lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
KUALA NERUS, 22 April - Kerajaan negeri meletakkan sasaran 8.5 juta pelancong berkunjung ke Terengganu sepanjang tahun ini dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut dengan pelbagai program yang telah dirangka. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, suku pertama tahun ini telah berjaya mencatat kehadiran 2.1 juta pelancong walaupun Terengganu berhadapan dengan cabaran musim Monsun Timur Laut serta beberapa destinasi pantai peranginan yang masih belum dibuka sepenuhnya. "Tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran sebanyak 4.5 juta pelancong ke Negeri Terengganu dan kita berjaya mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh melepasi sasaran yang ditetapkan, ini adalah petanda yang sangat positif. "Bagi memastikan industri pelancongan Terengganu terus berkembang secara mampan dan kekal kompetitif, kerjasama erat antara semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, NGO, serta para penggiat industri adalah amat penting," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy. Sementara itu, mengulas mengenai progam tersebut Sulaiman berkata, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada semua pihak bagi mendengar pandangan serta cadangan daripada pemain industri dengan tujuan penambahbaikan dan perancangan masa hadapan.     
22 Apr 25
359
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
Oleh : Nooreni Abu Bakar  HULU TERENGGANU, 20 April - Seramai 15 pelajar Politeknik Hulu Terengganu telah berkampung di Kampung Orang Asli Sungai Bengoi, Taman Negara Kuala Sat bagi mengutip pengalaman dan mempelajari kehidupan seharian suku kaum tersebut. Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Politeknik Hulu Terengganu, program itu  melibatkan pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi Semester 5 (DRT5A) Bersama Volunteer 1 Malaysia (V1M).  "Dalam sesi perkongsian bersama pelajar, Tok Batin dan pembantu telah menyampaikan ilmu kelangsungan hidup seperti menyalakan api menggunakan teknik gesekan api menggunakan rotan dan kayu meranti serta cara untuk mencari makanan di hutan," katanya.  Menurutnya lagi, Tok Batin juga menunjuk cara  menggunakan jerat untuk perangkap haiwan kecil seperti kancil, pelanduk dan ayam hutan.  "Selepas menggunakan jerat, mereka mengajar bagaimana untuk memburu menggunakan sumpit serta racun daripada pokok untuk diletakkan di sumpit untuk melemahkan mangsa," katanya.  Program selama dua hari yang diadakan pada 9 April dan 10 April lalu turut dimuatkan aktiviti - aktiviti santai bersama komuniti masyarakat setempat.  "Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan futsal terbuka serta pertandingan bola beracun yang mengetengahkan permainan tradisional sambil memupuk interaksi mesra antara peserta dan penganjur," katanya.  Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti serta pengagihan barang hasil kutipan dana daripada sumbangan staf dan pelajar Politeknik Hulu Terengganu seperti pakaian terpakai dan alat tulis kepada komuniti Orang Asli. "Ini mencerminkan keprihatinan sosial, malah memperkukuh nilai kebersamaan dan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar," ujarnya.
20 Apr 25
189
Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam
Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam
SHAH ALAM, 13 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Peringkat DUN Hulu Besut yang berlangsung malam tadi di perkarangan Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan menghimpunkan 2000 anak-anak perantau yang menetap di Lembah Klang. Sekaligus Majlis yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat(ADUN) Hulu Besut itu menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam kalangan perantau. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perantau yang hadir memeriahkan majlis berkenaan. “Saya amat berbesar hati melihat kehadiran yang begitu ramai serta sambutan yang cukup meriah. Ini jelas membuktikan semangat kekeluargaan dan kasih sayang sesama anak perantau Hulu Besut masih kukuh walau berada jauh dari kampung halaman,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya tersebut, baru-baru ini. Beliau juga merendah diri memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis tersebut, dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.   Dalam pada itu,Husaimi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman tahun ini. “Insya-Allah, dengan sokongan dan semangat ukhuwah yang berterusan, kita dapat menganjurkan lagi majlis seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya lagi. Majlis turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran buat para perantau yang lahir pada bulan April. Husaimi mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati dan sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah SWT.  
13 Apr 25
816
MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran Di Kampung Alor Pok Bang
MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran Di Kampung Alor Pok Bang
MARANG, 9 April 2025 – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Taman Emas Murni, Kampung Alor Pok Bang, di sini, petang semalam. Beliau bersama beberapa agensi kerajaan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah hadir sendiri ke lokasi kebakaran bagi meninjau keadaan rumah yang musnah terbakar serta menyantuni ahli keluarga mangsa. Ahmad Samsuri turut menyampaikan kata-kata semangat dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa sambil memaklumkan bahawa bantuan segera akan disalurkan. “Kami di pihak kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin untuk meringankan beban keluarga mangsa," ujarnya kepada pemberita. Terdahulu, suasana pagi di Kampung Alor Pok Bang dikejutkan dengan insiden tragis apabila seorang warga emas yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) maut dalam kebakaran rumah yang berlaku kira-kira jam 4.20 pagi semalam. Mangsa, Razaidah Muhamad, 78 tahun, ditemukan rentung di bilik belakang rumah selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian menyayat hati itu.  Ketika kejadian, arwah bersama anak perempuannya, Halimahtun Mat Zin,49, serta dua cucunya, Nur Aishah Najwa ,23, dan Mohd Nur Hakim,18, berada di dalam rumah. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Timbalan Penguasa Bomba Che Badrul Isham Che Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.27 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian. “Ketiga-tiga mangsa lain, termasuk anak dan dua cucu mangsa, berjaya keluar sebelum anggota bomba tiba, namun Razaidah yang uzur dan bergelar OKU tidak sempat diselamatkan,” katanya. Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut. "Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,' ujarnya.    
08 Apr 25
282
Kerajaan Lancar Skim Harga Maksimum Aidilfitri 2025
Kerajaan Lancar Skim Harga Maksimum Aidilfitri 2025
Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerajaan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan utama.
06 Apr 25
75
Rakyat Pelbagai Kaum 'Serbu' Rumah Terbuka Dr. Sam
Rakyat Pelbagai Kaum 'Serbu' Rumah Terbuka Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyantuni rakyat negeri Terengganu bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam sebuah majlis rumah terbuka Hari Raya bertempat di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, hari ini. Majlis tahunan yang bermula jam 11.00 pagi sehingga pukul 2.00 petang itu meriah dengan kedatangan pengunjung dari pelbagai latar belakang serta kaum, tidak terkecuali komuniti bukan beragama Islam yang turut hadir menambahkan kemeriahan suasana majlis. Seorang suri rumah yang berasal dari Seberang Takir kini menetap di Besut, Maimunah Bakar, 56, menzahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Besar kerana saban tahun selalu menganjurkan majlis keraian yang sering menjadi persinggahan utama keluarganya pada satu Syawal. "Saya dan keluarga setiap tahun memang akan berkunjung ke rumah Mnteri Besar dan masuk tahun ini merupakan tahun keempat kami ke sini. "Antara salah-satu sebab kerana kami sekeluarga selalu berkunjung ke majlis rumah terbuka perayaan ini adalah permintaan dari suami saya untuk singgah di sini," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, pagi tadi. Penduduk setempat berbangsa cina berasal dari Kampung Tiruk, Hoo Chin Foo, 68, berkata bahawa dia dan isterinya turut akan selalu datang berkunjung ke Kediaman Seri Iman setiap kali majlis rumah terbuka diadakan. "Saya dan isteri mesti akan datang jika ada majlis ini kerana makanan yang sedap-sedap semua. Tadi pun kami dah pergi jamuan rumah terbuka di istana  "Makanan yang paling saya suka bila datang sini adalah ini (tapai)," kata Chin.  Pelbagai juadah dan minuman telah disajikan kepada pengunjung antaranya termasuklah nasi minyak, laksa penang, martabak, sate ikan dan lain-lain. Tidak dilupakan juga hidangan ikonik kaum melayu bagi sambutan Aidilfitri seperti tapai, ketupat, lemang dan rendang, juga disediakan dalam majlis itu tadi. Pengunjung juga mengambil peluang untuk beramah-mesra serta berswafoto bersama menteri besar dan isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman. Manakala, bagi pengunjung cilik pula mereka dihadiahi duit raya sebagai tanda mesra meraikan kehadiran mereka. Majlis rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi platform untuk rakyat Terengganu bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin negeri, tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dalam menyambut Aidilfitri.  Keakraban yang terjalin di antara masyarakat pelbagai lapisan turut menggambarkan keunikan budaya dan nilai kebersamaan yang terus subur di negeri ini.  Dengan sambutan pada kali ini yang juga meriah dan menggalakkan, majlis ini sekali lagi membuktikan bahawa Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta berkongsi kegembiraan bersama.
31 Mar 25
390
"Tertunai Hajat Saya, YB Datang Rumah"
"Tertunai Hajat Saya, YB Datang Rumah"
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Wan Mohd Firdaus Wan Murni, 39, dari Kampung Pulau Musang meluahkan rasa teruja apabila hajatnya untuk menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, akhirnya tercapai apabila wakil rakyat itu datang berbuka puasa bersama keluarganya. Menurut Wan Mohd Firdaus, dia sekeluarga  berasa amat gembira dengan kehadiran YB ke rumah mereka setelah sekian lama menyimpan hasrat tersebut. “Saya dan keluarga memang gembira sangat sebab sebelum ini memang berhajat nak YB datang ke rumah, dan hari ini Allah SWT izinkan,” katanya dengan penuh syukur. Wan Mohd Firdaus yang tidak bekerja kerana masalah kesihatan selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2019 kini bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai pembantu kebersihan. Dia turut menghargai keprihatinan Dato’ Wan Sukairi yang membawa juadah nasi Arab untuk berbuka puasa bersama keluarganya. “Hari ini pun YB siap mari bawa nasi Arab. Tengok anak-anak pun suka makan, tambah pula YB bagi juga bantuan duit dan bakul makanan. Saya sangat berterima kasih,” ujarnya. Sementara itu, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu berkata, kehadirannya ke rumah tersebut adalah sebahagian daripada siri ziarah berbuka puasa bersama rakyat di kawasan Wakaf Mempelam. “Untuk bulan puasa ini, telah 10 buah rumah saya berbuka puasa bersama rakyat. Saya suka berbuka di rumah rakyat kerana banyak hikmah yang diperoleh,” katanya. Tambah beliau, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah memberi peluang untuk mengenali keadaan sebenar isi rumah yang diziarahi. “Ada kala sebelum ini bila saya berbuka di rumah rakyat, ada isi rumah yang sakit, uzur dan pelbagai kisah lagi. Jadi, saya boleh terus ambil peluang untuk menziarahi dan membantu,” ujarnya. Katanya lagi, perancangan berbuka puasa di rumah rakyat ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan diadakan di kampung-kampung lain pula dalam DUN Wakaf Mempelam.
29 Mar 25
158
Kak Da Kongsi Rezeki Melalui Program Ladang Sejahtera
Kak Da Kongsi Rezeki Melalui Program Ladang Sejahtera
Oleh: Mohamad Farhan Anam KUALA TERENGGANU, 28 Mac — Dalam usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan, Program Ladang Sejahtera #KakDaCakna edisi Aidilfitri telah diadakan bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima yang layak. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, program ini merupakan inisiatif bulanan yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang sendiri. "Alhamdulillah, ada rezeki kita kongsi. Syukur sebenarnya, kita dapat menyumbang, bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah bulan lain juga," katanya. Beliau turut mengajak masyarakat untuk sama-sama memperbanyakkan amalan kebaikan di penghujung Ramadan ini. "Minggu terakhir Ramadan ini, marilah kita manfaatkan sebaik mungkin untuk melipatgandakan ibadah dan amalan kebajikan sebagai bekalan akhirat," tambahnya. Program ini diharapkan dapat meringankan beban penerima menjelang Syawal serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
29 Mar 25
85
TM Kongsi Keuntungan Melalui Program Cahaya Ramadan
TM Kongsi Keuntungan Melalui Program Cahaya Ramadan
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan Telekom Malaysia meneruskan inisiatif berkongsi hasil keuntungan dengan membantu 125 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam melalui program Cahaya Ramadan yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, hari ini. Dalam program tersebut, setiap penduduk menerima sumbangan berupa satu kotak makanan serta zakat wakalah berjumlah RM200. Pengurus Besar Perniagaan Wilayah Timur TM, Maliki Harun berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri. "Kita berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penerima, bukan sahaja untuk menyambut Syawal tetapi juga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita. Tambah beliau, selain DUN Wakaf Mempelam, DUN Kota Putera turut terpilih sebagai penerima sumbangan zakat TM pada tahun ini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada TM atas inisiatif yang dijalankan bagi membantu golongan yang memerlukan. "Saya amat berterima kasih kepada TM yang terus komited membantu rakyat di DUN Wakaf Mempelam. Tahun lepas, seramai 100 orang menerima sumbangan zakat daripada TM, dan tahun ini jumlah penerima bertambah kepada 125 orang. Semoga usaha ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya. Dalam pada itu salah seorang penerima, Afzan Mohamad, 40, seorang suri rumah dari Kampung Wakaf Mempelam yang mempunyai enam orang anak, menyatakan rasa terharu dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan. "Alhamdulillah, terima kasih kepada TM dan semua yang terlibat. Sumbangan ini sangat membantu dalam meringankan beban kami sekeluarga, terutama dalam menyediakan keperluan menyambut Aidilfitri,” katanya. Beliau juga menyatakan persiapan Hari Raya tahun ini dibuat secara sederhana, sekadar berbelanja untuk menggembirakan anak-anak. Siti Ani Mamat dari Kampung Pak Bang pula menyifatkan sumbangan berkenaan amat bermakna buat keluarganya. "Suami saya diuji dengan penyakit strok sejak dua tahun lalu, dan keadaan kewangan kami memang terjejas. Saya sendiri tidak bekerja kerana perlu menjaga suami. "Alhamdulillah, dengan sumbangan ini, bolehlah kami menambah bekalan makanan dan membeli kelengkapan raya untuk anak-anak,” ujarnya.
27 Mar 25
557
60 Asnaf Tok Saboh Terima Zakat
60 Asnaf Tok Saboh Terima Zakat
BESUT, 27 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, terus melaksanakan  inisiatif bagi memastikan kebajikan penduduk di sini terbela. Pada kali ini, beliau telah menyampaikan sumbangan zakat kepada 60 orang golongan asnaf di Kampung Tok Saboh. Sumbangan ini adalah hasil Kedai Emas Sri Ayu miliknya. Katanya, bantuan ini adalah salah satu cara untuk memastikan golongan asnaf tidak terpinggir dan dapat sedikit sebanyak dapat membantu melakukan persiapan Hari Raya. “Zakat adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima dan memberi mereka harapan untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya ketika ditemui semasa menyerahkan sumbangan tersebut diakan di Masjid Haji Yaacob Kampung Tok Saboh, di sini, semalam. Majlis tersebut berakhir dengan doa dan harapan agar lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan di masa hadapan untuk membantu golongan yang memerlukan. Azbi Salleh berjanji akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terjaga.
27 Mar 25
109