KUALA NERUS, 16 Februari - Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menjangkakan aliran trafik minggu ini akan meningkat mengambil kira sambutan Tahun Baru Cina dan sambutan Ramadan terutama di pantai timur.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin memaklumkan, pihaknya menjangkakan pertambahan trafik ke 350,000 berbanding 300,000 pada waktu biasa.
"Untuk kali ini, seramai 503 anggota PDRM Terengganu akan bertugas sepanjang tempoh kempen ini berlangsung dengan seluruh kontinjen Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut.
"Kita cuba sedaya upaya mengurangkan kemalangan maut untuk berlaku, dengan menguatkuasakan undang-undang yang boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Pelancaran Ops Selamat ke-25/2026 di Tol Gemuruh, hari ini.
Tambahnya, bermula 15 Februari sehingga 20 Februari dengan fokus utama 'Rumah Selamat dan Selamat Sampai ke Destinasi', Polis Terengganu akan memperluaskan pemantauan di lokasi-lokasi berisiko dengan penubuhan 'jammed skuad' yang menumpukan 23 hot spot (kawasan sesak) dan 22 black spot (kawasan berisiko tinggi kemalangan).
"Untuk tahun 2026 ini, kita tidak hanya memfokuskan keselamatan jalan raya, tetapi juga kepada keselamatan rumah.
"Kami mengharapkan bagi yang memulakan perjalanan supaya melaporkan ke balai-balai berdekatan atau melalui aplikasi VSP dan pihak kami akan dimaklumkan dengan sistem tersebut. Sehingga hari ini, seramai 27 pengguna telah melaporkan melalui sistem VSP dan kita akan pantau.
"Untuk pemantauan rumah-rumah, kita akan menggerak unit MPV dan URB iaitu seramai 257 orang, termasuk balai-balai.
