lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
KEMAMAN, 1 Oktober - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir membuat kejutan apabila mendahului sebahagian besar Perlumbaan pada saingan peringkat empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025. Nur Aiman walaupun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba apabila ditewaskan kelompok utama yang pada awalanya mendahului sehingga tiga kilometer terakhir. Aiman untuk edisi pada kali ini telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah hasil aksi penuh berani yang dipamerkan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini. Katanya, kejayaan menguasai sebahagian besar perlumbaan pada hari ini merupakan strategi yang diatur dari awal untuk melepaskannya dalam kelompok 'breakaway'. "Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah, jadi bagi saya tugasan saya hari ini sudah selesai," katanya, ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Nur Aiman berkata dia juga berusaha keras untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal. "Malangnya hajat nak menang belum kesampaian, tapi saya puas hati dapat memcuba," ujarnya. Dalam pada itu, katanya dia tidak berputus asa tetap mengintai peluang untuk cabaran yang masih berbaki empat peringkat lagi dan menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini. "Itu laluan laju (pecutan) dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah jika ada peluang saya akan cuba lagi. "Mengenai cabaran Bukit Fraser itu merupakan medan untuk pendaki, kalau saya boleh terlepas dalam 'breakaway', saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG," ujarnya lagi.      
01 Oct 25
127
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 1 Oktober - Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.  Beliau menyifatkan laluan dalam persaingan tersebut sejauh 141.5 kilometer membuatkannya terpesona dan menyifatkan Terengganu merupakan laluan yang tercantik dalam pengalamannya menyertai acara berbasikal di peringkat dunia. "Sangat cantik sepanjang laluan pantai, dapat dinikmati keindahannya dalam cuaca yang baik. "Lebih menyeronokkan penonton bersorak untuk kami sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar merupakan sebuah tempat yang menarik,"ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini.  Katanya, seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan Terengganu sekiranya melihat pemandangan dari atas melalui sisi pandang dron. "Ia akan dapat dilihat lebih indan dan cantik. "Selepas ini kami tidak berbasikal, dan akan ambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang cantik ini sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya,"katanya.  
01 Oct 25
3281
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
Pasukan Hulu Terengganu muncul pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila menewaskan Kuala Nerus 1-0.
28 Sep 25
65
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kontinjen Kuala Terengganu mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar dalam arena silat apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan pingat emas terbanyak dalam acara silat tanding pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025. Daripada lebih 10 kelas yang dipertandingkan, kontijen Kuala Terengganu berjaya mengungguli beberapa kategori utama termasuk Kelas A (Putra), Kelas C (Putra), Kelas F (Putra), Kelas Bebas (Putra), Kelas B (Putri) serta Kelas Bebas (Putri), menjadikan daerah itu mendahului senarai pungutan pingat emas.  Antara penyumbang utama kejayaan Kuala Terengganu ialah Muhammad Faris Aiman Husin (Kelas A Putra), Muhammad Najmi Ruslan Mohammad Rozaki (Kelas C Putra), Muhammad Daim Fakhri Mohd Asri (Kelas F Putra) serta Muhammad Adam Syukri Omar (Kelas Bebas Putra).  Turut menyumbang emas dalam kategori wanita ialah Nurul Ain Husna Razali (Kelas B Putri) dan Farah Fariena Mohd Zaih (Kelas Bebas Putri). Pencapaian ini membolehkan Kuala Terengganu meninggalkan cabaran Kemaman, Dungun serta Kuala Nerus yang turut mengutip pingat emas Secara keseluruhan, Kuala Terengganu muncul juara dengan kutipan enam pingat emas, diikuti Kemaman di tempat kedua dengan empat emas. Dungun dan Kuala Nerus pula masing-masing menamatkan saingan dengan dua emas, manakala Setiu dan Marang sekadar meraih satu emas. Selain kelas rasmi, terdapat beberapa kelas tambahan yang tidak dipertandingkan dalam temasya SUTERA 2025 tetapi tetap dianjurkan bagi memberi peluang penyertaan lebih luas. Bagi acara tambahan, kemenangan dicatatkan oleh Muhd Zakwan Zamri dari Kuala Terengganu dalam Kelas I Putra, manakala Kelas J Putra dimenangi Muhammad Hisyam Syahabudin Abdul Rahman dari Kemaman. Sementara itu, Muhammad Syawal Muhaimin Shishammudin, juga dari Kemaman, muncul juara dalam Kelas Bebas Putra. Dalam kategori wanita pula, emas acara tambahan menjadi milik Wan Nur Fatimah Isyrafina Wan Ahmad Amli dari Kuala Terengganu bagi Kelas D Putri, manakala Siti Norbatrisyia Putri Mohd Hizam dari Kemaman menjuarai Kelas F Putri. Acara tambahan ini diadakan sebagai nilai tambah dan tidak diambil kira dalam pengiraan kutipan pingat keseluruhan.
27 Sep 25
287
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Kemaman (Lelaki) dan Hulu Terengganu (Wanita) masing-masing muncul juara acara bola tampar Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 selepas menundukkan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung di UniSZA, hari ini. Dalam kategori lelaki, Kemaman melakar kemenangan dramatik 3–2 ke atas Setiu pada perlawanan akhir sebelah petang. Pasukan itu bermula garang dengan menguasai dua set awal, sebelum Setiu bangkit menyamakan kedudukan.  Namun, Kemaman berjaya menoktahkan kemaraan Setiu sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas memuktamadkan set penentuan lantas dinobatkan sebagai juara. Terdahulu pada aksi separuh akhir sebelah pagi, Kemaman menewaskan Dungun 3–0, manakala Setiu menundukkan Besut dengan keputusan 3–0. Bagi kategori wanita, Hulu Terengganu membuktikan keampuhan apabila menewaskan Dungun 3–0 dalam aksi akhir, sekali gus membawa pulang gelaran juara. Hulu Terengganu mara ke pentas akhir selepas menewaskan Besut 3–0 pada separuh akhir, manakala Dungun menyingkirkan Kemaman 3–2. Sementara itu, Besut meraih gangsa dalam acara wanita selepas menundukkan Kemaman pada penentuan tempat ketiga dan keempat. Acara bola tampar SUTERA 2025 yang berlangsung pada hari keempat temasya ini menyaksikan pertarungan penuh semangat daripada atlet daerah, kini tiba di penghujungnya. Anjuran dwi tahunan kali ketiga itu, SUTERA 2025 yang mempertandingkan 13 acara dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula selasa lalu bakal melabuhkan tirai penutup pada 27 September 2025 ini.
26 Sep 25
53
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
KUALA NERUS, 26 September - Nur Fara Syuhada Mat Razali, 15, menampilkan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 3000 meter larian berhalangan wanita pada Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam. Meskipun tidak berjaya memperbaharui rekod peribadi (PB), Syuhada tetap melakar emas buat kontinjen Kuala Nerus dengan catatan masa 12:58.2s, mengatasi pesaing terdekat, Nur Ain Safiyyah Mohd Suhaimi dari Marang (15:10.00s) dan Nur Liyana Batrisya Khairol Azwan dari Kuala Terengganu (16:22.9s). "Saya sangat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun tidak dapat buat PB (rekod peribadi terbaik). Tiada saingan kuat jadi agak relaks, cuma dari segi masa tak dapat lebih baik daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan. Nur Fara Syuhada Anak jati Kuala Nerus itu, sebelum ini pernah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila meraih emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 (Malaysia Open), baru-baru ini. Menurut pelari cilik itu, trek larian Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, menjadi saksi larian berhalangan 3000 meter pertamanya dimana dia turut berjaya mencatat PB membanggakan dengan rekod 12:41.34s. Walaupun tewas dalam acara 2000 meter larian berhalangan di MSSM akibat masalah kesihatan (gastrik), Syuhada mengakui dirinya lebih serasi untuk beraksi dalam jarak jauh kerana faktor ketahanan. "Kalau saya pilih, saya pilih lagi jauh, 3000 meter. Saya memang berlatih pun untuk acara jarak jauh sebab 'endurance' lebih kuat," jelasnya yang kini sudah mempunyai empat tahun pengalaman dalam olahraga. Jurulatihnya yang berasal dari negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 33, turut berpuas hati dengan prestasi anak didiknya meskipun kejohanan kali ini berlangsung dalam tempoh luar musim. Jurulatih kepada Syuhada, Ahmad Luth "Setakat ini saya tengok walaupun sekarang off season tapi sebenarnya membuatkan kejohanan tu menjadi lebih seronok. Kalau kita tengok, Terengganu ni untuk 'middle' dan 'long distance' bagi saya pesaing dia ramai. Pesaing ramai daripada sekolah sukan Bukit Jalil, daripada sekolah sukan Gambang dan juga sekolah sukan Malaysia Terengganu lah.  "Jadi kalau kita tengok, walaupun dia orang bersaing di peringkat negeri sekalipun dia masih rancak sebabnya ramai atlet daripada Terengganu. Jadi bila kita bertanding di sini walaupun atlet ini 'off season', lepas habis MSSM dia masih menunjukkan prestasi," katanya. Tambahnya, keputusan yang diperolehi oleh Syuhada semalam masih berada di tahap yang memuaskan dan mencapai ekspektasi walaupun mempunyai perbezaan masa hampir sebanyak lapan saat berbanding rekod peribadinya sebelum ini. Guru sukan itu turut mengungguli pingat emas dalam acara sama kategori lelaki di bawah kontijen Kuala Terengganu dengan rekod 10:21.4s, meninggalkan Kuala Nerus (10:35.4s) pada kedudukan perak dan Besut (10.49.7s) yang akur dengan gangsa. Ahmad Luth yang kini berkhidmat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu percaya Syuhada berpotensi menjadi bintang masa depan Terengganu, khususnya dalam acara jarak jauh. Dengan usia yang masih muda serta disiplin latihan berterusan, Syuhada dilihat mampu menjadi permata baharu olahraga Terengganu yang bakal menggalas cabaran negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus membuktikan SUTERA sebagai medan pembinaan bakat baru.
26 Sep 25
2423
SUTERA 2025: Kontijen Kuala Terengganu Bolot Emas Terbanyak Acara Balapan
SUTERA 2025: Kontijen Kuala Terengganu Bolot Emas Terbanyak Acara Balapan
KUALA NERUS, 25 September - Kontinjen Kuala Terengganu muncul unggul di hari kedua kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga apabila mendominasi acara balapan dengan meraih enam pingat emas, lima perak dan satu gangsa. Acara berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan olahraga SUTERA kali ini. Antara emas yang diraih adalah menerusi acara 100 meter wanita, 400 meter lelaki dan wanita, 800 meter wanita, 1500 meter wanita serta 3000 meter lari berhalangan lelaki. Saingan sengit turut diwarnai oleh kontinjen Kuala Nerus yang mengutip lima emas, tiga perak dan tiga gangsa hasil kejayaan dalam acara seperti 100 meter lelaki, 800 meter lelaki, 1500 meter lelaki, 3000 meter lari berhalangan wanita dan lompat kijang lelaki. Bagi kategori balapan, daerah lain yang turut mencuri tumpuan termasuk Setiu dengan emas dalam acara 4x400 meter wanita, serta Dungun dan Marang yang berjaya membawa pulang beberapa pingat perak dan gangsa. Sementara itu, dalam acara padang, Kuala Nerus menambah koleksi pingat dengan kejayaan di lempar cakera lelaki (emas), selain pingat dalam lompat kijang dan lontar peluru lelaki. Setiu pula cemerlang apabila membawa pulang emas dalam lompat kijang lelaki dan merejam lembing wanita, manakala Kemaman mendominasi acara lontar peluru lelaki. Hulu Terengganu tidak pulang tangan kosong selepas menjuarai lompat jauh dan lompat kijang wanita, disusuli Marang yang mencatat kemenangan dalam lompat tinggi wanita. Dengan baki beberapa acara olahraga dan sukan lain yang masih berlangsung, kedudukan pungutan pingat dijangka akan terus berubah dan menjanjikan saingan sengit antara kontinjen daerah.
25 Sep 25
730
Skuad Trio Tenpin Boling Marang Puas Hati Raih Perak
Skuad Trio Tenpin Boling Marang Puas Hati Raih Perak
KUALA TERENGGANU, 25 September – Pasukan tenpin boling lelaki Marang menepati sasaran apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara trio sempena Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini. Barisan trio lelaki Marang terdiri daripada Mohd Alif Syafie Halim, Syed Irham Fakhri Syed Ahmad dan Muhammad Shafiq Suhaimi. Ketua Jurulatih Tenpin Boling Marang, Mohammad Zulkhairie Mad Radzi, melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian tersebut memandangkan pemainnya berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan. “Kita memang letakkan sasaran perak untuk acara trio. Kami tidak sasarkan emas kerana Kuala Terengganu dilihat lebih kuat. "Tapi ada kejutan pula apabila Kemaman yang muncul juara,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut.  Menurut beliau, barisan pemain yang membawa cabaran Marang kali ini terdiri daripada individu yang berpengalaman tinggi dalam arena tenpin boling. “Tiga pemain yang kami bawa merupakan bekas jurulatih SUKMA Sarawak 2024, bekas pemain SUKMA 2022 dan pemain SUKMA 2024,” ujarnya. Zulkhairie turut menyatakan keyakinan terhadap peluang pasukan dalam acara seterusnya. “Bagaimanapun, kami kini memberi tumpuan kepada acara berpasukan lima lelaki esok kerana itu adalah acara sandaran emas kami,” jelasnya.  
25 Sep 25
110
Kuala Nerus Rangkul Emas Sepak Takraw SUTERA III
Kuala Nerus Rangkul Emas Sepak Takraw SUTERA III
KUALA NERUS, 25 September – Kuala Nerus membuktikan ketajaman aksi apabila menundukkan Dungun dalam perlawanan dramatik, sekali gus muncul juara acara sepak takraw berpasukan lelaki sempena Temasya Sukan Terengganu Kali Ke-3 (SUTERA III) yang berlangsung di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini. Kemenangan bermula di pusingan pertama apabila Regu A Kuala Nerus tampil garang dengan rentak bertenaga, menewaskan Dungun 15-10 dan 15-9 dalam straight set yang memukau penonton. Namun, di pusingan kedua, regu B Dungun cuba bangkit penuh bersemangat dengan kemenangan 15-7 pada set pertama, tetapi kebangkitan itu segera dipadamkan apabila Kuala Nerus Regu B kembali gah pada set kedua dengan kemenangan 15-10. Pertarungan penentuan menyaksikan regu Kuala Nerus B yang diterajui tekong Izham Putra M. Shaharin bersama gandingan Danish Irfan Azwan dan Adi Fikri M. Nasharuddin tampil penuh keyakinan, sebelum menutup kemaraan Dungun dengan kemenangan 15-10, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada pasukan mereka. Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, acara turut disaksikan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.  
25 Sep 25
242
SUTERA : Kuala Terengganu, Kemaman Raih Emas Pertama
SUTERA : Kuala Terengganu, Kemaman Raih Emas Pertama
Kontinjen Kuala Terengganu dan Kemaman menguasai acara berbasikal kriterium pada temasya Sukan Terengganu (SUTERA 2025) apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori wanita dan lelaki di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah,kuala Nerus.
25 Sep 25
80