Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA NERUS, 1 April - Kejayaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan kecemerlangan seimbang antara sukan dan akademik terus menjadi realiti dalam kalangan anak muda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau sempat mengadakan perjumpaan ringkas bersama sebahagian daripada 186 atlet SUKMA yang menduduki peperiksaan tersebut, di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, semalam.

Menurut Hishamuddin, walaupun pertemuan itu berlangsung secara sederhana, ia tetap signifikan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan pencapaian atlet terbabit.
“Kerajaan negeri menzahirkan kebanggaan dengan kejayaan mereka sekalipun jadual padat menajalani latihan sebelum ini. Atlet-atlet ini bukan sahaja menyerlah di arena sukan, malah turut menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.
“Antara yang mencuri tumpuan ialah atlet pelari pecut negeri, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang meraih 3A+ dan 6A, serta atlet bola sepak, Putra Muhammad Isqandar Rizmarizam dengan keputusan 1A+, 4A dan 3A-,” katanya.

“Ini contoh anak muda yang tidak mudah mengalah dan sentiasa berusaha mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh serta terus mengharumkan nama Terengganu,” ujarnya.
Tag :