lightning-solid
Berita :
Sultan Mizan Kurnia Anugerah Ekoceria Institusi Pendidikan Islam Terengganu 2025
Sultan Mizan Kurnia Anugerah Ekoceria Institusi Pendidikan Islam Terengganu 2025
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
23

KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Hadiah Anugerah Ekoceria Institusi  Pendidikan Islam Terengganu(ECIPIT) Yayasan Diraja Sultan Mizan(YDSM) 2025 di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini. 

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja.

Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohammad Daham; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato' Mohd Fadzli Yusof dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M.Rozi Bidin.

Menurut Mohd Fadzli, program Anugerah ECIPIT anjuran YDSM Tahun 2025 merupakan program julung kalinya diadakan di Negeri Terengganu bagi memberi pengiktirafan kepada Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai Institusi Pendidikan Islam Ekoceria 2025. 

"Program ini melibatkan beberapa kategori penilaian iaitu Penilaian Kesihatan dan Kebersihan, Penilaian Keselamatan, Penilaian Keceriaan serta Penilaian Pengiktirafan yang sedia ada di IPI tersebut.

"Sasaran program ini melibatkan tiga kategori iaitu Pondok/Madrasah, Maahad Tahfiz Sepenuh
Masa dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang melibatkan 161 buah IPI yang berdaftar di seluruh Terengganu," ujarnya.

Tambah beliau, YDSM memperuntukkan sebanyak RM 150 ribu bagi menganjur dan 
melaksanakan pertandingan ECIPIT pada kali ini.

"Insya-Allah akan dianjurkan YDSM secara dwi-tahunan bermula tahun 2025," katanya lagi.

Johan keseluruhan ECIPIT 2025 dirangkul oleh Tahfiz Pusat Tarbiyah Raudhatul Hijrah Kemaman yang membawa pulang anugerah wang tunai RM10 ribu.









Tag :

Artikel Berkaitan