lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Mesir Lanjut Darurat, Pelajar Terengganu Tidak Terjejas
Mesir Lanjut Darurat, Pelajar Terengganu Tidak Terjejas
KUALA TERENGGANU, 29 April - Lebih 500 pelajar Terengganu di Mesir dijangka tidak berdepan masalah dengan lanjutan tempoh darurat selama tiga bulan yang dibuat Abdel Fattah al-Sisi baru-baru ini. Yang Dipertua Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu di Mesir, Muhammad Nur Adli Najmuddin Mukhtar berkata, tindakan  Presiden Mesir bagi menangani wabak COVID-19 itu tidak memberi impak yang buruk kepada mereka kerana keadaan di sana masih terkawal. "Sebenarnya Mesir sentiasa dalam darurat sejak zaman presiden Hosni Mubarak, selepas Mubarak jatuh dan Dr Mohamed Morsi menjadi presiden, undang-undang tersebut dibuang. "Namun, selepas al-Sisi ambik alih, dia mulakan balik kanun darurat tersebut setiap tiga bulan bagi mengekang pengganas dengan sekatan yang tinggi dan kini digunakan ketika COVID-19 menular," katanya ketika dihubungi media hari ini. Mengulas lanjut, Nur Adli mengatakan darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perintah berkurung COVID-19 kekal pada pukul 9.00 malam hingga 6.00 pagi. "Alhamdulillah, kesemua kami juga tiada yang positif wabak berkenaan sehingga hari ini," ujarnya. Beberapa hari lalu dalam dekri presiden, al-Sisi berkata aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan berbahaya. Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang dan jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.
01 May 20
157
Empat Bidang Utama Tunjang Konsep Universiti Gabungan UMT-UniSZA
Empat Bidang Utama Tunjang Konsep Universiti Gabungan UMT-UniSZA
Dari kiri: Dr. Nor Aieni, Dr. Siti Hashimah, Tan Sri Halim, Dr. Muhammad Nur dan Dr. Hassan.       KUALA TERENGGANU, 27 September- Pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju menumpukan empat bidang sebagai fokus kepada universiti baharu yang akan ditubuhkan hasil penggabungan sepenuhnya kedua-dua universiti itu.   Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, keempat-empat tujahan utama iaitu kelautan, pendidikan Islam dan sains sosial, perubatan serta perniagaan dan undang-undang merupakan kekuatan kedua-dua universiti itu telah dicadangkan untuk dikekalkan.   "Tujahan atau bidang utama ini akan memantapkan universiti berkenaan sebagai peneraju dalam integrasi keilmuan Islam dan sains selain memperkasakan kebitaraan fokus universiti masing-masing serta memberi nilai tambah kepada mahasiswa, fakulti dan komuniti setempat.   "Melalui usaha ini kita akan dapat lihat bidang disiplin misalnya syariah dengan perakaunan atau mungkin pengajian Islam digabungkan dengan sains dan teknologi," katanya dalam sidang media selepas Bengkel Kerja Penyelarasan Penggabungan UMT dan Unisza di Hotel Primula di sini hari ini.   Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah kedua-dua universiti, Tan Sri Dr. Halim Mohamad dan Dato' Dr. Muhammad Nur Manuty di samping Naib Canselor UMT dan Unisza, Prof. Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Prof. Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan. Siti Hashimah beri jaminan kakitangan universiti terlibat tidak akan kehilangan kerja.   Siti Hashimah juga memaklumkan, kerangka penggabungan itu akan dilaksanakan kerajaan menggunakan kepakaran pensyarah tempatan bertaraf antarabangsa.   Beliau turut memberi jaminan tiada mana-mana kakitangan sama ada akademik atau bukan akademik  bakal berdepan risiko kehilangan pekerjaan, sebaliknya akan kekal berkhidmat termasuk mereka yang berstatus pekerja kontrak.   "Walaupun secara prinsipnya, keputusan penggabungan sudah dipersetujui, proses libat masih lagi diteruskan urus bersama warga universiti termasuk dengan pelajar yang akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.   Dalam bengkel selama dua hari itu, UMT dan UniSZA mengemukakan cadangan berhubung pelaksanaan penggabungan kedua-dua institusi itu untuk pertimbangan Kementerian Pendidikan Malaysia.   Bengkel tersebut turut menyentuh isu tadbir urus universiti baharu, pembangunan dan kebajikan pelajar di samping penyelidikan dan akademik.   Sesi libat urus dan bengkel akan terus diadakan bersama warga universiti.    
27 Sep 19
438