Jalur Gemilang
Berita :
SK Kampong Jaya Wakili Terengganu Sertai FINCO National Dragons’ Den
SK Kampong Jaya Wakili Terengganu Sertai FINCO National Dragons’ Den
Ariss Alias
12 jam yang lepas
122

SETIU, 22 November - Berbekalkan kreativiti, keberanian dan semangat keusahawanan, empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Jaya, Setiu bakal membawa cabaran Terengganu ke pentas akhir pertandingan FINCO National Dragons’ Den di Kuala Lumpur. 

Lebih membanggakan, sekolah berkenaan muncul sebagai satu-satunya wakil Terengganu yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan keusahawanan sosial peringkat kebangsaan itu. 

Guru pembimbing pasukan, Mohd Alif Amirol MD Suhaimi berkata empat murid yang akan bertanding ialah Izz Mukhriz Dazrin, Muhammad Naufal, Muhammad Izzaril Amsyar dan Nur Izzati. 

Beliau berkata kejayaan itu cukup bermakna memandangkan SK Kampong Jaya merupakan sebuah sekolah kurang murid (SKM) yang terletak di kawasan luar bandar. 

"Daripada 80 sekolah yang mengambil bahagian, hanya 10 pasukan terbaik dipilih untuk ke peringkat akhir dan SK Kampong Jaya berjaya menjadi wakil tunggal Terengganu," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini. 

Pasukan itu mempertaruhkan produk Flushy yang dijual pada harga RM10, dihasilkan menggunakan bahan-bahan terpakai sebagai usaha menerapkan amalan kitar semula dan kreativiti dalam kalangan murid. 

Menariknya, setiap jualan produk berkenaan turut membawa misi kebajikan apabila sebanyak RM2 disumbangkan kepada golongan asnaf. 

Inisiatif itu mencerminkan konsep keusahawanan sosial yang bukan sahaja menekankan aspek keuntungan, malah mendidik murid supaya prihatin terhadap masyarakat dan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan berkenaan ketika menyampaikan sumbangan bagi membantu persiapan mereka menghadapi pertandingan itu. 

Beliau berharap keempat-empat murid berkenaan dapat memberikan persembahan terbaik sekali gus mengharumkan nama sekolah dan Terengganu di peringkat kebangsaan.

FINCO National Dragons’ Den merupakan pertandingan pembentangan keusahawanan sosial anjuran Financial Industry Collective Outreach (FINCO) yang menjadi kemuncak program Good SENS (Social Enterprise Network for Schools).

Program selama enam bulan itu memberi pendedahan kepada murid Tahun Empat hingga Tahun Enam mengenai literasi kewangan, termasuk pengurusan perbelanjaan, tabungan dan penyediaan bajet, selain pengalaman mengendalikan perusahaan sosial sendiri.
Menerusi pertandingan itu, 10 pasukan terbaik akan membentangkan idea perniagaan masing-masing di hadapan panel juri daripada industri kewangan yang dikenali sebagai 'Dragons', dengan hadiah ditawarkan sehingga RM1,500. 

Penyertaan empat murid SK Kampong Jaya itu membuktikan bahawa latar belakang sekolah dan kedudukannya di luar bandar bukan penghalang untuk murid meneroka potensi diri, membina kemahiran keusahawanan serta bersaing di peringkat kebangsaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan