KUALA TERENGGANU, 23 Oktober— Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, menzahirkan harapan agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terus memperkukuh tadbir urus wakaf dengan penuh amanah dan profesional.
Baginda bertitah, setiap projek wakaf yang dilaksanakan perlu dirancang secara lestari berpaksikan maqasid syariah serta memberi manfaat nyata kepada semua lapisan masyarakat.
“Beta juga berkenan menyeru supaya Bulan Wakaf Negeri Terengganu Tahun 2025 ini dijadikan platform kesedaran dan kebangkitan baharu dalam kalangan umat Islam untuk menunaikan wakaf bukan sekadar sebagai ibadah, tetapi sebagai satu pelaburan akhirat dan tanda cinta kepada negeri tercinta ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2025 di Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Nara Setia; Penasihat Undang-undang negeri, Mohd Nawawi Ismail; dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Hadir sama, Mufti kerajaan negeri, Dato’ Dr Mohammad Sabri Harun; Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dato' Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Baginda turut bertitah bahawa tanggungjawab mengembangkan wakaf bukan hanya terletak di bahu pentadbir agama semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama seluruh rakyat termasuk golongan pemimpin, ahli korporat, usahawan dan masyarakat awam.
“Setiap sumbangan sekecil mana sekalipun akan menjadi penyumbang pahala dan manfaat yang berkekalan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha MAIDAM yang melaksanakan pelbagai inisiatif inovatif dalam pengurusan dan pembangunan tanah-tanah wakaf, termasuk pelaksanaan Wakaf Tunai melalui potongan gaji, pautan rasmi e-Wakaf MAIDAM serta kemudahan di Pejabat MAIDAM Daerah berdekatan.
“Usaha-usaha ini membuktikan kesungguhan MAIDAM untuk menghidupkan kembali semangat wakaf sebagai teras kekuatan ekonomi dan sosial umat Islam serta menjadikan negeri ini contoh terbaik dalam pengurusan wakaf di Malaysia,” titah baginda.