BESUT, 31 Ogos – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, program Ride Santai Merdeka diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme di samping mendekati dan menyantuni masyarakat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut.
Katanya, program yang disertai kira-kira 50 buah motosikal itu turut mendapat sokongan dan penyertaan daripada ARC Besut, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan di peringkat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut bersama-sama menziarahi dan menyantuni seramai 15 orang warga emas serta orang lama di sekitar DUN Hulu Besut.
"Program sebegini bukan sekadar menjadi wadah untuk menghidupkan semangat kemerdekaan, malah membuka ruang untuk mendekati masyarakat secara lebih dekat serta mengenang jasa generasi terdahulu.
“Semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui sikap saling mengambil berat, menyantuni masyarakat dan terus berbakti kepada komuniti," jelasnya ketika ditemui pihak media selepas ziarah.

“Jasa generasi terdahulu wajar dikenang dan dihargai kerana mereka merupakan sebahagian daripada sejarah serta pembentukan masyarakat kita pada hari ini,” ujarnya.
Justeru itu, beliau turut berharap semangat kemerdekaan terus menjadi penyatuan dalam kalangan masyarakat serta menyemarakkan budaya prihatin, kasih sayang dan kebersamaan.
