Artikel "Ekonomi" Terkini
Tuntutan Royalti Berkumandang di Sidang DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Tuntutan kembalikan royalti minyak hak milik Terengganu berkumandang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini selepas beberapa wakil rakyat membangkitkan isu terbabit.
Paling mencuri tumpuan, wakil rakyat muda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang mempersoalkan kewujudan keadilan apabila hasil petroleum, tanah dan pertanian semuanya dijarah oleh Kerajaan Persekutuan tanpa diberikan hasilnya kepada negeri.
"Adakah Kerajaan Persekutuan sekarang sudah bertukar menjadi penjajahan bentuk baru? Mungkin ramai dalam dewan ini yang tidak terasa, namun kalau kita melihat denyut nadi rakyat Terengganu, ada yang mengharapkan bantuan dana i-Fitri dan bantuan awal persekolahan agar beban mereka berkurang.
"Tapi harapan tinggal harapan apabila hasil disekat oleh Kementerian Kewangan (sehinggakan) ada guru-guru al-Quran yang tertunggak elaun mereka selama berbulan-bulan tanpa pembelaan, sama juga yang berlaku kepada sekolah-sekolah di bawah Yayasan Terengganu, peruntukan penyelenggaraan tersekat kerana masalah kewangan.
"Biasiswa yang sepatutnya diberi kepada lebih ramai anak Terengganu yang cemerlang juga terpaksa dikurangkan, tidak dikira lagi bantuan perubatan, bantuan Tabung Darul Iman dan pelbagai bantuan lain yang tersekat kerana menjadi mangsa 'politik balas dendam'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini.
Sementara itu, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pula berkata, dalam pembentangan bajet 2024 Kerajaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperuntukkan RM1.86 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang sepatutnya disalurkan melalui hasil royalti petroleum.
"Namun hasil petroleum tidak dibayar sebagaimana jadual bayaran terdahulu malah bayaran untuk tahun 2023 pun masih tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pusat sebagaimana tahun-tahun terdahulu.
"Ia sangat mempengaruhi perjalanan Kerajaan Negeri termasuk dalam menyempurnakan amanah sebagai pemimpin sebagaimana yang dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku," ujarnya.
Bagi ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pula menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti itu adalah tersangat zalim.
"Perlu dilakukan sesuatu bagi mengembalikan setiap sen hak rakyat Terengganu kepada yang berhak untuk mengurus dan mentadbir ... Penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan melibatkan pimpinan utama negara adalah amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin beragama Islam," ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menyifatkan Kerajaan Persekutuan tidak menghayati semangat federalisme kerana sering mempermainkan isu royalti sehingga menyebabkan Terengganu berdepan tekanan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Justeru katanya, pelaksanaan pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dirangka dengan teliti oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas Penjanaan Pendapatan Baharu negeri bersama dengan agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta memberikan nafas baru kepada rakyat.
"Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme," ujarnya.
Walaupun berdepan isu kewangan disebabkan royalti, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pula berharap agar kerajaan negeri akan tetap terus serius dan fokus dalam melaksanakan perancangan dan program yang ditetapkan.
"Setiap EXCO dan portfolio mesti terus berfungsi, cari ruang untuk jalinkan hubungan baik dengan kementerian berkenaan, manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi pelaksanaan program dan projek kementerian.
23 Apr 24
3414
Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah satu projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun sekali gus menjadi projek pertama di Semenanjung Malaysia.
23 Apr 24
209
PAS Sokong Mana-Mana Calon Wakili PN
PAS menyokong mana-mana calon yang akan diputuskan untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.
23 Apr 24
79
Terengganu Berpotensi Jadi Hub Pengeluar NR-REE Utama Negara - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda bertitah, dengan memiliki sumber NR-REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) itu, baginda bertitah kerajaan negeri perlu mengambil peluang menjadi pemain utama sektor industri baharu di dalam teknologi moden masa kini.
"Dengan sumber mineral baharu ini, kerajaan Beta harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rangkaian nilai.
"Termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-StreaM0 diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Pada 5 Oktober lalu, kerajaan Terengganu menubuhkan Majlis Mineral REE sebagai platform pemudahcara urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan.
Untuk rekod, kerajaan negeri turut mengumumkan syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan NR-REE berhampiran Pelabuhan Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024.
Katanya, tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.
"Pihak Star Group juga telah melawat lokasi tersebut dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ.
“Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat, satu untuk 'midstream' dan keduanya adalah kilang 'downstream'.
“Midstream ini akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat 'cracking' ataupun dioksidakan NR-REE,” jelasnya.
22 Apr 24
2394
Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah satu projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun sekali gus menjadi projek pertama di Semenanjung Malaysia.
Baginda bertitah, projek berkenaan bakal menjadi pemangkin untuk membolehkan integrasi tenaga solar ke dalam rangkaian grid.
"Beta melihat perkembangan BESS telah mengubah landskap industri tenaga hijau dengan potensinya untuk dimanfaatkan bagi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cekap.
"Seiring dengan perkara tersebut, bagi mengurangkang jejak karbon dan mencapai sasaran tenaga hijau (maka) satu projek BESS berkapasiti 100 mega watt bakal dilaksanakan di Kampung Santong," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Baginda bertitah bagi menyokong negara Rendah Karbon 2040, di bawah Dasar Tenaga 2022 hingga 20240 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Industri Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024 hingga 2030 telah dirangka dan akan dilancarkan pada tahun ini.
"kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru) merupakan lima fokus industri di Terengganu yang telah dikenal pasti untuk diteroka.
"Sebagai sumber pendapatan baharu kerajaan Beta," titah baginda.
22 Apr 24
1631
Bengkel Hala Tuju Jadikan Terengganu Mesra Pemaju
Satu Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu telah diadakan selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelesaikan masalah perumahan dan menjadikan Terengganu mesra pemaju.
03 Apr 24
166
Sabasun Tambah Cawangan Baharu di Dungun
Pasar raya milik anak Terengganu, Sabasun akan membuka cawangan baharunya yang ke-enam di Tapak Pasar Malam Dungun.
20 Feb 24
258
Sabasun 'Buang' 100 Peratus Produk Berkait Israel
Sabasun bertegas untuk memboikot sepenuhnya segala produk dan barangan berkait negara haram Israel bermula Mac ini.
20 Feb 24
167
Beras Madani : Kerajaan 'Kluk Klek', Rakyat Jadi Mangsa
Kenyataan yang saling bercanggah dalam isu utama negara terutama melibatkan sumber makanan ruji negara seperti beras tidak boleh diterima sama sekali.
20 Feb 24
174
Sabasun Tambah Cawangan Baharu di Dungun
DUNGUN, 18 Februari - Pasar raya milik anak Terengganu, Sabasun akan membuka cawangan baharunya yang ke-enam di Tapak Pasar Malam Dungun.
Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, beliau memilih untuk membuka di daerah terbabit kerana menerima permintaan yang tinggi daripada penduduk Dungun.
"Juga merupakan hasrat kita sejak tujuh tahun yang lalu, jadi alhamdulillah baru sekarang kita mendapat tempat yang sesuai dan saya ingin memberikan penghargaan yang besar kepada Majlis Perbandaran Daerah Dungun.
"Tempat untuk Sabasun bertapak di Dungun di atas tanah seluas 15,000 kaki persegi ini sangat strategik.
"Insya-Allah kita jangka akan beroperasi pada pertengahan September ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah hari ini.
Mengulas lebih lanjut Che Salmi berkata, berkonsepkan 'Hyper Runcit Mini Market' seramai 120 orang warga tempatan akan diambil untuk bekerja.
"Harapan kami di pihak Sabasun juga agar rakyat Terengganu terus mendokong dan menyokong aspirasi perjuangan membela rakyat yang berada di negara peta luka umat Islam terutamanya Palestin," katanya.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berharap agar pembinaan Sabasun itu akan berjaya disiapkan mengikut jadual agar rakyat di daerah ini dapat menikmati produk serta barangan yang berkualiti pada harga berpatutan.
"Pihak kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pembukaan cawangan baharu ini kerana selama ini Sabasun telah memberi peluang kepada rakyat Terengganu untuk bekerja.
"100 peratus tenaga kerjanya merupakan anak jati negeri Terengganu.
"Kerana itu pihak kerajaan negeri membantu memudahkan Sabasun untuk mendapat tempat ini, kerana secara automatiknya juga membantu rakyat Terengganu yang sekarang telah mencecah ribuan orang yang telah berkhidmat atau bekerja dengan pihak Sabasun.
"Dalam masa yang sama semua pekerja yang merupakan anak jati negeri Terengganu ini sangat dijaga kebajikan mereka oleh pihak Sabasun," ujarnya.
18 Feb 24
3434