Artikel "Utama" Terkini
Ucapan Aidilfitri Daripada YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Ucapan Aidilfitri Daripada YB Ustaz Satiful Bahri Mamat Selamat Hari Raya Aidifitri buat semua rakyat Terengganu yang tercinta. Tidak dilupakan buat barisan hadapan yang sedang bertugas untuk negara. Dan juga perantau yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman. Salam lebaran, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah SWT menerima amal ibadat kita semua.
25 May 20
580
Ucapan Aidilfitri Daripada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ucapan Aidilfitri Daripada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Selamat Hari Raya Aidifitri buat semua rakyat Terengganu yang tercinta. Tidak dilupakan buat barisan hadapan yang sedang bertugas untuk negara. Dan juga perantau yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman. Salam lebaran, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah SWT menerima amal ibadat kita semua.
25 May 20
866
PKPB Dilanjut Sehingga 9 Jun
PUTRAJAYA, 10 Mei - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan sehingga 9 Jun bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam memerangi COVID-19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya.
“Langkah-langkah masih perlu diambil bagi memerangi wabak ini dan dari segi pandangan umum rata-rata rakyat mahukan kerajaan mengambil langkah wajar bagi membendung wabak ini,” ujarnya dalam Perutusan Khas hari ini.
Menurut beliau lagi, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi PKPB akan kekal berkuatkuasa untuk tempoh empat minggu lagi.
“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah Muhyiddin.
10 May 20
208
Petugas Kebersihan 'Wira Tak Didendang' Diraikan Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 10 Mei - Di saat dunia memerangi wabak Covid-19, ada wira tidak didendangkan yang tidak ketinggalan menjalankan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga.
Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata peranan petugas barisan hadapan (frontliner) seperti doktor, jururawat, polis dan tentera dalam memerangi Covid19 tidak perlu dipersoalkan lagi.
Katanya, beliau turut menganggap petugas kebersihan juga merupakan barisan hadapan atau wira yang perlu diberi penghargaan.
"Petugas-petugas kebersihan sanggup berhadapan dengan risiko untuk dijangkiti disaat mereka terpaksa kerja walaupun dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Mereka ini banyak membantu negeri kita dalam memastikan setiap kawasan terjaga kebersihannya terutama ketika wabak ini melanda.
"Sebab kita mengambil keputusan untuk memberi sedikit tanda penghargaan sebagai membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dari sudut agama itu sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Kepada Pekerja Kebersihan Hulu Terengganu di Pusat Tarbiyyah Kawasan Hulu Terengganu, hari ini.
Seramai 185 petugas dari 10 syarikat kebersihan di daerah ini menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Ramadan kali ini.
10 May 20
192
Pasukan 'Taskforce' Pantau Pematuhan PKPB Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah menubuhkan pasukan 'taskforce' bagi memantau kepatuhan orang ramai terhadap PKPB di negeri itu bermula semalam.
Pasukan tersebut turut dianggotai pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dan RELA.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, MBKT berkata, 'taskforce' terbabit akan menjalankan rondaan di premis perniagaan, tapak binaan, taman rekreasi awam, pasar awam, pasar borong dan pusat pengangkutan awam.
"Turut diberi tumpuan adalah kawasan pasar raya, rumah ibadat, hotel dan rumah tumpangan.
"Kesemua mereka juga ditugaskan untuk menangani masalah ketidakpatuhan arahan PKPB di kalangan peniaga, pengurus, pengusaha, penjaja serta orang awam," ujar kenyataan tersebut.
Ujar kenyataan itu lagi, pasukan itu akan melakukan rondaan mengikut dua sesi.
"Sesi satu seawal jam 8 pagi hingga 4 petang dan sesi kedua bermula jam 4 petang hingga 12 malam.
"Setiap pasukan yang bertugas akan dianggotai tiga orang polis, dua ATM, tiga MBKT, tiga orang KPDNHEP, dua pihak APM dan dua RELA menjadikan 15 anggota kesemuanya.
"Pihak kami berharap agar orang awam termasuk peniaga, pengusaha, pengurus serta penjaja memberikan kerjasama yang padu dengan mematuhi sepenuhnya arahan PKPB yang ditetapkan," tegas kenyataan itu.
08 May 20
322
Nasihat Tuan Guru kepada rakyat Malaysia
Bagi menghadapi wabak Covid-19, ini nasihat Tuan Guru kepada seluruh rakyat Malaysia.
08 May 20
134
JHEAT Tetapkan Arahan Tatacara Akad Nikah
KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menetapkan arahan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah di Negeri Terengganu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) / Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan ancaman wabak COVID-19.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata, arahan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah itu berkuatkuasa 3 Mei.
Menurut beliau, majlis akad nikah hendaklah dilaksanakan di lbu Pejabat JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bagi tujuan keselamatan, pematuhan tatacara serta kemudahan pemantauan.
Tegasnya, pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat- tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu.
"Pemohon hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Ketua Polis Negeri atau Daerah (Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan) jika perlu.
"Pegawai Agama Daerah akan menentukan tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon," ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan (tidak melebihi 10 orang dewasa) dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan.
Menurut beliau, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit.
"Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah,"ujarnya.
Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, PAD atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu boleh menangguhkan majlis tersebut.
"Dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti pendaftaran dan pengeluaran sijil perakuan nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKP," jelasnya.
06 May 20
205
JHEAT Tetapkan SOP Bagi Proses Pengeluaran Kebenaran Berkahwin
KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memutuskan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengeluaran kebenaran berkahwin di Negeri Terengganu berkuatkuasa 3 Mei.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata, penetapan SOP itu merujuk kepada situasi semasa berkaitan dengan pelanjutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) / Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan ancaman wabak COVID-19.
Katanya, pemohon hendaklah menghubungi talian hotline Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bagi mendapatkan pertanyaan dan penjelasan cara dan kaedah yang sepatutnya dilakukan.
"Membuat permohonan kebenaran berkahwin secara atas talian melalui emunakahat.terengganu.gov.my.
"Cetak dan sempurnakan borang permohonan (termasuk tandatangan pihak-pihak), serta sediakan semua dokumen yang diperlukan sebagaimana senarai semak borang," ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, borang yang telah sempurna beserta semua dokumen perlu diambil gambar dan dihantar ke nombor hotline yang berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, Mat Azmi berkata, Pendaftar akan membuat semakan awal pada borang dan dokumen yang telah dihantar oleh pemohon melalui whatsApp hotline.
"Jika borang adalah lengkap dan Pendaftar berpuas hati, Pendaftar akan menetapkan satu tarikh yang sesuai untuk pemohon hadir sendiri ke PAD yang berkenaan untuk menghantar borang permohonan beserta dokumen yang diperlukan, bayaran fi yang berkaitan dan terima borang kebenaran berkahwin atau sokongan berkahwin pada hari yang sama," ujarnya.
06 May 20
590
100 Kakitangan Sokongan Wisma Darul Iman Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Seramai 100 orang pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan daripada kumpulan sokongan Kompleks Wisma Darul Iman menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian asas daripada Syarikat Muaz Maju Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Muaz Maju Sdn Bhd, Mohd Azrul Dato' Seri Haji Zakaria berkata sumbangan ini bagi meringankan beban dan menghargai jasa mereka yang bekerja semasa negara ini ditimpa wabak.
" Saya dan masyarakat sangat menghargai jasa dan sumbangan pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan yang komited menjalankan tugas dalam tempoh wabak yang berlaku dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana ia merupakan satu tugas yang berisiko.
"Oleh itu, saya merasa terpanggil untuk memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada mereka yang bertugas," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Beliau turut berkata sumbangan ini juga bersempena Program CSR Covid-19 yang telah diteruskan di beberapa buah tempat sebelum ini.
" Program CSR yang dilaksanakan ini telah dibuat di beberapa buah tempat antaranya mengagihkan sumbangan kepada para petugas barisan hadapan seperti polis dan petugas kesihatan di hospital.
"Program ini juga bertujuan membantu pihak yang kurang berkemampuan dan juga merupakan rentetan siri bantuan yang diadakan pada bulan Ramadan," jelasnya.
Penyampaian sumbangan diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh di Kompleks Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Dr Mamad berkata beliau sentiasa akan menyokong usaha baik mana-mana pihak tertentu dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih buat syarikat Muaz Maju Sdn Bhd yang menghargai jasa pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan yang sedang bertugas ketika PKP sedang berlangsung," ujarnya.
06 May 20
426
Kelonggaran PKP Peluang Rakyat Lunas Kewajipan
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Keputusan kerajaan Persekutuan memberikan kelonggaran kepada rakyat untuk keluar setelah melalui 46 hari Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) membuka peluang kepada rakyat untuk menjalankan kewajipan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di media sosialnya, semalam menyatakan bahawa menunaikan tanggungjawab mencari rezeki buat keluarga khususnya mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap adalah wajib.
"Adapun solat di masjid itu adalah fardhu kifayah atau sunnah muakkadah (mengikut khilaf ulama’), maka perkara wajib perlu didahulukan," tulisnya.
Jelasnya, kenyataan ini bagi menjawab pertikaian sesetengah pihak yang mempersoalkan mengapa kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat untuk keluar sedangkan masjid tidak dibenarkan lagi untuk dibuka kepada umum.
Beliau turut berkongsikan kisah Imam Hassan Al-Banna yang menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid tanpa azan setelah melihat dua ‘muazzin’ berkelahi untuk melaungkan azan bagi mengutamakan perkara wajib iaitu menyatukan orang Islam (solat berjemaah) berbanding perkara sunat iaitu azan.
“Bagaimanapun, kelonggaran tersebut hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dihentikan demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Muhammad Khalil turut berharap agar masyarakat dapat memberikan kerjasama yang baik dalam mengikuti segala arahan dan peraturan yang telah ditetapkan agar penularan wabak ini dapat dibendung.
06 May 20
46