Artikel "Komuniti" Terkini
 
                        
                                            
                            240 Lembu, Kambing Dikorbankan Di Maahad Darul Quran Rusila
                        
                        
                            MARANG, 9 Jun - Maahad Darul Quran Rusila sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan Program Korban Perdana sempena Aidiladha tahun ini dengan penyertaan luar biasa, melibatkan 240 ekor haiwan korban terdiri daripada 70 ekor lembu dan 170 ekor kambing.
Program tahunan yang menjadi tradisi institusi itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan luar, dengan penyertaan peserta dari pelbagai latar belakang yang ingin menunaikan ibadah korban sambil menyumbang kepada kebajikan pelajar dan komuniti.
Menurut Mudir Maahad tersebut, Ismail Osman berkata, daging korban yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Maahad sepanjang tahun, selain diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar kawasan Marang dan sekitarnya.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh peserta yang menyertai korban tahun ini. Dagingnya akan disimpan untuk kegunaan pelajar dan sebahagiannya disumbangkan kepada yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang datang dari pelbagai kampung dan kawasan, yang bertungkus-lumus menjayakan program besar ini.
“Mudah-mudahan ibadah kita diterima Allah SWT dan diberi keberkatan untuk kita semua,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan.
Katanya, program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan semangat ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform pendidikan praktikal kepada pelajar dalam memahami dan menghayati erti pengorbanan serta kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
"Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Maahad Darul Quran Rusila terus membuktikan komitmennya dalam mendidik generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, tetapi juga peka terhadap tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat," ujarnya.
                        
                        
                                09 Jun 25
            
                    
                                49
            
             
                        
                                            
                            Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengambil perhatian serius termasuk dengan membina rumah baharu bagi membela nasib Mat Nasir Islam, 48, serta isterinya, Mazilah Mansor.
Mereka dikatakan tinggal di sebuah pondok usang bersama anak dan cucu, tiga daripada mereka masih bersekolah termasuk seorang anak yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dr. Mamad berkata, pada Khamis lalu pihaknya melalui pegawai khas dan kakitangan Pejabat DUN serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Hulu Terengganu telah menziarahi mereka dan mengambil maklum keadaan yang dialami oleh keluarga yang mengalami kesempitan hidup terbabit.
"Meskipun serba terbatas, mereka tetap tabah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sudah lama disalurkan.
"Hari ini (kelmarin) saya bersama pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM turut turun  sekali lagi bagi menilai keadaan semasa.
"Pihak kami juga cuba untuk mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup keluarga ini," ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya, semalam.
Terdahulu Mazilah memaklumkan masalah dialami mereka telah lama mendapat perhatian MAIDAM yang menyumbang zakat sebanyak RM3,000 setahun.
Selain itu, dia memaklumkan juga turut menerima bantuan khas untuk anak OKU sebanyak RM1,800 daripada JKM.
Dalam pada itu, Pegawai Khas ADUN, Arif Azlan memaklumkan Dr Mamad berusaha bagi memastikan sebuah rumah baru akan dapat didirikan untuk keluarga terbabit.
"Pihak DUN telah bertemu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin, cuma sekarang ini kalau menurut Mazilah tanah ini telah diusahakan sudah 20 tahun.
"Apabila kita semak dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, tanah ini baru dipohon oleh keluarga ini pada April yang lalu, jadi kita tunggu kelulusan untuk mendirikan rumah yang lebih baik untuk didiami oleh keluarga ini," ujarnya.
                        
                        
                                03 Jun 25
            
                    
                                1150
            
             
                        
                                            
                            42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
                        
                        
                            HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna.
Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka.
Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini.
Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut.
"Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau.
Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.
 
 
                        
                        
                                27 May 25
            
                    
                                2463
            
             
                        
                                            
                            Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Seramai lebih 100 orang peserta terlibat dalam Program Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Kebajikan Kuala Terengganu (KT Care), beberapa hari yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai usaha EPIC dan KT Care atas kejayaan menganjurkan program yang berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta dan mengutip sejumlah besar sampah yang mencemari kawasan pantai.
Menurutnya, pantai merupakan salah satu aset pelancongan utama negeri Terengganu dan perlu sentiasa dijaga kebersihannya melalui penyertaan aktif masyarakat.
"Alam ini amanah kita. Bersama kita lestarikan keindahannya. Teruskan usaha menjaga keindahan dan kecantikan pantai kita.
"Setiap daripada kita memainkan peranan penting sama ada besar atau kecil dalam memastikan pantai kekal bersih, indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang.
"Kalau orang Terengganu nak 'healing', mereka akan ke pantai. Maka, tanggungjawab untuk memastikan pantai kekal bersih adalah milik bersama. Usaha seperti ini perlu diteruskan tanpa perlu tunggu kempen besar-besaran," kata beliau melalui hantaran di laman media sosial rasminya.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat. 
Antara yang turut serta ialah wakil Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Ladang, DUN Batu Buruk, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), serta pelajar-pelajar cilik daripada PASTI dan Tadika Syaz.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Dalam pada itu, satu sesi penyerahan sumbangan kepada KT Care turut diadakan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Undang-Undang dan Kesetiausahaan EPIC Berhad, Fairuz Idris kepada Dato' Wan Sukairi.
EPIC berkata, Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EPIC Berhad, yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan bersama komuniti tempatan.
                        
                        
                                21 May 25
            
                    
                                126
            
             
                        
                                            
                            70 Kakitangan SATU Gotong-Royong Bersih Kubur
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 2O Mei - Seramai 70 kakitangan Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan kubur Pasir Panjang, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Abdul Karim Endut berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan tanda keprihatinan pihaknya terhadap masyarakat setempat.
"Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu bentuk kecaknaan yang tinggi daripada pihak SATU, khususnya dengan pemilihan DUN Pasir Panjang sebagai lokasi pelaksanaan.
"Semangat kerjasama yang ditunjukkan para petugas SATU wajar dijadikan contoh, dan diharapkan program seperti ini dapat diteruskan demi kesejahteraan dan keceriaan komuniti setempat," ujarnya kepada pemberita selepas selesai gotong-royong berkenaan.
Program tersebut turut menyaksikan penyerahan pelbagai peralatan kebersihan seperti mesin rumput, cat, dan kelengkapan lain kepada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Panjang oleh SATU bagi menyokong usaha kebersihan komuniti..
                        
                        
                                19 May 25
            
                    
                                53
            
             
                        
                                            
                            Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Seluruh warga Terengganu dan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP)2025.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Akan diadakan pada 16 sehingga 18 Mei ini bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong Setiu," ujar beliau melalui kenyataan di media sosialnya, di sini.
Menurut Ahmad Samsuri, pelbagai pengisian menanti pengunjung yang hadir.
"Termasuk pertunjukan sukan lasak, perarakan kuda berhias, aktiviti komuniti, persembahan kebudayaan dan sebagainya.
"Jumpa di sana,"ujarnya.
 
                        
                        
                                10 May 25
            
                    
                                4541
            
             
                        
                                            
                            16 Pelajar Politeknik Dungun Terpilih Ke China
                        
                        
                            Oleh : Nooreni Abu Bakar 
DUNGUN, 8 Mei - Seramai 16 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini terpilih menyertai Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou, China. 
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata,  mereka merupakan sebahagian daripada 34 pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang diberi kepercayaan untuk menjalani latihan intensif industri bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Kejayaan ini membuktikan kompetensi tinggi graduan POLYCC serta mengangkat martabat PSMZA yang bukan sahaja setanding, malah berjaya mengatasi IPT lain dalam pemilihan pelatih ke luar negara. 
"Ini turut mencerminkan pengiktirafan industri terhadap sistem pendidikan TVET negara yang semakin diyakini dalam melahirkan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi, " ujarnya dalam satu kenyataan. 
Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman meluahkan rasa bangga diatas pemilihan pelajarnya dalam kumpulan pertama melibatkan 102 pelatih yang akan memulakan latihan di China secara berperingkat bermula 15 Mei ini.
Menurut beliau, pemilihan ini mencerminkan keupayaan teknikal dan tahap kesediaan tinggi pelajar PSMZA, hasil dari latihan berasaskan industri serta sokongan fasiliti dan tenaga pengajar yang kompeten.
“Ia juga merupakan hasil hubungan baik dan kerjasama erat yang terjalin antara PSMZA dan pihak Malaysia Rail Link (MRL) sejak sekian lama, ” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan, latihan selama setahun itu akan menjadi batu loncatan penting kepada para pelajar untuk menyumbang secara langsung dalam fasa pengoperasian ECRL yang dijangka bermula Januari 2027.
                        
                        
                                08 May 25
            
                    
                                426
            
             
                        
                                            
                            i-Suri Bantu Perkasa Wanita Terengganu
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Usaha memperkasakan wanita dan memperluas perlindungan sosial kepada suri rumah terus diperkukuh menerusi penganjuran Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Sivik Ajil, pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional,  Maliaman Kassim, program tersebut merupakan satu inisiatif dianjurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu (IMITS) serta Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil. 
"Program i-Suri di bawah KWSP ini merupakan antara usaha memberi perlindungan sosial kepada suri rumah yang tidak berpendapatan tetap, dengan galakan caruman secara sukarela yang turut disertakan insentif kerajaan.
"Melalui jelajah ini, para wanita khususnya suri rumah diberi maklumat berkenaan manfaat simpanan masa depan, skim perlindungan, dan peluang mempertingkat kesejahteraan keluarga. 
"Turut ditekankan kepentingan celik kewangan dan peranan wanita sebagai nadi pembangunan masyarakat," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil berkata demikian melalui satu hantaran Facebook rasminya.
Turut hadir bagi menyempurnakan program, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Tuan Rahmat serta  Pengarah IMITS Terengganu, Kamaruzaman Abdullah.
Menurutnya lagi, program turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi yang membuka ruang pameran dan perkhidmatan termasuk Tabung Haji, BSN, TTITC, JPW, PTPTN, THRDC, PERKESO, AKPK dan NADI, yang menawarkan informasi tentang peluang pekerjaan, latihan kemahiran, perancangan kewangan dan pelan simpanan masa depan.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program, dan menyeru agar lebih banyak usaha kolaboratif seperti demikian dilaksanakan.
"Tahniah kepada semua penganjur dan peserta yang menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus diperluas ke seluruh negeri agar tiada golongan wanita tercicir dalam perlindungan sosial," ujarnya.
 
                        
                        
                                05 May 25
            
                    
                                332
            
             
                        
                                                    
                            Video title Kerajaan Teliti Cadangan Sedia Ruang Solat di Pasar Malam
                        
                        
                            Kerajaan negeri komited memperkasa budaya solat fardu dalam kalangan masyarakat dengan menekankan kepentingan menunaikan solat walaupun dalam kesibukan urusan harian seperti di tapak pasar malam.
                        
                        
                                23 Apr 25
            
                    
                                69
            
             
                        
                                            
                            Pasar Pengkalan Berangan ‘Hidup’ Dengan Adanya Medan Ilmu
                        
                        
                            MARANG, 23 April – Pasar Pengkalan Berangan berupaya menjadi medan ilmu bagi pendakwah mendekati masyarakat untuk menyebarkan ajaran Islam secara santai.
Melalui program berkala ‘Medan Ilmu Pengkalan Berangan’, ia bukan sahaja bertindak sebagai platform menyatukan kelompok masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membolehkan orang ramai yang membeli dan berjualan mendengar pengisian rohani.
Bagi Noor Rozali Jusoh yang telah lima tahun berniaga di pasar berkenaan mengakui, Pasar Pengkalan Berangan dilihat 'hidup' setelah adanya Medan Ilmu Pengkalan Berangan.
“Ia biasanya diadakan sebulan sekali (minggu ketiga) iaitu pada hari Selasa, jika hari biasa tidak ramai pengunjung tetapi pada hari yang diadakan program medan ilmu ramai yang datang.
“Secara tidak langsung ia turut membantu peniaga di sini apabila ramai yang membeli jualan mereka, bagi saya memang bagus buat program sebegini, kalau buat seminggu sekali pun lagi bagus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Medan Ilmu Pengkalan Berangan yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Zulkhairi Ngah, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Sementara itu seorang pengunjung, Awang Botok turut menyokong sekiranya program berkenaan diadakan lebih kerap. 
“Program medan ilmu ini kalau boleh seminggu sekali, atau dua minggu sekali dalam sebulan.
"Jadi peniaga pun suka bila tengok ramai orang datang membeli jualan mereka, kalau sebulan sekali ni kita pun kadang-kadang tak ingat, kalau tak tengok WhatsApp jadi tak tahu,” ujarnya.
                        
                        
                                23 Apr 25
            
                    
                                297
            
             
                