lightning-solid
Berita :
Peneroka Felda Terengganu Sokong Kerajaan Tuntut Hak Negeri
Peneroka Felda Terengganu Sokong Kerajaan Tuntut Hak Negeri
Noraini Jusoh
23 Oct 25
133

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Tempoh 40 hari diberikan kerajaan negeri kepada Felda untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah seluas 14,791 hektar yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak lebih 40 tahun lalu dilihat suatu tindakan yang sangat wajar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Chalok Permai, Felda Chalok Barat Suharmizi Hamzah berkata, Kerajaan Terengganu sebelum ini telah membuat satu perundingan yang sangat baik dan masa yang panjang telah diberikan kepada Felda untuk menyelesaikan tuntutan berkait bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan.

“Selaku Pengerusi JPKK di tanah rancangan Felda, saya melihat adalah satu keperluan untuk isu ini diselesaikan sebaiknya supaya dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Andai kata tidak berlaku apa yang dirancang, semoga ada jalan lain yang memberikan kebaikan kepada kerajaan negeri untuk disalurkan balik kepada rakyat.

“Apapun di pihak kami mengharapkan, sebelum 29 November ini ada keputusan yang terbaik dapat dicapai antara Felda dan juga kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu yang sudah lama berpanjangan ini,” ujarnya.

Suharmizi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi libat urus Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari 21 Tanah Rancangan Felda seluruh negeri di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi JPKK Felda Tenang, Shalahhudin Jaafar turut menyokong usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan hak ke atas tanah yang diusahakan oleh Felda seluas 14,791 hektar itu. 

“Tanah itu diusahakan oleh Felda tanpa memasukkan peneroka dan keuntungan masuk terus ke kantung Felda. Akhir-akhir ini telah diserah pula kepada FGV. Kerajaan hanya menuntut hak untuk mendapatkan sebahagian keuntungan daripada keluasan tanah tersebut. Selama lebih 40 tahun Felda telah mengaut keuntungan yang banyak tanpa memberi pulangan kepada rakyat Terengganu.

“Tempoh yang diberi 40 hari berakhir 29 November ini sepatutnya Felda memberi respon yang baik. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera dengan sebaiknya,” ujarnya.

Katanya, sekiranya Felda tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut, kerajaan Terengganu wajar mengambil tindakan undang-undang supaya rakyat negeri mendapat faedah daripada tanah-tanah yang diusahakan tanpa peneroka itu.

“Jika isu ini tidak mendapat kerjasama daripada Felda saya cadangkan tanah tersebut diambil balik dan dibahagikan kepada peneroka. 

“Jika dibahagikan 10 ekar seorang, seramai 3,700 orang keluarga miskin dapat dimasukkan sebagai peneroka baru,” ujarnya.

Pengerusi JPKK Felda Kerteh 4, Mohd Norizan Othman pula berpendapat agar isu yang berlarutan puluhan tahun itu dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Kita berterima kasih kepada pihak Felda urus hal ladang, tetapi jangan tinggal hak negeri.

“Harap cepat selesai dan kalau boleh sebelum 29 November ini, kita tidak mahu ada kekecohan berlaku,” ujarnya.


Artikel Berkaitan