lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terima Kasih Sudi Ziarah Kami - Rozita
Terima Kasih Sudi Ziarah Kami - Rozita
SETIU, 25 September - "Terima kasih kerana sudi ziarah dan bantu kami," itulah ucapan ringkas Rozita Mohd, 36, semasa menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit. Rozita yang menetap di Kampung Tanjung Kedepan nyata terharu dengan keprihatinan Mohd Shafizi Ismail menghulurkan sumbangan kepada orang kampung. "Walaupun sibuk menyebarkan maklumat mengenai dasar Kerajaan Negeri kepada masyarakat, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit sempat juga meluangkan masa menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada kami," katanya kepada pemberita semalam. Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, program seperti itu amat bermanfaat untuk membantu meringankan bebanan masyarakat yang memerlukan. Katanya, dengan kerjasama Norlan United, sebanyak 10 buah rumah yang terdiri daripada individu fakir, miskin dan diuji dengan sakit berjaya dibantu. "Melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Maras, Wakaf Catur dan Tanjung Kedepan," jelasnya. Selain ziarah, beliau turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan penduduk sekali gus bertanyakan tentang permasalahan dihadapi. "Ini antara usaha agensi kerajaan negeri untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat," katanya.
25 Sep 20
341
Masyarakat Tionghua Dungun Dapat Kuih Bulan Percuma
Masyarakat Tionghua Dungun Dapat Kuih Bulan Percuma
DUNGUN, 23 September - Masyarakat Tionghua di sekitar bandar Dungun menerima kuih bulan secara percuma daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wan Hapandi Wan Nik.  Wan Hapandi Wan Nik berkata, edaran kepada masyarakat Cina itu merupakan simbolik bagi meraikan perpaduan antara kaum yang wujud di Terengganu Katanya, ia juga bagi menyambut perayaan kuih bulan yang berlangsung pada bulan ini. “Kita tidak jumud. Kita meraikan kepelbagaian budaya termasuk masyarakat Cina yang memang rapat dengan orang Melayu sejak dahulu lagi. "Rata rata masyarakat menerima dan menyambut baik pemberian ini dan turut memuji serta mengucapkan terima kasih,” katanya selepas mengagihkan kuih tersebut di sini hari ini. Menurut beliau, program berkenaan adalah aktiviti tahunan pihaknya yang turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun.  "Kita akan meneruskan program ini pada masa akan datang kerana ia terbukti dapat mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat Tionghua," tambah beliau.  Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun berkata, perayaan Kuih Bulan itu disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan mengikut kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September. “Kami sentiasa mendekati masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira bangsa dan  agama untuk terus memberi sumbangan kebajikan kepada mereka,” ujarnya. 
23 Sep 20
677
Gelombang Street Siasah ‘Badai’ Anak Muda
Gelombang Street Siasah ‘Badai’ Anak Muda
Foto : Media Ameerah kawasan-kawasan KUALA TERENGGANU, 23 September – Program Street Siasah yang berkonsepkan respon balas responden, diadakan secara serentak di kesemua lapan kawasan dalam Negeri Terengganu dengan memberi fokus kepada golongan muda. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, program itu dirancang bagi memperkasakan anak-anak muda, agar cakna isu semasa dan juga politik. Menurut beliau lagi, objektif utama penganjurannya adalah untuk melihat sejauh mana anak muda cakna kepada isu semasa dan juga politik tanah air. Menemu ramah responden. "Antara objektif lain ’Street Siasah’ ialah untuk membuka mata, mengukur tahap kecaknaan dan kesedaran golongan muda terhadap isu semasa dan politik yang berkisar dalam negara kita. "Kita sedar, bukan semua anak muda faham dan ambil berat tentang isu semasa dan politik. Jadi, kita ambil peranan untuk menerangkan kepada mereka tentang perlu dan pentingnya kefahaman politik terutamanya kepada Melayu-Islam," ujarnya ketika dihubungi, baru-baru ini. Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada golongan muda dalam penganjuran program kali ini. ‘Street Siasah’ ialah satu program yang berkonsepkan temubual responden yang dipilih secara rawak dalam kalangan anak muda bagi mendapatkan respon mereka berkenaan Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Perikatan Nasional. Walau bagaimanapun, Zuraida meluahkan rasa duka cita apabila masih terdapat sebilangan anak muda yang langsung tidak mengambil tahu perihal perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka. Tambahnya lagi, hal tersebut merupakan petanda bahawa usaha untuk mendekati golongan remaja yang tidak celik politik perlu dilipat-gandakan dan dijalankan dengan lebih proaktif.
22 Sep 20
560
Bentuk Jati diri Melalui Berpersatuan
Bentuk Jati diri Melalui Berpersatuan
KUALA TERENGGANU, 23 September – Keterlibatan seseorang dalam aktiviti berorganisasi akan dapat membuahkan jati diri yang jitu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu  berkata, banyak kesan positif akan terpamer ke atas individu sebaik sahaja mereka terlibat dalam gerak kerja persatuan. Menurut beliau lagi, tidak dapat dinafikan bahawa orang yang menyertai persatuan lebih mempunyai jati diri dan menjadi insan yang berjaya jika dibandingkan dengan individu yang pasif dalam persatuan. Pembimbing bergambar bersama Zuraida. “Bila kita terlibat dengan jemaah atau organisasi, kita akan dilatih dengan disiplin yang tinggi dan pengajaran yang berkesan di samping disulam dengan pengalaman yang luas. “Dan hal ini pastinya membolehkan ahli-ahli persatuan untuk disebarluas kepada masyarakat sekeliling dalam membantu kerajaan untuk melahirkan rakyat yang bermanfaat kepada negeri. “Daripada sini juga sebenarnya kita dapat mencungkil bakat, menggilap skil kepimpinan dalam diri anak-anak muda hingga akhirnya terhasil seorang pemimpin negara yang berkarisma dan matang. Agenda ini yang saya sedang gerakkan kepada beliawanis Terengganu,” ujarnya. Zuraida ketika berucap merasmikan mesyuarat agung. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (Pandu Puteri Terengganu) Kali ke 31 di Hotel Sumai, baru-baru ini. Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak persatuan atas kejayaan mewujudkan satu persatuan badan berunifom yang aktif. “Saya difahamkan Persatuan Pandu Puteri merupakan sebuah badan beruniform yang cukup sinonim dalam kalangan warga pendidikan dengan keahliannya adalah guru dan pelajar. “Saya sendiri pun merupakan Pandu Puteri sebenarnya sewaktu di sekolah rendah, cumanya ketika itu dikenali dengan ‘Brownie’, sekarang sudah ditukarkan kepada Pandu Puteri Tunas,”ujarnya. Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah 23 orang pelajar Pandu Puteri dari seluruh Negeri Terengganu yang menerima Anugerah Pandu Puteri Remaja termasuk dua orang pelajar yang menerima Anugerah Pandu Puteri di-Raja. Dua orang pelajar tersebut ialah Najwa Sidek Ahmad dari SMK Tengku Mahmud, Besut dan Aisyah Maisarah Mohd Zulkifli dari SMK Tengku Ibrahim, Setiu. Najwa dan Aisyah bergambar bersama Zuraida dan guru pembimbing.  
22 Sep 20
663
Lebih 500KG Sampah Dikutip Di Pantai Tok Jembal
Lebih 500KG Sampah Dikutip Di Pantai Tok Jembal
KUALA NERUS, 23 September – Lebih 500 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan oleh peserta Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 di sekitar Pantai Tok Jembal, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menyifatkan program yang julung-julung kali diadakan itu merupakan satu inisiatif yang baik bagi memulakan pembudayaan kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya menjaga kebersihan pantai. Zuraida berucap merasmikan program. Menurut beliau lagi, program tersebut juga berperanan untuk mewujudkan hubungan baik di antara rakan kolaborasi dan komuniti dalam melestarikan alam sekitar demi kelangsungan kehidupan sejagat. “Program ini menyasarkan penduduk setempat, pengunjung pantai dan orang awam dengan anggaran peserta termasuk rakan kolaborasi yang akan terlibat adalah seramai lebih kurang 200 orang. “Impak positif daripada program ini adalah dapat memberi pendedahan dan pengetahuan yang lengkap tentang penjagaan alam sekitar khususnya kebersihan pantai yang disediakan kepada kumpulan sasar. “Selain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai kepentingan pelaksanaan program yang tepat dan mampu mencapai sasaran objektif,” ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 yang diadakan di Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal, baru-baru ini. Zuraida melepaskan peserta. Program tersebut merupakan anjuran bersama antara Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNESCO Malaysia), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Pusat Pengajian Profesional Dan Lanjutan Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (PACE UUM KL). Turut terlibat sebagai rakan kolaborasi mereka ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Trash Hero Batu Buruk, Uptown Kontena Dapo Pata di samping disertai oleh 250 orang yang terdiri daripada pelajar UMT dan PACE UUM KL selain sukarelawan daripada YPASM, MBKT, Trash Hero Batu Buruk dan Manis FM. Beliau turut melahirkan harapan agar program ini dapat membuka mata rakyat Negeri Terengganu khususnya agar cakna dan prihatin akan masalah kebersihan setempat. “Kalau boleh, setiap bulan anjurkan program sebegini pun tidak mengapa, supaya masyarakat nampak ada usaha kita untuk menjaga kebersihan setempat. “Isu kebersihan ini sebenarnya amat dekat di hati saya, bahkan saya pernah sebutkan dalam ucapan perbahasan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) dahulu mengenai plastik yang tidak dibuang dengan betul dan akhirnya ia berakhir di laut yang menyebabkan kematian hidupan marin seperti penyu. “Kalau kita lihat lagi, pernah disebutkan dalam Sidang DUN bahawa kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan sejumlah amaun yang agak besar bagi menguruskan sampah yang dihasilkan oleh rakyat Terengganu,"ujarnya.   Aksi peserta ketika mengumpulkan sampah.  
22 Sep 20
889
Trash Hero Batu Buruk, ‘Adiwira Sampah’
Trash Hero Batu Buruk, ‘Adiwira Sampah’
KUALA NERUS, 23 September – Jolokan ‘adiwira sampah’, sesuai diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Trash Hero Batu Buruk yang berusaha keras bagi menjaga kebersihan sekitar terutamanya di sekitar kawasan pantai. Menurut Setiausaha Trash Hero Batu Buruk, Ishak Hanis Abdullah, mereka komited dan tidak putus asa untuk menyampaikan mesej utama mereka kepada masyarakat melalui ‘tag line: We clean, we educate we change’ bagi mengubah mentaliti masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Beliau berkata, Trash Hero Batu Buruk merupakan satu NGO yang berdaftar di bawah induknya, ‘Trash Hero World’ yang berpengkalan di Switzerland dan mereka merupakan NGO Trash Hero yang pertama yang ditubuhkan di Negeri Terengganu bagi memupuk kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar kepada masyarakat setempat. Salah seorang sukarelawan Trash Hero batu Buruk. “Setiap Hari Sabtu, kami konsisten mengutip sampah di sekitar Pantai Batu Buruk mulai pukul 5:30 petang dan kita mengalu-alukan semua masyarakat Terengganu untuk sama-sama menyertai program mingguan ini. “Kami tidak mengenakan sebarang kos penyertaan, ‘zero-cost’ (sifar-kos), penyertaan secara percuma, anda hanya perlu datang dan sertai sahaja, sama-sama kita menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 yang diadakan di Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, baru-baru ini. Ishak menerima hadiah penghargaan. Ishak bersama-sama sukarelawan Trash Hero Batu Buruk turut menyertai program terbabit sebagai bukti kebersamaan mereka dalam usaha atau kempen yang digerakkan bagi menjaga alam sekitar. “Kami berada di sini hari ini, untuk berganding bahu menjayakan program bagi memberi kesedaran kepada komuniti dan masyarakat betapa pentingnya menjaga alam sekitar kerana jika bukan kita siapa lagi yang mahu menjaga kebersihan alam sekitar ini. “Alhamdulillah, hari ini juga kami berjaya memenangi tempat pertama, sampah yang paling banyak dikumpulkan yang mana mengekalkan rekod nombor satu yang berjaya diraih pada tahun lepas. “Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam penganjuran program ini,” tambahnya. Ishak berharap agar usaha kecil NGO mereka yang sudah menginjak ke usia dua tahun ini dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar. Beliau turut berpesan kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata dan lebih baik sekiranya masyarakat dapat membawa sendiri bekas bagi mengisi sisa sampah hasil daripada makanan yang dimakan. “Bawa plastik sendiri, kemudian isi sampah di dalamnya dan bawa pulang. “Tidaklah semata-mata kita mengharapkan pihak berkuasa tempatan untuk sediakan tong sampah,” akhirinya. Zuraida menyampaikan hadiah tempat pertama kepada Trash Hero Batu Buruk.  
22 Sep 20
725
Ustaz Mad Kecik, Rahmat Makasuf Ikon Belia DUN Telemong
Ustaz Mad Kecik, Rahmat Makasuf Ikon Belia DUN Telemong
  HULU TERENGGANU, 21 September - Pendakwah bebas yang sedang meningkat naik, Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan pemain sayap Terengganu FC, Rahmat Makasuf antara penerima Anugerah Ikon Belia Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sempena pelancaran Kelab Belia Sahabat Sejahtera Telemong.  Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Abdul Razak.  Selain itu beberapa individu turut menerima anugerah ikon belia mengikut kategori usahawan berjaya antaranya Adi Aizuddin Bahari (Pengusaha produk sejuk beku), Dzulkifli Ismail (Ternakan arnab, puyuh, ayam kampung dan telur itik), Wan Muhammad Wan Lazim (Teranakan lembu dan kelulut) dan Suhaizat A. Rani (Automotif)  Sementara itu, Pengerusi Belia Sahabat Sejahtera Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf, menyifatkan pengurniaan anugerah tersebut sebagai pembakar semangat untuk penerima agar terus berusaha dan menjadi contoh yang  baik khususnya kepada golongan belia.  "Anugerah ini diberikan bagi menghargai sumbangan belia dan sekaligus memberi semangat kepada golongan belia untuk lebih proaktif, " katanya Beliau berkata demikian ketika ditemui seusai Majlis Makan Malam dan Perasmian Kelab Belia Sahabat Sejahtera Telemong, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong, baru-baru ini. ‌Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pegawai Penyelaras Dun Telemong, Encik Mohd Safari Abu, Pengerusi Penaja Persatuan sahabat Sejahtera Negeri Terengganu Ustaz Irsyad Syafiq, Pegawai Khas Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu Wan Mohd Ikhwan Wan Arif, Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu, Mukhri Mamat dan Wakil Penaja Kelab Sahabat Sejahtera Daerah Hulu Terengganu, Ustaz Hamdi Harun. 
22 Sep 20
2010
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
DUNGUN, 23 September - Seorang petani terpaksa berputih mata apabila kebun tanaman miliknya musnah dalam satu kejadian ribut baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM40,000. Petani tersebut, Wan Abd Rahim Wan Jalil berkata, kejadian itu berlaku dalam masa yang sangat pantas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan tanamannya di Kampung Tebing Tembah, Paka. "Saya tidak sangka ribut yang datang baru-baru ini lebih kuat daripada biasa.  "Kerugian yang terpaksa saya tanggung dianggarkan bernilai hampir RM40,000," katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya baru-baru ini. Walau bagaimanapun katanya, dia redha dengan ujian yang berlaku dan menganggap ia sebagai pemangkin untuknya terus bergerak ke hadapan. "Saya sangat sedih namun saya anggap ini ujian daripada Allah dan saya terimanya dengan redha," ujarnya yang berasal dari Kampung Kubang Miang. Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Wan Hapandi dalam satu lawatan baru-baru ini telah memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan kerugian ditanggung Abd Rahim. “Insya-Allah sedikit sumbangan turut dihulur bagi meringankan beban beliau. Diharap beliau terus kuat untuk mengusahakan tanaman ini," tambah beliau.
22 Sep 20
264
Ibu Tunggal Sara Dua Anak Terima Bantuan
Ibu Tunggal Sara Dua Anak Terima Bantuan
BERA , 24 September - 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul', itulah perumpaan yang sesuai digambarkan bagi mengambarkan kesusahan seorang ibu tunggal dalam menyara dan membesarkan dua anaknya. Norsabariha Md Sidek, 37, yang berasal dari Kampung Durian Guling, Marang dan menetap di Bera, Pahang menghadapi krisis ekonomi sejak beberapa tahun lalu. Katanya, keadaan bertambah rumit apabila anaknya, Puteri Nur Qisha, 8, sedang menghidap penyakit tonsil dan memerlukan rawatan susulan setelah selesai pembedahan beberapa minggu lalu. "Bagaimanapun, kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan rombongan untuk melihat keadaan kami sekeluarga sangat dihargai. "Terima kasih juga kepada semua atas sumbangan yang diberikan," kata Norsabariha kepada pemberita semasa aktiviti ziarah Sulaiman baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Perantau Pahang Terengganu Dr Hasbullah dan SU MTD Pengkalan Berangan Badaruddin Ismail. ADUN Pengkalan Berangan YB Ustaz Sulaiman Sulong terus prihatin dan cakna terhadap warga DUN Pengkalan Berangan walaupun yang berada luar daripada Negeri Terengganu. Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan terus memberi bantuan kepada rakyat DUN Pengkalan Berangan yang memerlukan walaupun mereka berada di luar negeri. "Selagi mereka adalah pengundi dari DUN Pengkalan Berangan, maka perlu untuk kita terus prihatin walaupun mereka berada di luar dari negeri kita," ujarnya.    
22 Sep 20
147
Pemimpin Keluarga Perlu Bijak Urus Kewangan
Pemimpin Keluarga Perlu Bijak Urus Kewangan
SETIU, 22 September – Setiap pemimpin keluarga disaran agar membuat keputusan yang bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkiraan itu termasuk dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang lebih penting berbanding perkara lain. "Sebanyak manapun sumber pendapatan, duit yang kita ada tetap mempunyai had yang mana kita perlu meletakkan di manakah keutamaannya. "Dengan jumlah pendapatan yang ada, kita perlu bijak mengatur antara keperluan mendesak, keperluan biasa dan keperluan pelengkap. "Dalam menyusun perbelanjaan, kita perlu tahu tahap-tahapnya. Jangan kita pasang ‘spoiler’ kereta tetapi selipar isteri yang putus disuruh ikat dengan dawai. Ini tak kena sebab kita tak tengok daripada segi keperluan dan keutamaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ibu Bapa Cemerlang Taska Permata di Dewan Teater Kolej Bestari, Permaisuri di sini hari ini. Menurutnya, ibu bapa yang dapat menyusun perbelanjaan dan keperluan anak-anak dengan baik adalah pemimpin keluarga cemerlang. "Sekarang ini, bila kita dibekalkan dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan nasihat daripada pakar-pakar sepatutnya ia memberi nilai tambah kepada kebijaksanaan semula jadi yang telah dikurniakan oleh Allah. "Sama juga dengan jabatan, sebagai wakil rakyat perlu bijak mengatur untuk semua bagi rasa biarpun sikit. Begitu juga dengan kerajaan, bagaimana untuk membuat agihan kewangan yang dirancang supaya dengan jumlah yang kita ada memberikan manfaat.  "Apabila kita tahu yang mana keutamaan, insya-Allah dalam jumlah yang kita ada kita boleh rancang untuk dapat sesuatu sekadar yang kita mampu," tambah beliau.
22 Sep 20
304