Berita :
Perpaduan Ummah Wajib, Rakyat Diminta Tolak Pemimpin Enggan Bersatu
Perpaduan Ummah Wajib, Rakyat Diminta Tolak Pemimpin Enggan Bersatu
Rohayati Ripin
21 jam yang lepas
157

KUALA NERUS, 5 April – Perpaduan ummah adalah satu kewajipan yang dituntut agama dan rakyat diminta menolak pemimpin yang enggan bersatu.

Menteri Besar Kelantan, Dato' Panglima Perang Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, walaupun umat Islam kini berjumlah kira-kira dua bilion atau 25 peratus daripada populasi dunia, kelemahan tetap berlaku akibat kegagalan untuk bersatu.

“Allah memerintahkan kita supaya bersatu dan melarang kita berpecah. Apabila kita bertelingkah, kita akan menjadi lemah dan kekuatan akan hilang,” jelasnya.

Katanya, situasi itu turut menyebabkan umat Islam mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh, sebagaimana digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW bahawa umat Islam akan dikerumuni seperti makanan oleh golongan yang lapar.

"Cuba kita bayangkan budak lapar, bila orang hidang makanan, terkam pada makanan. Bukan setakat budak lapar, orang tua pun begitu juga," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato penutup sempena program Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik segelintir pemimpin yang didakwa enggan mengutamakan perpaduan, malah menyeru rakyat agar menolak kepimpinan sedemikian.

“Kalau ada pemimpin yang tidak mahu bersatu, rakyat boleh menjatuhkan mereka kerana pemimpin dipilih oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan toleransi dalam kalangan umat Islam, termasuk dalam perbezaan mazhab dan aliran pemikiran, yang menurutnya tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan.

Mengulas isu antarabangsa, beliau menyentuh penderitaan rakyat Palestin dan mengkritik sikap sebahagian negara Islam yang dilihat tidak bersatu dalam menghadapi tekanan serta serangan pihak luar.

"Dalam masa sejarah telah membuktikan perpecahan dalaman seperti yang berlaku antara kaum Aus dan Khazraj hanya mengundang kelemahan, sebelum disatukan kembali oleh Nabi Muhammad SAW melalui Islam," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat agar mengutamakan perpaduan dan mengamalkan sikap tolak ansur demi kekuatan ummah secara keseluruhan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan