DUNGUN, 2 November - Program Tuisyen Rakyat di bawah DUN Sura tahun ini dilaksanakan dengan pendekatan baharu yang lebih tersusun dan berstrategi, bagi membantu pelajar menguasai subjek sukar menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menampilkan pelbagai subjek, kali ini tumpuan diberikan kepada dua mata pelajaran utama iaitu Matematik Tambahan dan Matematik Moden yang sering dianggap sebagai ‘subjek killer’ dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, pendekatan itu dibuat bagi memastikan pelajar benar-benar menguasai subjek penting yang menjadi penentu keputusan SPM.

“Subjek ini nampak susah, tapi kalau kena cara, pelajar boleh faham dan minat. Sebab tu kita panggil tenaga pengajar berpengalaman seperti guru AKRAM untuk bimbing mereka.
“Kita tak nak pelajar DUN Sura ketinggalan hanya kerana kekangan kos tuisyen. Ini salah satu usaha kerajaan negeri untuk pastikan peluang belajar berkualiti dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi pembelajaran berkenaan

Program anjuran kerajaan negeri ini diteruskan sebagai platform kebajikan pendidikan bagi membantu anak-anak Terengganu mencapai kecemerlangan akademik tanpa mengira latar belakang keluarga.