Berita :
Kenaikan Diesel Tekan Industri Pelancongan Terengganu
Kenaikan Diesel Tekan Industri Pelancongan Terengganu
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Kenaikan harga diesel secara mengejut memberi kesan ketara kepada sektor pelancongan di Terengganu, khususnya melibatkan operasi hotel, resort, chalet dan aktiviti pelancongan laut seperti candat sotong serta perikanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, antara yang paling terkesan ialah premis penginapan dan pengusaha di pulau-pulau kecil yang masih bergantung kepada penggunaan generator berasaskan diesel.

Menurut beliau, bot-bot nelayan dan pengusaha pelancongan seperti bot candat sotong turut berdepan peningkatan kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan bahan api tersebut.

“Apabila diesel naik secara mengejut dan berlaku dua kali kenaikan, ia memberi kesan berantai kepada keseluruhan rantaian industri pelancongan. 

“Kos operasi meningkat dan berkemungkinan harga perkhidmatan seperti penginapan serta pakej pelancongan turut terpaksa dinaikkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Razali menambah, pihaknya kini sedang memantau situasi tersebut termasuk kemungkinan kenaikan harga hotel dan pakej pelancongan menjelang musim kedatangan pelancong.

“Setakat ini kita masih menilai kesannya, namun jika pengusaha terpaksa menaikkan harga kerana kos meningkat, perkara itu sukar dielakkan dan saya tak boleh nak halang. 

“Apa yang penting ialah pemantauan dan perbincangan perlu dilakukan supaya kenaikan tidak membebankan pelancong,” ujarnya.

Razali turut memaklumkan bahawa sektor pelancongan negeri menerima sekitar 9.5 juta pelancong pada tahun 2025, dengan 70 hingga 80 peratus daripadanya menggunakan pengangkutan darat seperti kenderaan persendirian dan bas.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kenaikan diesel berpotensi memberi kesan besar terhadap pola kedatangan pelancong, namun situasi sebenar masih dalam pemantauan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan satu mesyuarat pasca penilaian (post-mortem) akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti impak sebenar kenaikan tersebut terhadap industri pelancongan negeri.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga bercadang menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu bagi memperkukuh pemantauan dan merangka langkah penyelesaian bersama pengusaha industri termasuk hotel, chalet, resort, inap desa (homestay) dan premis makanan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan perlu lebih teliti dalam membuat keputusan berkaitan kenaikan diesel kerana kesannya yang besar kepada sektor perdagangan dan rakyat.

“Kenaikan secara mengejut tanpa penjelasan terperinci menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat. Kerajaan perlu mempunyai strategi yang jelas dan telus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen dan Dewan Negara diadakan bagi membincangkan isu tersebut secara menyeluruh.

“Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara perlu diberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar industri minyak negara termasuk kadar eksport dan import, supaya cadangan penambahbaikan termasuk subsidi bersasar dapat dibuat secara lebih berkesan.

“Saya nampak Perdana Menteri berseorangan jadi nampak  kelemahan pihak kerajaan

“Jangan panggil senyap-senyap. Kita panggil Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara  serta buat persidangan khas sehari ataupun dua hari,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan pembangkang dalam situasi ini adalah untuk memperkukuh semak dan imbang, bukan untuk menjatuhkan kerajaan, demi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan