Jalur Gemilang
Berita :
Le’Best Band dinobat Johan Keseluruhan Perbarisan Hari Kebangsaan Terengganu
Le’Best Band dinobat Johan Keseluruhan Perbarisan Hari Kebangsaan Terengganu
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
108

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Persembahan penuh bertenaga, kekemasan formasi dan disiplin tinggi membolehkan Le’Best Band dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Perarakan dan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri Terengganu Darul Iman, hari ini.

Kejayaan itu sekali gus melengkapkan kecemerlangan kumpulan berkenaan apabila turut muncul johan kategori Pancaragam Sekolah, sekali gus membuktikan keupayaan mereka mencuri perhatian menerusi persembahan yang kemas dan bersemangat patriotik.

Sebagai Johan Keseluruhan, Le’Best Band menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan dan sijil.

Turut menerima pengiktirafan khas ialah SMK Bukit Payong yang dinobatkan sebagai penerima Pakaian Terbaik, manakala Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu memenangi anugerah Ketua Perbarisan Terbaik.

Kedua-dua penerima anugerah khas itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri Terengganu.

Bagi kategori Pancaragam Sekolah, Sultan Sulaiman Marching Band menduduki tempat kedua, manakala Pancaragam SWADAYA SMK Chung Hwa Wei Sin (CF) di tempat ketiga.

Kategori Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform pula menyaksikan SMK Megat Panji Alam muncul johan, diikuti SMK Tengku Muhammad Ismail sebagai naib johan dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman Dungun di tempat ketiga.

Sementara itu, Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia, SMK Wakaf Tapai mengungguli kategori Pasukan Sekolah Menengah Beruniform, manakala Kadet Polis SMK Tengku Mahmud dan Kadet Bulan Sabit Merah Malaysia SMK Dato’ Razali Ismail masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu muncul johan, diikuti Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu.

Majlis Daerah Besut pula merangkul tempat pertama kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform, manakala Yayasan Islam Terengganu dan Majlis Perbandaran Dungun masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori Jabatan Kerajaan/IPT/Badan Berkanun/Swasta Beruniform, johan menjadi milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Terengganu, diikuti Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu.

EPIC Berhad pula muncul johan kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Guna Sama Negeri/IPT/Swasta/GLC/Tidak Beruniform, manakala Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Terengganu dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Dalam kategori Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk muncul johan, diikuti Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Tunggal dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang.

Setiap johan kategori menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan dan sijil, manakala naib johan membawa pulang RM4,000 serta sijil dan tempat ketiga menerima RM3,000 berserta sijil.

Kesemua peserta dan pemenang menerima penghargaan atas komitmen, disiplin serta semangat patriotisme yang ditampilkan sepanjang perbarisan yang berlangsung sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan