KUALA TERENGGANU, 13 September - Terengganu Pushbike Cup 2025 yang membuka tirai kejohanan hari ini, menyaksikan seramai 315 pelumba cilik mengambil bahagian.
Berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), sebanyak 21 kategori dipertandingkan selama dua hari kejohanan sehingga esok.
Namun, sejauh mana potensi dan hala tuju sukan ini yang menumpukan penyertaan seawal usia dua tahun hingga ke 12 tahun sahaja?
Pengarah Program Terengganu Pushbike 2025 merangkap wakil M8 Malaysia, Mohd Zul Fadhli Mohamed bagaimanapun menegaskan bahawa sukan pushbike bukan semata-mata sukan dua roda, sebaliknya ia merupakan platform pembinaan bakat pelbagai sukan lain.
Jelasnya, perkembangan sukan ini di kalangan peringkat awal kanak-kanak adalah satu perkara yang sangat baik.
"Sebenarnya sukan ini adalah salah satu implementasi sains sukan yang mana kita bina dan kembangkan bakat anak-anak ini sebagai persediaan ke sukan-sukan lain.
"Kita telah mula berkembang di Malaysia, namun di Indonesia dan Thailand lebih awal.
"Menerusi sukan pushbike, ia ada pembinaan disiplin, persediaan latihan, fokus, mentaliti juara. Bayangkan dalam umur tiga tahun, mereka boleh fokus dengar arahan.

"Kalau kata kita telah capai satu tahap matang, kita sebenarnya telah menyediakan satu kumpulan bakat untuk pelbagai sukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejohanan, hari ini.
Tambahnya, ada beberapa pelumba pushbike telah berjaya menyertai sukan motosikal mini GP(mini moto) setelah tamat usia matang berlumba pushbike.
"Alhamdulillah, PSKT menyokong penuh sukan ini ditambah lagi dengan selaras kesesuaian sukan ini dalam pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebab ia ada unsur fizik, aerodinamik dan sebagainya.
"Kita ada perbincangan dengan PSKT untuk adakan pushbike bertaraf antarabangsa di peringkat Terengganu dan ia masih di peringkat awal, bahkan pihak mereka turut menyatakan usaha untuk mewujudkan litar khusus buat sukan pushbike," ujarnya.

Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim turut bersetuju dengan kenyataan itu.
"Perancangan bersama penganjur M8 Bike sedang diusahakan untuk mengadakan litar tetap bagi latihan dan menganjurkan kejohanan.
"Kita bersama kerajaan negeri akan mengenalpasti lokasi yang menarik dan paling utama apabila melibatkan kanak-kanak, kita memerlukan satu litar dengan spesifikasi keselamatan yang terjamin," jelasnya.
Beliau menambah, pemilihan sukan pushbike sebagai antara tanda dagang (trademark) PSKT mempunyai beberapa sebab tersendiri.
"Sukan pushbike melibatkan koordinasi motor yang berkait rapat dengan biologi dari segi pergerakan ketika berlumba, tentang bagaimana mereka dapat mengawal sistem saraf secara harmoni.

"Apabila dilatih seawal usia dua tahun, kita berupaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan berkualiti.
"Apabila kita bercakap untuk melahirkan kanak-kanak yang cergas dan cerdas, bukan itu sahaja.
"Kita juga ingin membantu kerajaan negeri menyediakan pelapis di peringkat negeri dan negara," katanya.