Berita :
Sukan Air Terengganu Imbau Kenangan Zaman 80-an
Sukan Air Terengganu Imbau Kenangan Zaman 80-an
Hafiz Rosli
3 jam yang lepas
123

MARANG, 4 Mei – Penganjuran sukan air tradisional di Marang sempena Karnival Candat Sotong 2026 berjaya mengimbau kembali kenangan permainan lama zaman 80-an yang sudah lama tidak diadakan.

Pengerusi Sukan Air Marang, Mazlan Yusuf berkata, sebanyak enam acara dianjurkan tahun ini sebagai permulaan.

Menurutnya, antara acara yang dipertandingkan ialah berenang, pukul bantal, panjat tiang licin, tarik tali, titing buluh dan tangkap itik yang dibuka kepada orang ramai.

“Acara renang tahun ini dibuat dalam jarak dekat, tetapi akan diperluaskan pada masa akan datang termasuk dari jambatan lama.

“Pertandingan tarik tali yang melibatkan lima pasukan antara acara paling mendapat perhatian dan meriah kerana penyertaan yang ramai daripada komuniti setempat,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pantai Kekabu semalam sempena Karnival Candat Sotong Marang 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 30 April hingga 3 Mei 2026.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.

Mazlan turut menjelaskan, acara tangkap itik diadakan secara terbuka tanpa pendaftaran bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai keseronokan permainan tradisional.

“Siapa yang berjaya tangkap itik, boleh bawa pulang dan tidak kira berapa banyak yang diperoleh.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan dan peruntukan yang diberikan termasuk penyediaan tempat dan kemudahan,” ujarnya.

Sementara itu, Razali berkata penganjuran sukan air dan sukan rakyat ini akan dijadikan acara tahunan dengan penambahan lebih banyak permainan termasuk penyertaan golongan wanita atau muslimat.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan tambah lagi acara dengan lebih banyak sukan seperti pukul nyo, netball, main dam, bola sepak pantai, berenang jarak jauh, titing bulu ayam dan pelbagai lagi.

“Kita akan perbesarkan lagi program ini pada masa akan datang supaya lebih ramai dapat terlibat, di samping dilaksanakan mengikut garis panduan syariat seperti menjaga adab dan berpakaian sopan.

“Sukan air seperti ini lebih sesuai dilaksanakan di kawasan pantai kerana ia mencerminkan cara hidup serta budaya masyarakat setempat, selain menghidupkan kembali adat lama yang telah lama ditinggalkan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Sukan Air Marang 2026 ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan