Berita :
Syarikat Kerajaan Terengganu Belanja Murid Sekolah Duit Raya RM350
Syarikat Kerajaan Terengganu Belanja Murid Sekolah Duit Raya RM350
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
132

KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Kegembiraan jelas terpancar di wajah 30 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gondang apabila diraikan menerusi program ‘Jom Shopping Raya’ anjuran Terengganu Inc sempena Ramadan.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memberi peluang kepada murid terpilih membeli sendiri kelengkapan Hari Raya sekali gus menceriakan sambutan Aidilfitri mereka tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, setiap murid menerima RM350 untuk membeli barangan raya selain RM100 sebagai duit raya.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan usaha Terengganu Inc untuk berkongsi rezeki serta membawa kegembiraan kepada golongan yang memerlukan, khususnya kanak-kanak.

“Melalui program ini kita mahu memberi peluang kepada adik-adik merasai pengalaman memilih sendiri pakaian dan kelengkapan raya mereka.

“Setiap mereka menerima RM350 untuk membeli barangan raya dan RM100 sebagai duit raya,” katanya kepada pemberita selepas program itu diadakan, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang Sektor Pembangunan Murid, Mohd Ridhuan Ismail serta Guru Besar SK Gondang, Che Aslan Che Ismail.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata pemilihan sekolah dibuat berdasarkan senarai sekolah yang dikenal pasti dengan keutamaan diberikan kepada sekolah yang kurang menerima bantuan.

“Kita cuba menyantuni sekolah-sekolah yang agak terpinggir supaya bantuan seperti ini dapat dirasai oleh lebih ramai murid yang memerlukan,” katanya.

Program dimulakan dengan sesi penyerahan duit raya sebelum murid terpilih dipadankan dengan ‘abang’ dan ‘kakak’ angkat yang akan menemani mereka membeli-belah.

Kesemua murid kemudian dibawa ke KTCC Mall, Kuala Terengganu bagi memilih sendiri pakaian dan kelengkapan Aidilfitri menjelang Syawal yang bakal tiba.

Sementara itu, Sulaiman menyifatkan inisiatif Terengganu Inc sebagai usaha yang sangat bermakna dalam menceriakan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Melihat kegembiraan di wajah mereka sudah cukup menggambarkan betapa program seperti ini memberi makna besar buat anak-anak ini.

“Semoga kegembiraan ini menjadi kenangan indah serta pembakar semangat buat mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan