lightning-solid
Berita :
Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja Nasihat 'Influencer' Utamakan Pendidikan
Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja Nasihat 'Influencer' Utamakan Pendidikan
Adli Mohamad
7 jam yang lepas
143

KUALA NERUS, 3 November - Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Che Wan Nur Damia Che Wan Roslan menasihatkan anak muda yang cenderung untuk menjadi pempengaruh di media sosial agar mengutamakan pelajaran lantaran ramai yang tidak lagi berminat untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Ujarnya, kalangan anak muda hari ini tidak sewajarnya meminggirkan dunia pendidikan semata-mata ingin mengejar populariti dan mampu meraih duit dengan muda kerana ilmu merupakan perkara yang sangat penting di dalam kehidupan.

"Kepada rakan-rakan yang berminat hendak jadi 'influncer', bagi saya perlu mementingkan ilmu dan sambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi kerana dengan menambah pengetahuan akan lebih banyak perkara yang bermanfaat dapat dikongsikan dengan masyarakat.

"Bagi saya menjadi pempengaruh tidak salah, namun perlu diseimbangkan dengan mengutamakan akademik yang akan membantu untuk kita telusuri masa hadapan dengan lebih baik,"ujarnya kepada pihak media selepas menerima anugerah terbabit di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-17, di Dewan Al-Muktafil Billah Shah, di sini, semalam

IMG-20251102-WA0165.jpg 160.36 KB
Berkongsi kejayaan yang diraih itu, Damia berkata antara rahsianya ialah tidak pernah jemu mengulangkaji pelajaran dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu menjadi faktor dirinya berjaya.

"Saya tidak akan keberatan untuk membantu rakan-rakan setiap kali menjelang peperiksaan untuk mengajar mereka dan menelaah bersama-sama apabila berbuat demikian, insya-Allah saya dapat rasakan ilmu semakin bertambah," ujarnya yang merupakan anak jati Kuala Terengganu.

Dalam pada itu beliau yang beroleh Purata Gred Keseluruhan 3.74 dan menerima anugerah Dekan pada setiap semester pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko dan Takaful) dengan Kepujian mendedikasikan kejayaan itu buat ibu dan bapanya, iatu Pesara Kerajaan, Che Wan Roslan Che Wan Muda, dan suri rumah, Mek Wook Tarzan.

Sementara itu, seorang lagi Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Koh Wen Xuan dari Negeri Sembilan yang turut berjaya dengan cemerlang dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi Pertanian di Fakulkti Blosumber dan Industri Makanan (FBIM), UniSZA, Kampus Besut.

Katanya, antara cabaran awal adalah sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di Besut kerana selama ini tinggal di Bandar Port Dickson.

"Namun, saya cuba mengatasinya dengan mengaktifkan diri dengan pelbagai kegiatan, dan berusaha membahagikan masa dengan sebaik-baiknya selain dibantu oleh rakan-rakan yang sangat baik dengan saya sepanjang pengajian,"ujarnya.

IMG-20251102-WA0164.jpg 200.3 KB






Tag :

Artikel Berkaitan