Artikel "Sukan" Terkini
SUTERA Medan Pembinaan Bakat Sukan Terengganu
Penganjuran Sukan Terengganu (SUTERA) merupakan langkah kerajaan negeri bagi mewujudkan keseimbangan disiplin sukan di setiap daerah dalam Terengganu.
25 Sep 25
82
SUTERA 2025: Kuala Nerus Mahu Kekal Juara
Kontinjen Kuala Nerus optimis untuk mengekalkan status sebagai juara bertahan Sukan Terengganu (SUTERA) setelah kali terakhir menjuarainya pada tahun 2021.
25 Sep 25
95
Skuad Tenpin Boling Kuala Terengganu Raih Emas
KUALA TERENGGANU, 24 September - Skuad tenpin boling Kuala Terengganu terus menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang pingat emas pada Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 selepas pasangan Nur Saadah Mohd Zamri dan Khairina Fatiha Abd Latif mengungguli acara tenpin boling beregu (wanita) di pentas akhir yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas gandingan tersebut mengumpul keseluruhan 2,052 mata untuk mengatasi pencabar terdekat iaitu pasangan Sulaiha Sulaiman dan Teh Sufia Danisha Mohd Sufian dari kontinjen Kuala Nerus yang terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan meraih keseluruhan 1,950 mata.
Pingat gangsa menjadi milik pasangan kontinjen Kemaman, Nur Alia Hqadeeja Zawawi dan Nur Atikah Abdul Rahim yang mengutip keseluruhan 1,945 mata.
Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 berlangsung dari 23 hingga 27 September ini menampilkan 332 pingat yang menjadi rebutan semua kontinjen bertanding.
Sebanyak 13 acara dipertandingkan dalam kejohanan dwi tahunan itu antaranya bola sepak, olahraga, bola tampar, tenis, lawn bowls, berbasikal, badminton, bola jaring, tenpin boling, sepak takraw, pencak silat, ping pong dan e-sports.
24 Sep 25
544
SUTERA : Kuala Terengganu, Kemaman Raih Emas Pertama
KUALA NERUS, 24 September - Kontinjen Kuala Terengganu dan Kemaman menguasai acara berbasikal kriterium pada temasya Sukan Terengganu (SUTERA 2025) apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori wanita dan lelaki di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah, di sini, hari ini.
Pelumba dari Kuala Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin muncul juara kategori wanita selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 49 minit 30 saat mengatasi wakil Kuala Nerus, Azri Masturina Batrisya Arzimawi yang meraih pingat perak dengan catatan maasa 49 minit 30.15 saat.
Dalam kategori lelaki pula, kontinjen Kemaman menonjol apabila Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Abdul Fadhil Sham mencatat masa terpantas dengan catatan 46 minit 58 saat.
Kemaman turut menambah kutipan pingat menerusi Tengku Najib Tengku Norizan yang membawa pulang gangsa dengan catatan masa 47 minit 53 saat.
Sementara itu, Muhammad Rabbani Hashim dari Kuala Nerus yang menjadi tumpuan ramai pula terpaksa berpuas hati meraih pingat perak apabila mencatatkan masa 47 minit.
Acara kriterium membuka temasya SUTERA hari ini, menyaksikan acara wanita disertai tujuh peserta membabitkan daerah Kemaman, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu telah berlangsung melibatkan enam pusingan kayuhan berjarak 24 kilometer.
Manakala, kategori lelaki pula melibatkan penyertaan seluruh daerah kecuali Dungun dengan 17 peserta bersaing dalam lapan pusingan bagi menghabiskan jarak 32 km.
24 Sep 25
146
Semangat 'Setiu Fighters' Bakal Gegar SUTERA 2025
SETIU, 21 September – Kontinjen Setiu tampil dengan semangat juang tinggi bakal menggegarkan pentas Sukan Terengganu (SUTERA) 2025.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kontinjen Setiu bakal memberikan saingan hebat edisi SUTERA kali ini dan optimis dengan kedudukan yang lebih baik dari sebelum ini.
"Saya mengharapkan kita semua membawa semangat 'Setiu Fighters' dan menyumbang seberapa banyak kemenangan pada SUTERA nanti, katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Setiu di Mini Stadium Sungai Tarom.
Turut hadir Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor sebagai Pengerusi Majlis Sukan Daerah Setiu.
Beliau yang dilantik sebagai Chief de Mission (CDM) dibantu Timbalan 1 CDM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof manakala ADUN Permaisuri, Mohd Yusof Majid dilantik Timbalan 2 CDM.
Kata beliau, pada edisi SUTERA kali ini Setiu menyertai 12 daripada 13 acara yang dipertandingankan dengan penyertaan 181 atlet dan 49 pegawai.
SUTERA yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 September di Kuala Nerus hujung minggu ini mencatatkan penyertaan seramai 181 atlet dan 49 pegawai.
Dengan semangat kesukanan yang membara, kontinjen Setiu diyakini mampu memberi saingan sengit dan mengharumkan nama daerah di pentas SUTERA 2025.
21 Sep 25
149
Faris Juara Piala Sultan Mizan 2025
SETIU, 14 September – Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2025 melakar detik penuh gemilang apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari dari State of Terengganu Endurance Team sebagai juara CEI 2* 120KM individu dalam Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong.
Dengan catatan masa enam jam satu saat, Faris menunggang kuda kesayangannya, Schyva El Tercero menerima hadiah wang tunai RM18,000 beserta piala pusingan dan medal kemenangan. Lebih manis, Schyva El Tercero turut dinobatkan sebagai Kuda Terbaik kejohanan dengan hadiah tambahan RM25,000, piala serta penghormatan tertinggi apabila Sultan Mizan sendiri berkenan mencemar duli menyuapkan makanan kepada kuda terbaik itu.
Nama Faris Haikal bukan asing dalam dunia kuda lasak. Pada 2024, beliau pernah menggegarkan Lembah Bidong apabila menjulang Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bagi kategori CEI*2 120KM dengan catatan enam jam lima minit. Pada edisi 2023 pula, beliau dinobatkan johan 120KM individu dalam Piala Sultan Mizan dengan hadiah wang tunai RM18,480, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai bintang masa depan sukan kuda lasak tanah air.
Naib johan tahun ini disandang Muhammad Izhar Hamzah dari Khalifah Arabian Endurance Team dengan masa enam jam 35 minit 08 saat, membawa pulang RM15,000 dan trofi. Tempat ketiga dimenangi penunggang Belarus, Viktoriya Melnikava dari pasukan yang sama, yang menunggang Kaet Tariq dengan hadiah RM10,000.
Dalam kategori CEI 1* 100KM, Mohammad Firdaus Hamid dari TNT Endurance Team muncul juara dengan catatan lima jam 52 minit 27 saat, diikuti rakan sepasukan Suhardi Ghani di tempat kedua dan Muhammad Aminuddin Musyarafi dari NEXT Endurance Team di tempat ketiga.
Sementara itu, kategori belia CEIYJ 1* 100KM dimenangi Abdullah Faqeh Muhammad dari Ar-Raudhah Al-Amin, diikuti pelumba Thailand, Jatupat Patijaroenchai dari Nahron Sri Riding Club.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Mizan dengan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan keberangkatan Baginda berdua disertai kepimpinan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
14 Sep 25
118
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 14 September – Keunggulan sukan berkuda lasak sekali lagi tersemat dalam lipatan sejarah apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat memimpin pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) hingga berjaya meraih kejuaraan berpasukan dalam acara CEI 2* 120KM Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong.
Pasukan RTES yang dianggotai oleh Sultan Mizan, Tengku Muhammad Syukri Tengku Mahmood, Jasryn Jaffly dan Muhammad Aizad Mohd Riduan dinobatkan sebagai pasukan terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi dan pingat yang disempurnakan pengurniannya oleh baginda sendiri.
Dalam acara individu, Sultan Mizan yang beradu tenaga di bawah panji RTES, menamatkan perlumbaan penuh cabaran itu dengan catatan masa tujuh jam sembilan minit 55 saat, lantas mempersembahkan kejayaan yang mengharumkan nama negara. Baginda berkenan menerima hadiah tempat kelima yang disembahkan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Turut mencuri tumpuan, paduka anakanda baginda, Tengku Puteri Utama Raja yang mewakili Kelab RTES, telah mempersembahkan tunggangan cemerlang sehingga berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Mini Endurance 15KM VIP.
Istiadat penyampaian hadiah penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan hadir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.
14 Sep 25
82
UIAM Dinobat Juara Sulung Sukan Mahasiswa Anak Terengganu 2.0
KUALA TERENGGANU, 10 September – Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan sulung Sukan PERMATA Kebangsaan (SUPER-K) edisi kedua yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Pasir Panjang, di sini.
Kejayaan itu menobatkan UIAM sebagai pasukan pertama merangkul gelaran berprestij tersebut selepas kategori Juara Keseluruhan diperkenalkan buat kali pertama dalam penganjuran tahun ini.
SUPER-K 2.0 menghimpunkan seramai 380 pemain daripada 21 pasukan PERMATA seluruh universiti di Malaysia, sekali gus memperlihatkan pertambahan penyertaan berbanding edisi sulung yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pengarah SUPER-K 2.0, Muhammad Mustaqim Zachury berkata, kejayaan penganjuran kali ini membuktikan kejohanan tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa anak Terengganu serta berupaya mengangkat semangat kesukanan dan perpaduan di IPT.
“SUPER-K 2.0 bukan sekadar kejohanan, tetapi ruang membina sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa. Kita amat berbangga dengan penyertaan yang sangat menggalakkan tahun ini.
“Diharapkan kejohanan ini dapat diteruskan secara konsisten setiap tahun dengan skala yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas pada masa akan datang,” katanya.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Kejohanan itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu serta penaja yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran di peringkat kebangsaan.
10 Sep 25
470
Inspirasi Citra Merdeka 2025: Patriotisme Disulam Gaya Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 8 September – Sambutan Inspirasi Citra Merdeka 2025 yang berlangsung di Pusat Sains Kreativiti Terengganu disambut meriah dengan pengisian pelbagai aktiviti berbentuk riadah, sukan tradisional dan gaya hidup sihat, sekali gus mencetus suasana penuh semangat patriotik.
Majlis pelepasan Fun Walk disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim.
Menurut Hishamuddin, sambutan seumpama itu bukan sahaja memperkukuh semangat cintakan tanah air, malah mampu menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Program ini amat bermakna buat semua peserta kerana ia bukan sekadar menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, bahkan mendidik masyarakat untuk memilih aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya,” katanya.
Turut serta memeriahkan acara ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Antara aktiviti yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk sepak raga bulat, galah panjang dan congkak yang dikendalikan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu.
Tidak ketinggalan, cabaran tuju gol, memanah dan aktiviti berkuda yang memberi peluang kepada belia serta kanak-kanak merasai pengalaman baharu dalam suasana santai namun berteraskan nilai patriotisme.
Sambutan Inspirasi Citra Merdeka 2025 turut diiktiraf sebagai platform berkesan dalam memupuk perpaduan, mengenang jasa pejuang kemerdekaan serta menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat negeri ini.
08 Sep 25
69
4x4 Ingin Terus 'Menari' Di Terengganu
Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4 Team), Muhammad Muzzammil Mokhetar komited bahawa kejohanan kenderaan pacuan empat roda Terengganu Merdeka Challenge akan terus diadakan pada edisi akan datang.
03 Sep 25
408