lightning-solid
Berita :
Pembangunan Wakaf Terengganu Catat Nilai Melebihi RM200 Juta
Pembangunan Wakaf Terengganu Catat Nilai Melebihi RM200 Juta
Mastura Jamal Din
23 Oct 25
741

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terus mencatat perkembangan positif dalam pengurusan wakaf apabila merekodkan sebanyak 1,336 lot tanah wakaf dengan keluasan 2,055.46 ekar dan nilai aset melebihi RM200 juta setakat ini.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kejayaan itu mencerminkan kecekapan dan ketelusan agensi berkenaan dalam mengurus serta memanfaatkan harta wakaf bagi kepentingan umat Islam di negeri ini.

“Pembangunan wakaf bukan hanya terhad kepada harta tidak alih seperti tanah, malah turut merangkumi harta alih yang dikelompokkan kepada wakaf pendidikan, wakaf kesihatan dan wakaf keagamaan,” katanya 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Tambahnya, antara projek wakaf yang menjadi rujukan pelbagai pihak ialah pembinaan The Grand Puteri Hotel di Kuala Terengganu, sebuah hotel berkonsepkan Islam yang dibangunkan di atas tanah wakaf MAIDAM.

“Tanah tersebut dipajakkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) selama 25 tahun, dan hotel berkenaan diuruskan oleh anak syarikat YWM sejak mula beroperasi pada 15 April 2013.

“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) turut menyalurkan dana sebanyak RM41.69 juta bagi pelaksanaan projek Hotel Wakaf Terengganu ini,” katanya.

Selain itu, MAIDAM turut membangunkan tanah wakaf yang diwakafkan oleh Al-Marhum Baginda Sultan Omar di Kampung Serdang Baru, melibatkan pembinaan 16 unit chalet, sebuah Pejabat Pendaftaran dan sebuah Pusat Sauna.

Menurutnya, manfaat hasil pengoperasian chalet berkenaan akan disalurkan semula bagi tujuan pendidikan.

“Projek tersebut kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2026,” tambah beliau.
 


Tag :

Artikel Berkaitan