lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

‘Jangan Sia-siakan Rumah Mampu Milik'
‘Jangan Sia-siakan Rumah Mampu Milik'
KEMAMAN, 22 September – Penerima Rumah Mampu Milik (RMM) perlu menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu dengan sebaiknya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, mereka sepatutnya tidak melanggari perjanjian, sebaliknya mendiami kediaman yang diberikan dengan penuh rasa syukur. “Ramai lagi pemohon di luar sana yang masih menunggu giliran untuk memiliki RMM ini, namun masih belum ada rezeki. “Tujuan saya menyentuh perkara ini ialah kerana terdapat segelintir penerima sebelum ini yang ingkar perjanjian dan tindakan susulan terpaksa diambil oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Mampu Milik Seri Bandi Kemaman hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Tambah Dr. Alias, antara contoh isu penerima yang melanggar perjanjian ialah seperti tidak menduduki rumah tersebut dengan alasan jauh daripada tempat kerja dan tidak membayar sewa sebagaimana jadual. "Selain itu, penghuni  juga tidak dibenarkan melakukan sebarang pengubahsuaian reka bentuk RMM semasa dalam tempoh sewa-beli. “Jika bayaran belum selesai, RMM masih milik PMINT yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri,’’ ujarnya. Sementara itu, pada majlis tersebut seramai 150 orang pemohon telah diluluskan untuk menerima penyerahan kunci RMM Seri Bandi yang di bina di atas tapak seluas 14.522 ekar dengan jumlah sebanyak 220 unit rumah jenis teres dilengkapi gelanggang serbaguna, tangki air, taman permainan, dan enam lot tapak rumah kedai. “Harapan saya agar semua penerima dapat memelihara keadaan RMM ini sebaik mungkin dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa serta dapat merancakkan lagi tahap sosio-ekonomi penduduk setempat,”jelasnya.
22 Sep 20
3085
Penantian 11 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai
Penantian 11 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai
KEMAMAN, 22 September-  "Selepas hampir 11 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Nur Farhana Bahrun, seorang daripada 150 penerima Rumah Mampu Milik (RMM) Seri Bandi. Nur Farhana, 32, dari Kampung Seri Bandi berkata, dia yang membuat permohonan lebih kurang empat tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan yang dikelolakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terenganu Bahagian Perumahan dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu. “Terima kasih kerajaan negeri untuk rumah mampu milik ini, sangat terharu kerana ini rumah pertama saya, sejak daripada kerja-kerja pembersihan tapak dilakukan saya sangat mengharapkan ia akan menjadi milik saya. “Sebelum ini saya menumpang di rumah keluarga, memandangkan usia perkahwinan sudah menjangkau 11 tahun saya dan suami Mohd Remee Ramli, 37, amat berharap dapat memiliki kediaman sendiri,” ujarnya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan di sini, hari ini. Nur Farhana dan beberapa penerima lain menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai di majlis penyerahan yang diadakan di Tapak Perumahan Seri Bandi, hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman. Sementara itu, Hanafiah yang mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyempurnakan majlis tersebut berkata, pembinaan 220 unit RMM Seri Bandi di atas tanah kerajaan tersebut telah bermula pada November 2016 dan berjaya disiapkan pada bulan Mei yang lalu. “Pada majlis hari ini, dengan penuh kesyukuran kita serahkan kunci kepada 150 orang penerima dan bakinya akan menyusul selepas ini. “Tahniah saya ucapkan dan diharapkan para penerima dapat bersama-sama menjaga segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan negeri, pelihara kemudahan ini (rumah) dengan baik dan jagalah kebersihannya,” ujarnya.  
22 Sep 20
1650
MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis
MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis
SETIU, 22 September – Pondok polis Jabi yang terjejas akibat dibadai ribut pada Khamis lalu mendapat perhatian Dr Azman Ibrahim apabila satu aktiviti gotong-royong dijalankan semalam bagi membaiki kerosakan terbabit. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi mengekal dan meningkatkan jalinan baik antara pihak berkuasa dan komuniti. "Polis dan masyarakat berpisah tiada. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jabi bergotong-royong baik pulih atap Pondok Polis Jabi yang rosak dalam kejadian ribut khamis lepas.  "Sekadar sumbangan kecil kami berbanding besarnya pengorbanan anggota keselamatan sehingga kami mampu tidur lena di malam hari. Semoga dengan usaha ini dapat memberikan keselesaan untuk terus berkhidmat. Terima kasih semua,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.  Dalam kejadian ribut terbabit, sekitar 30 buah rumah di Jabi, kedai serta tanaman padi turut terjejas dan akan diberikan bantuan secara berperingkat.
22 Sep 20
842
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
SETIU, 22 September – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengagihkan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 22 masjid di seluruh DUN terbabit.  ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM2,000 turut diberikan bagi merancakkan lagi perjalanan entiti itu. Katanya, walaupun tiada peruntukan khusus untuk institusi-institusi tersebut, pihaknya tetap mengusahakan beberapa langkah supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak. "Kesemua 37 MPKK dalam DUN Jabi menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 dari Pejabat ADUN Jabi. Sebelum ini pun macam-macam peruntukan kita dah bagi berdasarkan keperluan.  "Kita tak ada suatu peruntukan khusus untuk masjid, PIBG atau MPKK. Dengan apa yang ada, kita atur dan agihkan sebaik mungkin agar sama dapat merasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurutnya lagi, pihaknya merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada semua. "Tahun ini tak ada mesyuarat agong PIBG. Untuk kesemua PIBG bagi 14 buah sekolah dalam DUN Jabi, kita salurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM2,000 di samping sumbangan berkala lain sebelum ini. Tak banyak tapi sama merasa," tambah beliau.
22 Sep 20
853
Pesara Jururawat Terus Berbakti Untuk Masyarakat
Pesara Jururawat Terus Berbakti Untuk Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 24 September – Seorang pesara jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Fatimah Musa, 66,  mengambil inisiatif mengadakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma di Masjid Sultan Ismail Chendering bagi membantu masyarakat. Menurutnya, perkhidmatan tersebut telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014 dengan bantuan pihak Masjid Sultan Ismail Chendering yang menyediakan tempat dan beberapa peralatan. “Di sini, kita sediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, pemeriksaan BMI dan tekanan gula dalam darah. Ini mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan jemaah. “Tambahan pula, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimulakan, sambutan bagi pemeriksaan kesihatan ini semakin menggalakkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Farhaana Husainy Hasbullah bagi meninjau perjalanan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan tersebut. Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma itu diadakan pada setiap hari Isnin bermula pukul 8.00 pagi sehingga 10.30 pagi sekali gus menjadi nilai tambah kepada pengurusan masjid.   Dr. Farhaana mengunjungi tempat pemeriksaan kesihatan di Masjid Sultan Ismail Chendering  
22 Sep 20
379
Amzad Sokong Cadangan Penuaian Air Hujan KASA
Amzad Sokong Cadangan Penuaian Air Hujan KASA
  KUALA TERENGGANU, 21 September- Rakyat Malaysia disaran sentiasa ke hadapan dan terbuka menerima teknologi terkini melalui pelbagai cara daripada pembacaan, pengajian, latihan dan kursus atas talian. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata secara peribadi beliau menyokong kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai penuaian air hujan serta menyambut baik cadangan KASA bagi melestarikan penggunaan air selari dengan usaha Sustainable Development Goals anjuran United Nations (UN-SDG 2030) ke arah Positive Carbon Footprint. “Pelbagai kajian dalam negara dan pelaksanaan di luar negara menunjukkan keberkesanan dan kelestarian penuaian air hujan. “Antara contoh penuaian air hujan di luar negara ialah pelaksanaan di Frankfurt Airport dan London Olympic Park,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.  Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pelaksanaan dan kajian dalam negara telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) melalui projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH)  semenjak tahun 2008 lagi. Menurutnya, Universiti-universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga telah banyak menjalankan kajian untuk memaksimakan teknologi penuaian air hujan bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian. “Ini kerana, ia merupakan antara inisiatif terbaik untuk kelestarian alam bagi generasi akan datang. “Saya juga menyokong penuh cadangan Yang Berhormat (YB) Menteri Alam Sekitar dan Air (Dato’ Seri Tuan Ibrahim), mengenai penuaian air hujan dan seterusnya mencadangkan, kita mengukuhkan pelaksanaan dalam negara dengan menggunakan teknologi tempatan yang telah tersedia,” ujarnya.
22 Sep 20
275
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
BESUT, 21 September – Kerajaan Terengganu akan membantu pesawah di negeri itu yang terjejas akibat ribut beberapa hari lalu.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan data lengkap bagi kerosakan dialami kira-kira 160 orang pesawah. "Setakat ini, kawasan sawah yang terlibat ialah seluas 97.2 hektar, melibatkan daerah Besut dan Setiu. "Ia membabitkan kawasan seluas 82.2 hektar sawah padi  di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan selebihnya terletak di luar kawasan jelapang tersebut. "Kerugian keseluruhan setakat ini dianggarkan berjumlah RM567,000 yang dikira berdasarkan potensi hasil dan harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas di baruh Gong Telikong, Jabi dan baruh Kampung Dengir, Kuala Besut, di sini semalam. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, selain berusaha mendapatkan bantuan kerajaan pusat, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencara Pertanian Negeri  Sementara itu, salah seorang petani, Ab Halim Zakaria, 41, berkata kerugian yang dialaminya pada musim ini kira-kira RM12,000 melibatkan seluas dua hektar di Kampung Dengir setelah tanamannya rosak dilanda ribut pada 3.30 petang, Khamis lepas. “Padi yang saya tanam sepatutnya dah boleh dituai dalam tempoh 10 hari lagi namun ia tidak menjadi kenyataan apabila musnah dipukul ribut,” katanya.
21 Sep 20
1649
Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak
Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak
KUALA TERENGGANU, 19 September - Kerajaan negeri mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain. "Mohon kerjasama daripada semua penternak, peraih atau sesiapa sahaja yang berkenaan agar tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang sedang dilanda wabak HS ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu.  "Hari ini Penguatkuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori dengan dua ekor kerbau yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran Pengarah JPV. "Kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu,  Perintah di Bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000. Sehubungan dengan itu ujarnya, larangan keras  diambil tersebut perlu  pihak diambil perhatian oleh semua pihak. "Daerah yang terjejas sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat  juga perlu mendapat kebenaran JPV," tambah beliau.
19 Sep 20
1040
Usaha Gigih JPV ‘Selamatkan’ Kerbau Pak Khamis Dipuji
Usaha Gigih JPV ‘Selamatkan’ Kerbau Pak Khamis Dipuji
KUALA TERENGGANU, 18 September – Usaha gigih kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dalam menyelamatkan baki kerbau Khamis Jusoh, 64, mendapat pujian Exco kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ternakan Khamis yang diserang wabak Hawar Berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) telah mendapat diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan JPV termasuk dengan melaksanakan kerja-kerja menyelamat terhadap binatang yang tinggal. "Hari menjelang senja. Dalam hujan renyai-renyai, kakitangan JPV terus bertungkus-lumus bekerja untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih hidup.  "Sebahagian besarnya telah dijangkiti Hawar Berdarah. Pada tahap ini, pemberian vaksin tiada fungsi lagi. Vaksin berkesan sebagai pencegahan sebelum dijangkiti. "Jasa dan bakti mereka layak dihargai walau di medan ini pelbagai nada kata-kata terpaksa mereka terima dan hadapi tapi mereka terus tabah menyumbang bakti. Terima kasih semua," katanya dalam satu kenyataan semalam. Sementara itu katanya, JPV Terengganu turut memaklumkan bahawa permohonan untuk program pemvaksinan telah meningkat mendadak.  "Harap bersabar menunggu giliran kerana kakitangan kami sedang bekerja keras lebih masa. Ia tak semudah A, B, C kerana staf kami bukan hanya berurusan dengan haiwan ternakan, tetapi juga perlu berurusan dengan tuan punya haiwan.  "Ternakan pula berada bertaburan di serata lokasi. Sebahagiannya tidak ditambat dan tiada kandang. Perlu kerja tambahan juga untuk tangkap. "Sebelum ini ada tawaran untuk program penvaksinan yang dibuat hebahan melalui surat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), letak notis di kedai-kedai, khutbah jumaat, staf kita turun ‘survey’ tanya penternak dan pelbagai kaedah lagi," tambah beliau. ‘’ Wabak Hawar Berdarah yang berlaku sekarang membuka mata semua pihak. Saya dah arahkan JPV Terengganu untuk beri khidmat yang terbaik kepada rakyat. Kerjasama penternak juga amat dimohon kerana staf kami tak mampu nak kejar dan tangkap setiap ekor lembu untuk dicucuk vaksin. Kita jaga kita.’’
18 Sep 20
6011
Skuad Cegah Sura Pantau Lokasi Panas
Skuad Cegah Sura Pantau Lokasi Panas
DUNGUN, 18 September - Skuad Cegah Sura akan sentiasa memantau lokasi panas di bandar Dungun dalam usaha membantu pihak berwajib membanteras maksiat di negeri ini. Ketuanya Mahdi Hassan berkata, tumpuan diberikan di lokasi utama dibandar ini yang menjadi tumpuan segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral. “Skuad Cegah ini berjalan hampir setiap malam dianggotai lebih dari 20 orang.  "Buat masa ini kami menfokuskan tempat tempat yang menjadi tumpuan utama untuk kami bergerak dan pantau,” katanya. Menurut Mahdi, skuad terbabit memberi kesedaran sivik kepada orang ramai akan bahaya gejala tidak bermoral.  “Kami dari Skuad Cegah sentiasa meronda dan memberi kesedaran sivik kepada warga Dungun agar menjauhi perkara tidak bermoral.  "Disamping kita cegah, kita juga mengedar risalah kesedaran awam berkaitan masalah bahaya dadah, tutup aurat, solat berjemaah dan lain- lain lagi,” ujarnya.  Katanya,antara lokasi yang dipantau adalah sekitar Taman Poket Arena, Taman Riadah hadapan Imtiaz, sepanjang pantai Sura, bandar Dungun dan berapa tempat lagi.  “Sesungguhnya tiada permintaan lain yang kami inginkan melainkan Dungun ini bersih dari ‘wabak' yang tidak sihat dan yang merosakkan akal dan akhlak kita semua," ujarnya.
18 Sep 20
541