Artikel "Sukan" Terkini
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan ini membuktikan bahawa usaha gigih pemain dan pengurusan THT membuahkan hasil luar biasa.
"Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari.
"Kemenangan itu melengkapkan koleksi empat kejuaraan utama musim ini yang amat membanggakan seluruh rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pasukan Hoki Terengganu Menjulang Trofi Bersama Menteri Besar Terengganu di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan juga Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun.
Beliau menambah, prestasi THT menggambarkan kejayaan kesinambungan pelan pembangunan sukan negeri yang memberi tumpuan kepada pembinaan bakat muda dan kekuatan pasukan secara berstruktur.
"Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pemain-pemain THT, dan yang paling membanggakan dalam Razak Cup kali ini, ia dibarisi oleh pemain-pemain muda, itu sangat membanggakan pihak kerajaan," ujarnya.
Hishamuddin turut menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil sokongan berterusan kerajaan negeri serta pengurusan yang cekap di bawah Persatuan Hoki Terengganu (PHT).
"Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri.
"Sokongan dan kepercayaan daripada kerajaan negeri menjadi nadi utama kejayaan yang dikecapi oleh pasukan ini," tambahnya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai insentif baharu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan.
"Insya-Allah ada inisiatif yang akan diberikan cuma buat masa sekarang ini tidak diumumkan lagi kerana masih terlalu awal," katanya.
15 Oct 25
1331
THT Pertahan Kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Juara treble liga hoki kebangsaan musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi membuktikan keampuhan mereka apabila menewaskan skuad hoki Pahang dengan keputusan 4-2, sekali gus merangkul kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025.
Kejohanan edisi ke-63 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil semalam menyaksikan kegemilangan THT mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada musim lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan membanggakan itu.
“Tahniah diucapkan kepada pasukan hoki Terengganu (THT) atas kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025. Semoga terus cemerlang dan mengharumkan nama Terengganu di pentas hoki negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.
Hishamuddin
Pertemuan sengit antara dua skuad dari Pantai Timur itu menyaksikan THT mendominasi separuh masa pertama dengan jaringan 3-0.
Gol pertama hadir melalui ledakan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee sebelum minit ke-20, diikuti dua gol berturut-turut oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Faizal Saari, yang mengukuhkan kedudukan pasukan.
THT kemudian menambah jaringan keempat menerusi Darwisy Hamdan pada minit ke-36, sekaligus mengekalkan cengkaman ke atas pasukan lawan.
Pasukan Pahang bagaimanapun berjaya merapatkan jurang apabila mereka merobek benteng pertahanan THT dan menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir, namun tetap tidak mampu menafikan kemenangan milik skuad Terengganu apabila wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 4-2 memihak kepada THT.
Sumber: Malaysian Hockey Confederation (MHC)
Jurulatih THT, Harfizi Baharom, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap persiapan pasukan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
“Masa depan nampak baik kerana kami ada lapan pemain muda yang bermain buat kali pertama dalam Piala Razak, dan mereka adalah sebahagian daripada skuad SUKMA tahun depan,” katanya seperti dilaporkan oleh New Straits Times (NST).
Harfizi turut memuji keserasian antara pemain senior dan pemain muda yang menjadi antara faktor utama kemenangan pasukan.
“Pemain-pemain muda ini bergabung dengan baik bersama pemain senior seperti Faizal, ketua pasukan Firhan Ashari dan lain-lain. Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk membantu Terengganu mempertahankan kejuaraan,” ujarnya lagi.
Sumber: Malaysian Hockey Confederation (MHC)
12 Oct 25
393
Terengganu Terus Cemerlang Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Timbalan Menteri
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf kehebatan atlet negeri Terengganu yang sentiasa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi bakat dan pencapaian berprestasi tinggi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata Terengganu sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan bakat serta semangat juang luar biasa, melahirkan ramai ikon sukan negara sejak dahulu lagi.
“Nama-nama besar seperti Nazmizan Mohamad, pelari pecut kebanggaan negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik Athens 2004 berasal dari Dungun. Dari daerah yang sama juga lahir wira dunia digelar ‘The Pocket Rocketman’, Dato’ Azizulhasni Awang, yang menjadi simbol kejayaan sukan berbasikal dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa Terengganu tidak pernah kering dalam melahirkan juara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Adam Adli turut menzahirkan ucapan tahniah kepada generasi baharu anak Terengganu yang meneruskan legasi kecemerlangan tersebut, antaranya Qabil Irfan Azlan yang mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol ESBK Talent 2025.
Selain itu, beliau berkata, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal mencipta detik bersejarah apabila membuat penampilan sulung di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2025 dalam kelas Moto3, yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang.
Dalam pada itu, Adam Adli turut memuji pencapaian atlet wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, yang beberapa kali dinobatkan sebagai ‘Ratu Pecut’ di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
“Kejayaan mereka semua membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan berterusan dan semangat kental, anak muda Malaysia mampu mengangkat nama negara di persada dunia,” ujarnya.
12 Oct 25
124
Peruntukan RM2.3 Juta Perkukuh Ekosistem Sukan
KUALA NERUS, 12 oktober - Dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan di Negeri Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM2.3 Juta yang melibatkan lima projek pembangunan meliputi naik taraf dan projek terbaharu.
Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, beberapa projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur sukan di Terengganu di tahap terbaik.
"Dalam ucapan Perdana Menteri semasa Pembentangan Belanjawan 2026 semalam, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah turun ke setiap negeri bagi memahami keutamaan pembangunan sukan di peringkat negeri.
"Hasil libat urus tersebut turut diambil kira dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk cadangan naik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki Kuala Terengganu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Mengulas lebih lanjut, Adam Adli berkata keseluruhan inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kemudahan sukan di negeri ini, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.
"Peningkatan aktiviti ekonomi setempat dan penyertaan rakyat dalam gaya hidup aktif selaras dengan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.
12 Oct 25
137
BCPP FC Juara Piala YB ADUN Batu Rakit 2025
KUALA NERUS, 11 Oktober – Pasukan Bukit Cempaka Pasir Putih (BCPP FC) menamatkan penantian hampir tiga dekad apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB ADUN Batu Rakit 2025, setelah menewaskan DABARA FC 2-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Kejayaan ini merupakan gelaran pertama BCPP FC dalam kejohanan tersebut sejak kali terakhir mara ke perlawanan akhir pada tahun 2000.
Skuad kendalian Mohd Hasraf Hussein, tampil konsisten sepanjang kejohanan dengan rekod tanpa kekalahan selepas melepasi peringkat kumpulan.
Dalam aksi akhir yang penuh debaran, BCPP FC membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Affendi seawal minit ke-23, sebelum DABARA FC menyamakan kedudukan melalui Muhammad Alauddin pada minit ke-35.
BCPP FC kembali di hadapan menerusi jaringan Muhammad Azhar pada minit ke-40, namun DABARA FC sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-50. Gol kemenangan BCPP FC akhirnya hadir melalui Muhammad Aqil, yang memastikan pasukannya menjulang piala berprestij ini dengan keputusan akhir 2-3.
Antara penyokong yang hadir, Nurul Hafiza Ghazali, 36, meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan pasukan kesayangannya.
“Saya sangat terharu pasukan saya dapat pergi sejauh ini, walaupun orang lain lihat kami hanya pasukan underdog,” ujarnya.
11 Oct 25
86
LTdL 2025: Prestasi TSG Membanggakan
KUALA NERUS, 6 Oktober – Penampilan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membuktikan keupayaan pasukan itu terus berada pada tahap membanggakan meskipun berdepan pasukan elit dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Rosli, menamatkan Peringkat Ketujuh Melaka–Medini di tempat kedua menjadi detik manis selepas lima tahun pasukan itu tidak menaiki podium dalam kejohanan berprestij tersebut.
"Dalam tempoh beberapa hari perlumbaan, TSG berjaya beberapa kali menaiki podium, dan yang terakhir di Stage 7 apabila Aiman menamatkan saingan di tempat kedua.
"Ini satu pencapaian yang cukup manis kerana sudah lima tahun kita tidak mencapai kejayaan seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun TSG tidak meraih kejuaraan keseluruhan, kemampuan pasukan menyaingi kelab profesional antarabangsa membuktikan kekuatan dan daya saing tinggi pelumba tempatan.
"Dengan persaingan hebat bersama kelab-kelab elit dunia, prestasi ini sudah cukup membanggakan dan menunjukkan TSG kekal sebagai antara pasukan terbaik rantau ini," ujarnya.
06 Oct 25
2024
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
06 Oct 25
80
MaluCelli Terus Kuasai LTdL Menang di Terengganu
Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas muncul juara peringkat keempat dalam kayuhan di Kemaman.
05 Oct 25
44
Terengganu FC Benam Kelantan TRW 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 3 Oktober - Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 4-1 dalam saingan Liga Super, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas liga.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila jaringan pembukaan hadir menerusi Diego Landis yang tenang menyudahkan peluang di depan gawang lawan.
Gol tersebut menjadi penyuntik semangat buat pasukan tuan rumah yang terus menggandakan asakan.
Hasilnya, Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua sebelum Yann Mabella melengkapkan babak pertama dengan jaringan ketiga buat TFC.
Namun, kemaraan tiga mata tuan rumah tidak mematahkan semangat Kelantan TRW, apabila mereka bangkit sebaik sahaja babak kedua bermula.
Usaha mereka berhasil apabila Saravanan Thirumurugan merapatkan kedudukan. Walau bagaimanapun, segala usaha untuk menambah jaringan termasuk dua sepakan penalti gagal membuahkan hasil.
TFC kemudian kembali menambah derita pelawat apabila Mabella sekali lagi meledak, kali ini untuk gol keempat tuan rumah, memastikan kemenangan bergaya 4-1 berpihak kepada skuad Penyu.
Jurulatih TFC, Badrul Afzan nyata berpuas hati dengan semangat juang dan prestasi anak buahnya pada malam ini.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata berharga di tempat kita. Pemain-pemain melaksanakan apa yang dirancang, khususnya pada babak pertama. Kredit kepada mereka semua," katanya.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata pertama yang berharga di tempat kita. Jadi, semangat juang pemain-pemain malam ni kalau kita tengok pada babak pertama dan babak kedua dari bermula wisel, kita mengasak apa yang kita rancang.
"Kita dapat 3-0 di babak pertama, jadi alhamdulillah, kredit kepada pemain-pemain," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beliau turut menegaskan fokus pasukan adalah memastikan momentum kemenangan dikekalkan menjelang aksi Piala FA menentang Kuching City minggu depan.
Dengan kemenangan ini, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan kutipan 13 mata, sementara Kelantan TRW kekal di pertengahan carta dengan lapan mata.
03 Oct 25
94
BTR FC Kekalkan Kejuaraan, Rangkul Piala YB ADUN Bukit Tunggal
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Bukit Tok Ris FC (BTR FC) terus membuktikan keunggulan mereka apabila mengekalkan kejuaraan dengan menewaskan Seberang Bukit Tumbuh FC 2-1 dalam Kejohanan Bola Sepak Piala YB ADUN Bukit Tunggal 2025 (11 sebelah) yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu.
Seberang Bukit Tumbuh terlebih dahulu membuka jaringan melalui Helmi Alias pada minit ke-25, namun semangat juang BTR FC tidak pernah luntur.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, mereka bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan Hafizul Syazwan pada minit ke-67 dan 80 untuk memastikan kemenangan dramatik.
Dengan keputusan itu, BTR FC muncul juara buat kali kedua berturut-turut selepas turut menjulang trofi pada edisi 2024.
Kejayaan berganda ini sekaligus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan di Bukit Tunggal.
Sebagai juara, BTR FC membawa pulang wang tunai RM2,500, medal dan piala pusingan, manakala Seberang Bukit Tumbuh selaku naib juara menerima RM1,000 beserta medal.
Tempat ketiga pula dikongsi bersama Gong Pak Damat FC dan PAKR Bukit Tunggal FC.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid, berkata kejohanan ini bukan sahaja medan persaingan sukan, tetapi juga platform menyatukan anak muda dalam suasana harmoni.
“Tahniah kepada semua pasukan yang telah memberikan aksi terbaik. Sukan seperti ini adalah wadah penyatuan anak muda, mengalihkan tumpuan mereka ke arah aktiviti berfaedah dan penuh semangat kesukanan,” katanya.
Turut hadir meraikan kejayaan pasukan dan penyokong ialah Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim, yang menyatakan penghargaan terhadap penganjuran kejohanan yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
01 Oct 25
203