KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan bahawa seorang pemimpin tidak dipilih untuk menjaga kepentingan satu kaum semata-mata, sebaliknya memikul amanah terhadap semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Ahmad Samsuri berkata hubungan antara kaum di negara ini kini berada pada tahap yang perlu diberi perhatian serius.
Menurut beliau, keadaan itu tidak boleh dipandang ringan apabila wujud tanda-tanda hubungan antara masyarakat semakin renggang dan menjarak secara perlahan.
“Pada hari ini, hubungan antara kaum di negara kita seolah-olah berada di persimpangan yang membimbangkan dan ada saatnya dilihat semakin renggang dan menjarak dalam diam,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, masyarakat majmuk yang diwarisi negara ini merupakan satu nikmat Tuhan yang sangat besar.
Namun, beliau mengingatkan bahawa nikmat tersebut perlu diurus dengan bijaksana supaya kepelbagaian kaum tidak bertukar menjadi punca perpecahan.
“Kita mesti yakin bahawa masyarakat majmuk yang kita warisi ini adalah merupakan satu nikmat Tuhan yang tiada taranya.
“Namun tanpa pengurusan yang bijak, ia boleh berubah menjadi malapetaka, sebagaimana yang telah meranapkan keharmonian di negara-negara luar termasuk negara yang menjadi juara demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman negara luar seharusnya menjadi peringatan bahawa keharmonian dalam masyarakat majmuk tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal tanpa usaha dan kebijaksanaan.
Menurut Ahmad Samsuri, perbezaan kaum bukan ancaman kepada negara sekiranya ia diurus dengan adil, matang dan penuh tanggungjawab.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa mandat kepimpinan menuntut seseorang pemimpin berlaku adil kepada seluruh rakyat, bukan hanya kepada kelompok tertentu.
“Kita juga harus ingat, bahawa kita dipilih untuk menjadi pemimpin semua rakyat, bukan untuk orang Melayu sahaja, bahkan untuk semua kaum sama ada kaum Cina, Tamil, Kadazan, Iban, Bidayuh dan sebagainya,” katanya.
Tag :