ia akan memudaratkan kesihatan penderma,” tambah beliau.
18 Jan 20
165
Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan Akan Dibaik Pulih
Dr Alias (tengah) akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.
Oleh : Safwan Syakir
KUALA NERUS, 26 Ogos - Tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan di sini akan dibaik pulih dengan segera bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar akibat pengurusan sampah yang tidak sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menegaskan, proses membaik pulih tempat berkenaan turut melibatkan pembinaan tapak baharu berdekatan ‘landfill’ sedia ada bagi menampung lebihan sampah.
Beliau walau bagaimanapun berkata, peruntukan untuk tujuan tersebut akan dirunding dan dibincang terlebih dahulu bersama kerajaan negeri dan jabatan terlibat sebelum sebarang operasi dilaksanakan.
“Kita sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri bagi mewujudkan satu lagi tapak pelupusan baharu di atas tanah kerajaan berdekatan tapak sedia.
“Peruntukan berkenaan turut akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur tempat pelupusan sampah sedia ada seperti jalan raya dan saliran longkang bagi memudahkan laluan keluar masuk lori sampah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke tapak pelupusan sampah berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok.
Sebelum itu, Dr. Alias yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, pihaknya menyambut baik cadangan untuk menggunakan teknologi baharu bagi melupuskan sampah.
Katanya, inisiatif berkenaan akan diteliti terlebih dahulu memandangkan teknologi itu masih belum terpakai sepenuhnya di Malaysia.
“Teknologi itu boleh memproses sampah menjadi tenaga, sudah tentu teknologi ini banyak manfaatnya, antaranya ia mampu menjimatkan penggunaan tanah.
“Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam tempoh percubaan melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Incoporated (Terengganu Inc), kita akan lihat hasilnya nanti,” tambah beliau.
Dr Alias berkata air buangan sisa pepejal itu berisiko mengancam kehidupan haiwan di sungai yang berdekatan.
Untuk rekod, tapak pelupusan sampah Sungai Ikan yang dibuka pada tahun 2005 itu meliputi kawasan seluas 34.5 hektar.
Dianggarkan sampah yang dibuang pada hari biasa adalah sekitar 250 hingga 280 tan sehari dan pada musim perayaan jumlah sampah akan berganda mencecah hampir 320 tan sehari.
26 Aug 19
2563