Jalur Gemilang
Berita :
Ribuan 'Banjiri' Dataran Syahbandar, Semarak Hari Kebangsaan Terengganu
Ribuan 'Banjiri' Dataran Syahbandar, Semarak Hari Kebangsaan Terengganu
Mastura Jamal Din
6 jam yang lepas
152

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Semangat patriotik rakyat jelas terpancar apabila ribuan pengunjung membanjiri Dataran Syahbandar seawal pukul 5 pagi bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri Terengganu, hari ini.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati, ada yang datang bersama keluarga, membawa anak kecil dan kerusi lipat, manakala sebahagian lagi sanggup bermalam di hotel berhampiran bagi mendapatkan lokasi terbaik untuk menyaksikan perbarisan dan persembahan formasi pasukan beruniform.

Bagi kakitangan swasta, Ariffin Omar, 43, pengalaman menyaksikan perbarisan secara dekat memberikan kepuasan berbeza berbanding sekadar mengikuti sambutan menerusi kaca televisyen.

“Selama ini saya hanya melihat perbarisan melalui televisyen, jadi apabila berpeluang menyaksikannya sendiri, suasananya memang jauh berbeza. Kita dapat melihat sendiri kekemasan setiap kontinjen dan persembahan yang dipamerkan.

“Paling penting, sambutan ini mengingatkan kita tentang pengorbanan anggota keselamatan dan semua pihak yang memastikan negara terus aman,” katanya.

Sementara itu, Norliza Zakaria, 38, yang pulang bercuti dari Kuala Lumpur, memilih untuk membawa keluarganya ke Dataran Syahbandar bagi memberikan pengalaman baharu kepada anak-anaknya.


Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja menjadi medan meraikan kemerdekaan, malah peluang untuk generasi muda mengenali peranan pelbagai pasukan keselamatan dan agensi yang berkhidmat untuk negara.

“Dulu ketika kecil, saya hanya berpeluang melihat perarakan di televisyen. Kali ini saya mahu anak-anak pula merasai sendiri kemeriahan dan melihat barisan kontinjen dari dekat.

“Banyak perkara yang mereka boleh pelajari, terutama tentang peranan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan. Saya harap pengalaman ini dapat menyemai rasa cinta kepada negara dalam diri mereka,” katanya.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke sambutan tersebut.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 9 pagi diiringi  Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mu'az serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.

Acara perbarisan dimulakan dengan persembahan pancaragam Kem Rejimen 512 Askar Wataniah, diikuti perbarisan pejalan kaki membabitkan 119 kontinjen.

Kemuncak sambutan turut diserikan dengan lintas hormat dua pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak serta dua lagi pesawat No. 18 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang yang mencuri perhatian orang ramai apabila melintasi ruang udara bandar raya Kuala Terengganu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan