Berita :
Syed Hadzrullathfi Dilantik Mufti Negeri Terengganu
Syed Hadzrullathfi Dilantik Mufti Negeri Terengganu
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
233

KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar dilantik sebagai Dato’ Mufti Negeri Terengganu berkuat kuasa hari ini, sekali gus meneruskan peranan penting institusi kefatwaan negeri dalam membimbing masyarakat Islam di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan itu dan menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan beliau memikul amanah berkenaan.

Beliau berkata, jawatan mufti merupakan satu tanggungjawab besar yang menuntut kebijaksanaan, ketegasan dan pendekatan berhikmah dalam memandu umat Islam kepada kefahaman agama yang sejahtera serta menyeluruh.

“Semoga amanah besar ini terus dipikul dengan penuh hikmah, ketegasan dan kebijaksanaan dalam memandu ummah ke arah kefahaman Islam yang sejahtera dan menyeluruh.

“Moga segala usaha diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Selamat menjalankan tugas,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Sebelum dilantik ke jawatan itu, Syed Hadzrullathfi berkhidmat sebagai Timbalan Mufti Negeri Terengganu sejak 2023.

Beliau turut dikenali sebagai tokoh akademik dalam bidang Usuluddin, Tasawwuf dan Psikospiritual Islam, selain aktif menyampaikan kuliah agama di seluruh negeri.

Syed Hadzrullathfi sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sekali gus mempunyai latar belakang luas dalam bidang keilmuan Islam dan pendidikan tinggi.

Pelantikan beliau dijangka memperkukuh peranan institusi mufti di Terengganu, khususnya dalam aspek kefatwaan, dakwah, bimbingan masyarakat dan pengurusan hal ehwal Islam negeri.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan