Berita :
Pelajar Sekolah Menengah Harian Biasa Buktikan Berjaya Cemerlang SPM
Pelajar Sekolah Menengah Harian Biasa Buktikan Berjaya Cemerlang SPM
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
114

KUALA NERUS, 31 Mac – Walaupun menuntut ilmu di sekolah harian biasa, ia tidak menjejaskan tumpuan Danish Asyraff Md Daut dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang menyaksikannya berjaya mencapai keputusan cemerlang 9A+ setelah keputusan diumumkan hari ini.

Pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Tembesu itu berkata, dia sangat bersyukur dan tidak menjangka pencapaian luar biasa (semua A+ dalam mata pelajaran diambil) yang diperoleh apatah lagi turut diumum antara 25 pelajar terbaik Terengganu.

“Syukur kepada Allah S.W.T. Walaupun saya pelajar dari sekolah harian biasa, saya masih berusaha dalam pelajaran. Saya sentiasa bantu rakan sekelas, tidak kedekut ilmu. 

“Saya rasa Allah S.W.T telah melihat usaha saya belajar dan mengajar orang lain dengan mengurniakan kejayaan seperti hari ini,” ujarnya.

Danish Asyraff berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2025 yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, di sini, hari ini.

Katanya, dia amat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan ahli keluarga terutama ibu dan bapanya yang sentiasa memberikan galakan buat dirinya agar meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Selain kedua ibu bapa, inspirasi saya datang daripada guru-guru saya terutama guru-guru sains tulen yang banyak menolong saya semasa proses pembelajaran di sekolah. Saya rasa sangat bersyukur dapat guru yang sangat memahami,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sementara itu, Muhammad Nazirul Mubin Mohd Yusof yang juga salah seorang daripada 25 pelajar terbaik Terengganu turut bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh.

“Alhamdulliah, saya rasa sangat bersyukur kerana Allah S.W.T kurniakan keputusan yang cukup cemerlang ini.

“Insya-Allah dengan keputusan yang cemerlang ini, saya akan cuba sehabis baik untuk membalas jasa kedua ibu bapa dan berbakti kepada masyarakat,” ujar pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Dungun yang berjaya memperoleh 12A+.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan