lightning-solid
Berita :
Projek BALB Kubang Jela ‘Sakit’, Penduduk Kuala Nerus Terus Berputih Mata
Projek BALB Kubang Jela ‘Sakit’, Penduduk Kuala Nerus Terus Berputih Mata
Zuhdi Abdullah
1 jam yang lepas
57

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Kegagalan menyiapkan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Kubang Jela terus mengundang kebimbangan apabila penduduk setempat masih berdepan masalah tekanan air rendah walaupun projek itu sepatutnya siap lebih dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, projek berkenaan yang dijadualkan siap pada 22 Ogos 2023 kini dikategorikan sebagai projek ‘sakit’ selepas kontraktor asal gagal melaksanakan kerja mengikut tempoh ditetapkan.

Menurut beliau, kontrak syarikat pelaksana, Arrisa Engineering, telah ditamatkan, namun sehingga kini tiada kontraktor penyelamat dilantik, menyebabkan projek berkenaan terus terbengkalai tanpa kepastian.

“Kontraktor sudah ditamatkan, kementerian pula telah bertukar nama. Persoalannya, apakah tindakan susulan yang diambil?.

“Rakyat di bawah terus bertanya bila masalah ini akan berakhir sedangkan tarikh siap asal telah lama berlalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Alias menuntut penjelasan tuntas daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung kelewatan melantik kontraktor baharu serta punca sebenar projek berkenaan terbiar begitu lama.

Katanya, kelewatan tersebut tidak wajar berlaku memandangkan isu bekalan air merupakan keperluan asas yang kritikal kepada kehidupan seharian penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

“Proses pelantikan kontraktor baharu seharusnya dipercepatkan tanpa terikat kepada birokrasi yang terlalu panjang memandangkan projek ini telah diklasifikasikan sebagai projek ‘sakit’.

“Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa keadaan. Kita mahu tahu apa alasan sebenar kementerian sehingga projek ini terbiar lama tanpa sebarang kemajuan di tapak,” tegas beliau.

Terdahulu, projek naik taraf sistem agihan air di Kampung Kubang Jela dirancang bagi mengatasi masalah tekanan air rendah yang sering menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan